DRAMA rantaian Love You Mr. Arrogant lakonan Azlee Khairi dan Zara Zya telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Drama Pilihan pada majlis Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) berlangsung buat julung-julung kalinya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Drama yang mengisi slot Akasia TV3 itu telah mengalahkan empat pencabar terdekat iaitu Ruby (Samarinda), Diandra (Lestary), Karlos (Aksi) dan Sebenarnya Saya Isteri Dia (Zehra).
Love You Mr. Arrogant turut memenangi kategori Hero & Heroin Pilihan yang menobatkan masing-masing Azlee Khairi dan Zara Zya sebagai pemenang.
Azlee turut mengalahkan Sharnaaz Ahmad (Ruby), Aiman Hakim Ridza (Diandra), Izzue Islam (Sebenarnya Saya Isteri Dia) dan Aeril Zafrel (Janji Shirah) dalam kategori Pelakon Lelaki Pilihan.
Mengulas mengenai kemenangan besar drama tersebut, kata Azlee dia melihat kerjasama sepasukan produksi Love You Mr. Arrogant yang telah berjaya melonjakkan drama itu hingga tahap terkini.
“Bergandingan dengan Zara Zya antara perkara paling sukar yang pernah saya lakukan tapi tidak dinafikan keserasian yang terbentuk antara kami adalah satu garapan yang berjaya.
|
“Dia memudahkan kerja saya. Bagi saya sendiri mencari karakter Mr. Arrogant yang bukan tipikal sombong itu memang sukar.
“Kalau ada resipi lain misalnya merebus novel untuk memudahkan kerja saya, sudah pasti saya lakukan. Alhamdulillah selepas empat kali baca baru berjumpa karakter sebenar yang semua mahukan,” kata Azlee yang ditemui sebaik berakhir majlis anugerah DFKL di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi Zara Zya pula, kemenangan yang tidak disangka itu berbekalkan kualiti naskhah asal Love You Mr. Arrogant yang diadaptasi daripada novel tulisan Aliesha Kirana.
“Pengarah, produksi dan pelakon masing-masing memainkan peranan penting untuk menggerakkan naskhah hebat ini. Syukur kerana diberikan peluang untuk terbabit menjayakan drama yang berjaya memenangi anugerah.
“Penonton sekarang sudah pandai menilai, mereka mahukan cerita cinta yang ringan dan santai. Mereka suka dan saya pun suka,” katanya.
Sementara itu, ulas pengarah drama Love You Mr. Arrogant, Eoon Suhaini, tiga elemen utama yang disedut intipatinya daripada novel asal telah menjadikan resipinya diterima ramai.
“Pada awal mengarah drama ini saya mencari tiga perkara penting iaitu siapakah Mr. Arrogant, bagaimanakah kemahuan ‘arrogant’ dan di manakah cinta?
“Apabila berbincang dengan penerbit drama ini, kami mahukan pemilihan pelakon yang masih hijau dalam industri hiburan. Alhamdulillah, drama ini tidak menjadi sebuah naskhah yang klise,” katanya.
Majlis nugerah Drama Festival Kuala Lumpur yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran Kumpulan TV3 dan TV9. Undian setiap kategori dijalankan secara online bermula 1 Januari hingga 21 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: