|
TIDAK dinafikan drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta lakonan mantap Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose mendapat sambutan yang cukup baik daripada penonton.
Cuma, Mizz Lahar agak terkejut apabila terdapat pelbagai cerita yang kurang baik membabitkan para pelakon yang membintangi drama berkenaan.
Selepas reda seketika kisah intim antara Sharnaaz dan Nelydia sehingga menimbulkan rasa cemburu kekasihnya, pelakon, Qi Razali, apabila Sharnaaz terlibat pula dalam kancah kontroversi dengan seorang lagi pelakon drama itu, Lisdawati.
Lebih mengejutkan apabila Lisdawati bersama suaminya, pelakon Fauzi Nawawi telah membuat laporan polis gara-gara mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada Sharnaaz.
Menurut Lisdawati, semuanya berpunca daripada tindakan Sharnaaz yang telah menengkingnya tanpa sebarang alasan ketika sedang menjalani penggambaran drama tersebut pada 19 Februari lalu.
Kemudian, Fauzi dan Sharnaaz saling berbalas SMS apabila Fauzi inginkan penjelasan daripada Sharnaaz tentang tindakannya itu sehinggalah laporan polis dibuat.
Kemudian, rakan Mizz Lahar, wartawan Roni Hidayat Ridwan telah menghubungi Sharnaaz pada Isnin lalu, tetapi pelakon itu masih enggan memberikan sebarang komen.
Namun, mengejutkan apabila Sharnaaz mengakui sedang mempertimbangkan untuk turut membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya.
Sebenarnya, Mizz Lahar masih tertanya-tanya tentang punca bagaimana masalah tersebut boleh timbul. Rasanya, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik, asalkan kedua-dua pihak bertemu dan berbincang mengenainya.
MIZZ LAHAR: Harap bertemu jodoh seorang jejaka yang romantik dan penyayang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: