Wednesday, February 26, 2014

Kartun comel imbau alam persekolahan

NAMA Conteng-conteng datang daripada hobi menconteng buku latihan sekolah ketika bersekolah rendah.


SEBELUM bergelar wartawan, penulis agak rajin menulis di blog dan pada masa sama mengikuti beberapa blog penulis tempatan. Pada ketika itu, penulis begitu tertarik dengan blog milik Mohd. Fadhli Hamdan, 27, yang memuat naik lakaran-lakaran yang melucukan.
Setelah mengikuti blognya selama empat tahun, seperti diduga, pemilik laman web www.contengconteng.com itu semakin dikenali oleh penggemar komik di Malaysia. Mengapa? Mohd. Fadhli bukan sahaja menyampaikan ilustrasi dengan jenaka kosong tetapi ada mesej tersirat diselitkan dalam setiap karyanya.
Bapa kepada seorang anak itu mula melukis sejak di bangku sekolah dan sedang meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang bioteknologi di Universiti Manchester, England.
Bermula dengan watak kucing nakal yang digambarkan suka mengusik, kini lukisan-lukisannya berkembang kepada watak kanak-kanak lelaki bernama Jimi.
Gaya penceritaannya cukup ringkas tapi disampaikan dalam lakaran yang comel biarpun sekadar bercerita tentang kenangan lama. Rata-rata pembaca memberikan ulasan bahawa lukisan Mohd. Fadhli mampu mengimbau memori alam kanak-kanak.
SEPANJANG pembabitannya dalam dunia lukisan, Mohd. Fadhli berjaya meraih beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan.


“Saya amat berpuas hati apabila dapat memerah idea dan kreativiti untuk menghasilkan setiap karya. Ia haruslah mempunyai tema dan mesej yang santai serta positif terhadap pembaca.
“Setakat ini, sudah terdapat enam buku saya yang sudah diterbitkan. Tiga daripadanya berformat indie dan dijual di blog saya,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia lukisan, Mohd. Fadhli berjaya meraih beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Antaranya, johan peraduan anjuran World Wide Fund untuk Alam Sekitar (Malaysia) pada tahun 2012 dan Blogger pilihan Utusan (2013).
Sejak dua tahun lalu, beliau banyak mengikuti karya Gavin Aung Than yang merupakan kartunis dari Australia. Kartunis tersebut menghasilkan ilustrasi dengan mengadaptasi petikan-petikan ayat motivasi daripada individu terkenal dari seluruh dunia. Mohd. Fadhli cukup mengagumi kebolehan dalam teknik penceritaan kartunis berkenaan.
Kesibukannya bergelar pelajar di negara orang dan komitmen kepada keluarga membuatkan beliau membataskan aktiviti menulis dan melukis diluangkan pada hujung minggu sahaja.
Menurut Mohd. Fadli, idea untuk komiknya datang daripada komen yang dikongsikan oleh pembaca di laman web beliau, hasil bacaan buku, tontonan di internet dan pengalaman sendiri.
Melalui karya terbaharunya, Buku Conteng: Jimi dan Kertas Ajaib, Mohd. Fadhli melukis tentang sekumpulan pelajar sekolah yang ingin memenangi pertandingan projek Sains Kreatif dengan menghasilkan ‘kertas ajaib’.
BUKU Jimi dan Kertas Ajaib dijual melalui laman web rasmi Mohd. Fadhli.


Tema
“Buku ini adalah gabungan penceritaan novel dan komik ala Diary of Wimpy Kid oleh Jeff Kinney dari Amerika Syarikat dan Kampung Boy oleh Datuk Lat (Malaysia).
“Latar tempat pula merupakan suasana sekolah rendah di negara kita,” katanya yang mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan buku tersebut.
Kisah di sebalik tema yang diangkat menceritakan tentang pentingnya kreativiti dan semangat setia kawan dalam menghadapi cabaran dalam mengejar impian masing-masing.
Jimi adalah seorang pelajar yang kreatif dan berimaginasi tinggi serta mempunyai dua misi baharu yang sangat mencabar. Pertama, dia ingin membantu sahabat baiknya, Ganesh membuat persiapan bagi pertandingan lontar peluru yang akan berlangsung pada Hari Sukan biarpun sahabatnya itu dari rumah sukan berbeza.
Pencabarnya pula bukan calang-calang orang iaitu Laksamana Lui. Cabaran kedua, Jimi dan kumpulannya memasuki pertandingan projek Sains Kreatif yang memerlukan kumpulannya melaksanakan satu projek sains yang belum pernah dibuat oleh sesiapa di sekolahnya. Mereka memanggilnya sebagai kertas ajaib.
Bagi mengetahui kisah selanjutnya, buku tersebut boleh dibeli secara terus daripada Mohd. Fadhli di laman webnya dan dijual pada harga RM12.90 senaskhah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: