Tuesday, February 25, 2014

Atai letak jawatan demi nyanyian

PADA usia 41 tahun, Atai berani mengambil risiko berhenti kerja sebagai Naib Presiden Pos Malaysia demi menjadi penyanyi. Dia kini muncul dengan single berjudul Kul It.


“SAYA meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Pos Malaysia untuk meneruskan cita-cita sebagai seorang penyanyi,” demikian kata-kata Atai, anak saudara kepada penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Kul It di Restoran Puteri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Atai atau nama sebenarnya, Razman Azrai Zainudin, 41, berkata, dia begitu yakin dengan keputusannya untuk kembali beraksi dalam dunia nyanyian walaupun sudah meninggalkan bidang tersebut selama lebih 25 tahun.
“Setelah lama meninggalkan bidang nyanyian, saya begitu rindu untuk kembali menyanyi. Saya juga percaya dengan kata-kata arwah pak cik saya yang mengatakan saya mempunyai bakat untuk pergi lebih jauh dalam industri seni.
“Jika dia percaya pada saya, mengapa saya tidak yakin dengan diri sendiri? Justeru, selepas beberapa tahun berfikir untuk meneruskan hasrat tersebut, akhirnya saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada bulan Januari lalu,” ujarnya.
Menurut bekas graduan Universiti Staffordshire, United Kingdom ini lagi, kemunculan semulanya dalam industri seni bukan untuk meraih populariti dan wang ringgit semata-mata, tetapi untuk meneruskan apa yang telah dimulakan bersama dengan bapa saudaranya.
“Setelah pemergian bapa saudara saya, hidup saya berasa kosong. Saya boleh meneruskan kehidupan seperti biasa dengan meneruskan tugas di syarikat lama tempat saya berkhidmat, tetapi saya tetap mahu menyanyi.
“Justeru, setiap perancangan yang melibatkan karier nyanyian saya perlu dijalankan dengan teliti agar hasilnya nanti berbaloi dan dapat diterima ramai,” ujar Atai yang baru sahaja dilantik sebagai duta minuman kesihatan Yakult bersama penyampai radio dan pengacara terkenal, Fara Fauzana.
Pilih Kul It
Atai yang pernah muncul dengan sebuah album solo pada tahun 1985 berjudul Sahabat sengaja memilih lagu Kul It sebagai single pertamanya. Kata Atai, Kul It merupakan sebuah lagu yang berkualiti tetapi kurang mendapat sambutan pada zaman kegemilangan Sudirman.
“Ketika lagu tersebut muncul di corong-corong radio, ia tidak berapa diminati ramai. Peminat-peminat Sudirman lebih meminati lagu-lagu berentak balada berbanding lagu-lagu rancak seperti Kul It.
“Bagi memberikan penghormatan kepadanya, saya mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu tersebut dengan sususan muzik baharu. Tetapi, struktur lagu tersebut tidak berubah,” jelasnya yang turut merakamkan klip video singlenya itu bagi tujuan promosi.
Single tersebut turut mengukir sejarah apabila menjadi lagu Malaysia pertama yang boleh dikirim sebagai hadiah dalam bentuk poskad. Hasil kerjasama Sudirman Asset Management dan Trinerva Technology, poskad yang berharga RM9 itu boleh dibeli secara online menggunakan aplikasi telefon pintar iprinz.
Suara mirip Sudirman
Ketika sesi pra dengar lagu tersebut, suara Atai yang menyanyikan versi baharu Kul It kedengaran mirip suara Sudirman.
Tidak melatah dengan kritikan tersebut, Atai memberitahu, memang vokalnya kedengaran mirip dengan suara penyanyi yang pernah popular dengan lagu Merisik Khabar itu.
“Tidak dinafikan, vokal saya memang mirip suara arwah bapa saudara saya. Walaupun ia mungkin mengelirukan, tetapi saya menganggapnya sebagai satu perbandingan yang positif.
“Tetapi, jika pendengar meneliti suara saya dengan betul, saya pasti mereka dapat membezakan kelainan suara saya dengan Sudirman,” jelas Atai yang menyifatkan pelancaran single ini sebagai batu loncatan untuknya menghasilkan banyak lagu-lagu baharu pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: