Friday, February 28, 2014

Perigi alternatif tangani krisis air


  • Perigi alternatif tangani krisis airMohd Isam (dua, kiri) dan Hamzah (duduk) meninjau keadaan perigi di Kampung Sungai Kepong, dekat sini, semalam.

GEMENCHEH – Dua perigi di Kampung Sungai Kepong, dekat sini, akan dibersihkan dan disediakan kemudahan pam air sebagai persediaan awal sekiranya berlaku masalah catuan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Jerneh, Hamzah Pondot berkata, perigi yang berusia ratusan tahun lalu tidak pernah kering dan menjadi sumber air utama buat lebih 400 penduduk semasa krisis air yang berlaku pada 2005.

Menurut Hamzah, walaupun di sesetengah  kawasan sumber air semakin kering, namun perigi berkenaan masih dipenuhi air.

"Kita sudah mengetengahkan cadangan ini kepada Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa untuk membersihkan lokasi perigi ini sebagai persediaan sekiranya catuan air terpaksa dilakukan.

“Sebelum ini juga, perigi ini pernah digunakan sebagai sumber air ketika penduduk mengalami masalah catuan air hampir 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi dimaksudkan, dekat sini, semalam.

Hamzah berkata, perigi sedalam 1.5 meter yang terletak di atas tanah persendirian itu telah dinaik taraf oleh Rural Industrial Development (RIDA) sekitar 60-an.

Sementara itu, Mohd Isam berkata, sebagai persediaan awal, setiap JKKK di Dun berkenaan yang memiliki perigi perlu memelihara dan membaik pulih perigi berkenaan sekiranya langkah catuan air tidak dapat dielakkan.

Buat masa ini katanya, hanya perigi di Kampung Sungai Jerneh dan Kampung Air Rawa yang masih mempunyai air serta boleh digunakan sekiranya catuan air berlaku.

“Ini hanya sebagai persediaan sekiranya catuan air berlaku di Dun ini dan kita juga akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk memeriksa terlebih dahulu kesesuaian air ini untuk dijadikan sumber minuman.

“Terdapat 17 kampung tradisi dan dua kampung baharu di Dun Gemencheh. Oleh itu, kita akan menyalurkan peruntukan bersesuaian untuk menyediakan kemudahan pam air buat penduduk sekiranya catuan air terpaksa dilaksanakan di kawasan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: