Saturday, February 1, 2014

Sarang walit paling bersih


  • Sarang walit paling bersihIbrahim (kiri) memerhatikan dua pekerjanya membersihkan sarang burung walit yang perlu dilakukan dengan teliti.

PASIR PUTEH - Sarang burung walit merupakan sarang burung paling bersih jika dibandingkan dengan sarang 20 lagi spesies burung layang-layang yang terdapat di negara ini.

Perkara itu didedahkan pengusaha, Ibrahim Mohamed yang menceburi bidang tersebut sejak berpuluh tahun lalu dan mengkaji habitat burung walit yang dianggapnya sebagai haiwan unik ciptaan ALLAH.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Walid Power Sdn Bhd berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa sarang burung walit kotor kerana bercampur najis adalah tidak benar.

Menurutnya, burung walit membuat sarang sebelum bertelur tapi tidak berada di dalam sarang seperti burung layang-layang lain, selain berada di sarang secara bergantungan dengan menggunakan paruh.

“Burung layang-layang lain berada di dalam sarang dan banyak menggunakan kaki, berbeza dengan burung walit yang banyak menggunakan paruh dan hanya menyediakan sarang untuk kemudahan anak-anaknya.

"Bagaimanapun, kita mesti membersihkan sarang dengan teliti bagi mengeluarkan bulu anak burung yang melekat pada sarang tersebut sebelum memprosesnya sebagai minuman berkhasiat atau produk pemakanan dan selepas dibersihkan, sarang dikeringkan dengan suhu yang sesuai sebelum disimpan di tempat sejuk," katanya.

Ibrahim berkata, kelebihan itulah yang menjadikan perniagaan sarang burung walit kekal berdaya maju walau harganya sedikit menurun berbanding beberapa tahun lalu.

Menurutnya, harga sarang walit ketika ini sekitar RM1,650 sekilogram dan boleh mencecah sehingga RM10,000 untuk gred terbaik yang siap dibersihkan.

“Saya tidak menjual sarang burung ini kerana saya menghasilkan produk sendiri iaitu Walit As-Sunnah, Walit Collagen Coffee dan Walit Jantan yang dipasarkan secara terus dan perniagaan bersistem.

“Malah bekalan yang dapat saya hasilkan tidak mencukupi yang memaksa saya membelinya daripada pengusaha lain bagi memenuhi keperluan pasaran produk yang saya hasilkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Kandis dekat sini, semalam.

Ibrahim berkata, beliau bersedia berkongsi pengalaman dengan mereka yang berminat mengkaji burung walit dengan menjemput orang ramai berinteraksi dengannya dengan melayari www.assunnah2u.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: