Tuesday, February 25, 2014

Anugerah penyambung hayat lakonan




MUNGKIN ada yang melihat anugerah Pelakon Wanita Pilihan yang diraih Nur Fathia Abdul Latiff, 26, ketika Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) baru-baru ini adalah satu tempias daripada populariti drama rantaian Ariana Rose yang baru menamatkan siaran dua minggu lalu.
Tambahan pula penjurian anugerah yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kumpulan TV3 dan TV9 itu memberikan peluang kepada penonton untuk mengundi calon yang dirasakan layak menerusi undian secara dalam talian dalam durasi 1 Januari hingga 21 Februari lalu.
Mengulas mengenai kemenangan itu, kata Fathia, dia tidak melihat impaknya yang mendukung peranan utama dalam drama bersiri Ariana Rose yang disiarkan dalam slot Akasia TV3 adalah faktor pemangkin undian kali ini.
"Ada dua buah drama lakonan saya dicalonkan dalam anugerah kali ini iaitu Dalam Setiap Sujud dan Diandra. Kedua-dua naskhah itu menampilkan dua karakter saya yang sangat kontra.
"Dalam Setiap Sujud saya melakonkan watak Jannah dan saya akui pembawaan saya dalam drama itu hampir sama seperti drama Ariana Rose.
"Bagaimanapun untuk drama Diandra pula memaparkan saya memegang watak tomboy yang sekali gus telah membuka mata penonton dan mungkin peminat saya selama ini.
"Kemenangan ini kerana naskhah Diandra itu sendiri, bukan kerana penangan Ariana Rose yang saya yakin telah menjadi fenomena sepanjang siarannya di TV3," katanya yang ditemui usai Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fathia telah mengalahkan empat pesaing terbaiknya Siti Saleha menerusi lakonan dalam drama Ruby, Tiz Zaqyah (Sebenarnya Saya Isteri Dia), Nabila Huda (Janji Shirah) dan Zara Zya ( Love You Mr. Arrogant).
Kontroversi
Menanti untuk ditawarkan watak antagonis pula selepas ini, kata Fathia, anugerah yang diberikan kali ini benar-benar menghargai sumbangannya selama lima tahun dalam industri.
"Memang berbaloi penantian saya. Anugerah ini bukti bahawa peminat saya menghargai bakat lakonan saya selama ini.
"Ia juga kembali memberikan nafas kepada saya untuk kembali bernyawa dalam industri kerana ada ketika saya berasa kesulitan untuk mengekalkan survival dengan persaingan yang semakin sengit," tambahnya.
Ironi, melalui Ariana Rose yang cukup gah, Fathia rupanya kembali diseret dengan sensasi mengenai sikap kurang profesionalnya.
DINOBATKAN sebagai Pelakon Wanita Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), Fathia melihat ia sebagai pemangkin untuk dirinya bekerja lebih keras.


Menerusi tulisan dalam sebuah ruangan gosip hujung minggu, Fathia didakwa bersikap tidak profesional dan sempat bertelagah dengan salah seorang kru produksi.
Selain didakwa tidak mahu melakukan promosi untuk drama rantaian tersebut, dia turut dikatakan menyusahkan rakan pelakon lain apabila gagal menghafal skrip.
Ini jawapan Fathia. Ujarnya, perselisihan faham antara dia dan produksi drama itu berlaku memandangkan mereka duduk bilik berasingan selama tempoh lapan hari di kota London.
"Dakwaan saya tidak berdisiplin dan buat hal di set penggambaran tidak tepat. Saya juga tidak pernah tidak menghafal skrip.
"Sebaliknya untuk memberikan yang terbaik, selalunya saya akan melakukan latihan dua tiga kali.
"Malah, ada juga berlaku salah faham berkenaan jadual penggambaran kerana kami tidak tinggal sebilik. Tiada istilah saya lambat sampai membiarkan Keith Foo kesejukan.
"Mengikut kontrak sepanjang di sana saya dibenarkan berehat selama tiga hari, tapi kebanyakan masa rehat ditarik balik untuk melunaskan penggambaran.
"Sehingga tiba hari terakhir, saya terpaksa bertegas untuk meluangkan masa bersama adik perempuan saya sebelum menghantarnya pulang ke Dublin.
"Lagipun, penggambaran untuk promosi drama Ariana Rose sudah dibuat pada malam sebelumnya," ujarnya yang diwajibkan terbabit dengan penggambaran telefilem tambahan di London.
Kontroversi yang tercetus itu umpama ulangan kepada kontroversi yang tercipta pada tahun 2011.
Selain kontroversi termasuk insiden membaling telefon kepada seorang pengarah terkenal ketika di set penggambaran, dia juga tidak lari daripada masalah disiplin, khususnya pengaturcaraan dan pengurusan jadual peribadi.
Dalam masa yang sama, Fathia turut diburu dengan gosip yang mengaitkannya dengan golongan kenamaan dan kerabat.
"Setiap pelakon ada sejarah masing-masing dan tidak akan dapat melarikan diri daripada gosip tapi apa yang penting adalah bagaimana seseorang artis itu mengawal setiap situasi di sekelilingnya dan hadapi dengan tenang.
"Pokoknya saya sendiri perlu atasi dan memperbaiki diri untuk menjadi seorang individu yang lebih baik.
"Sebagai seorang manusia, silap itu akan tetap berlaku tapi saya menolak ketepi semua itu.
"Tekad saya adalah melakukan seratus peratus terbaik apabila diberikan kepercayaan oleh penerbit atau pengarah dan selagi saya tidak puas saya sendiri yang akan meminta agar babak saya diulang berkali-kali," jelasnya tenang.
AIMAN sentiasa memberi sokongan terhadap Fathia.


Bakat Fathia mula dikesan menerusi lakonannya dalam drama rantaian Hani pada tahun 2010 yang menjayakan peranan Ummu Hani.
Kegemilangan mutu lakonan Fathia dipersembahkan dalam drama bersiri seperti Stanza Cinta, Mahabbah, Dalam Setiap Sujud, Diandra dan terkini Ariana Rose.
Fathia juga pernah membintangi tiga buah filem iaitu Al-Hijab, Nasi Lemak 2.0 dan Darah Panas yang masih menanti tarikh tayangannya.
Selain itu, Fathia turut membuktikan kredibilitinya beraksi di pentas teater menerusi pementasan teater bangsawan Bidasari di Istana Budaya yang baru berakhir 17 Februari lalu.
Berehat
Selepas badai populariti Ariana Rose, penuntut jurusan Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu akan berehat seketika untuk memberikan fokus kepada pelajaran.
"Alhamdulillah selepas diumumkan keputusan semester lepas baru-baru ini, semangat untuk kembali fokus dalam pelajaran semakin membara.
"Insya-Allah tahun ini akan tamat pengajian saya dalam bidang tersebut. Justeru, buat seketika ini saya mahu berehat untuk memulihkan mental dan fizikal yang terlalu penat bekerja," ujarnya.
Diminta mengulas mengenai insiden dirasuk dan pengsan ketika pertengahan aksi dalam teater bangsawan Bidasari baru-baru ini, Fathia enggan memanjangkan cerita.
"Saya tidak pasti saya dirasuk ketika itu tapi apa yang boleh dikongsikan, saya tiba-tiba pengsan ketika menari di atas pentas dan tidak sedarkan diri.
"Ketika sedar saya nampak dua orang ustaz di tepi saya dan kawan-kawan saya cakap mereka nampak kelibat saya di belakang pentas.
"Selain itu macam-macam cerita mistik lagi timbul. Tapi apa yang pasti badan saya berbekas lebam kebiru-biruan selepas tamat teater itu.
"Nak kata Kak Engku pukul saya rasanya tidak, sebab dia cuma acah-acah saja tapi saya yang mengembangkan pergerakan seperti dipukul betul-betul dan tak rasa sakit pun," ceritanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: