Tuesday, February 25, 2014

Relevankah pakaian bulu eksotik?




PAKAIAN menggunakan bulu haiwan membuat kemunculan semula secara besar-besaran di atas pentas peragaan utama di dunia.
Kerancakan industri yang berkembang maju di negara-negara Nordic ini sekali gus menyebabkan kekecewaan kepada aktivis hak asasi haiwan yang tanpa henti berusaha menghalang tindakan yang dianggap menyeksa haiwan dan tidak beretika itu.
Pada era 1990-an, model-model terkemuka seperti Claudia Schiffer, Cindy Crawford dan Naomi Campbell melibatkan diri secara aktif bersama sebuah gerakan hak asasi haiwan, Layanan Beretika Untuk Haiwan (PETA) dengan melaungkan slogan, 'Saya lebih rela berbogel daripada memakai bulu haiwan'.
Bagaimanapun, dua dekad kemudian, bulu-bulu haiwan seperti cerpelai dan musang telah mendominasi sepenuhnya pertunjukan fesyen yang paling berprestij.
Trend
Menurut laman web www.fashionista.com, sebanyak 70 peratus daripada pereka fesyen dunia menggunakan bulu tulen dalam koleksi musim luruh/sejuk tahun lalu. Ia dilihat menjadi satu trend yang akan berterusan dalam tahun-tahun mendatang.
Sesetengah pakar dalam bidang fesyen berpendapat, kemunculan semula penggunaan bulu haiwan dalam arena fesyen mungkin disebabkan oleh krisis kewangan yang sedang melanda dunia.
"Jika anda berada dalam situasi ekonomi semakin merundum, ahli-ahli politik akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting iaitu bagaimana untuk merangsang semula pertumbuhan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan," kata Ketua Pelobi Fur Europe, Bo Manderup.

AKTIVIS hak asasi perlindungan haiwan menolak semua jenis fesyen yang membabitkan pengorbanan haiwan.


Tambahnya, pertimbangan keadilan mungkin hilang bersama krisis kewangan yang dihadapi.
Menurut rumah lelongan dari Finland, Saga Furs, dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pengeluaran bulu cerpelai global telah bertambah sebanyak dua kali ganda sehingga mencapai 66 juta kulit pada tahun lalu.
Di sebalik peningkatan pengeluaran dari China, rantau Eropah masih mendahului kedudukan pengeluaran bulu haiwan dunia dengan Denmark menduduki tempat pertama.
Sekitar 1,400 petani di Denmark dikesan mengeksport bulu cerpelai bernilai AS$2.4 bilion (RM7.91 bilion) pada tahun lalu, menjadikannya eksport pertama Denmark ke China yang menjadi lokasi pemprosesan kulit-kulit tersebut.
Mengikut cadangan Majlis Eropah, yang mensyaratkan saiz sangkar minimum 0.8 meter persegi bagi musang dan 0.225 meter persegi untuk cerpelai, industri itu turut mencipta label pengesahan asal-usul dan maklumat kesejahteraan haiwan.
Beretika
Inisiatif tersebut dilabel sebagai green-washing, satu percubaan yang diusahakan oleh persatuan hak asasi haiwan di Austria, Vier Pfoten.
Persatuan yang sama juga bertanggungjawab menyebarkan sebuah rakaman video yang didakwa dari sebuah ladang pengeluar bulu musang utama di Finland.
Ladang bulu di Finland yang menggunakan label Saga Furs sepatutnya menegakkan amalan penggunaan kulit bulu yang beretika. Bagaimanapun, persatuan Austria itu menyatakan syarat-syarat yang dikenakan dalam operasi ladang boleh diklasifikasi sebagai 'penyeksaan'.
Rakaman itu mendedahkan musang yang ekornya putus, kemungkinan disebabkan pergaduhan sesama sendiri, sebab-sebab lain seperti berpunca daripada obesiti kerana kurangnya aktiviti fizikal atau tempat tinggalnya di atas timbunan najis.
PAKAIAN bulu haiwan semakin mendapat perhatian golongan muda.


"Ini menunjukkan tidak ada amalan mesra haiwan yang dipraktikkan di sini," kata pakar haiwan Vier Pfoten, Thomas Pietsch.
Selain aspek kesejahteraan haiwan, aktivis hak asasi haiwan berpendapat adalah wajar peladang membunuh haiwan menggunakan kaedah gas untuk cerpelai dan kejutan elektrik untuk musang.
"Sesetengah orang suka makan daging, manakala yang lain pula tidak suka. Tentu sekali saya menghormati pilihan mereka kerana ia adalah pilihan peribadi. Begitu juga dengan bulu haiwan. Ada yang suka, ada yang tidak.
"Haiwan itu tidak kisah, sama ada ia dimakan atau dipakai," kata Manderup.
Teknik yang diperbaiki dan usaha pemasaran telah memberi imej tersendiri kepada fesyen pakaian berbulu.
Nafas baharu
Kot bulu cerpelai berwarna gelap yang panjang telah ditinggalkan. Bulu haiwan diberi nafas baharu dalam rekaan berbentuk aksesori, kolar, tali pinggang atau selendang.
Dalam pasaran Rusia dan China yang pesat berkembang, pemakaian bulu menjadi simbol status, seperti kereta mewah Jerman atau beg tangan berjenama.
Akibatnya, harga cerpelai meningkat secara drastik pada tahun-tahun kebelakangan ini sekali gus menarik penglibatan usahawan-usahawan baharu.
Buat kali pertama dalam 20 tahun, Sweden telah melibatkan diri dalam operasi ladang pengeluaran bulu. Golongan petani muda dilihat berminat memulakan perniagaan mereka sendiri. Kulit haiwan seperti babi dan haiwan tenusu turut menjadi pilihan sekali gus menggandakan lagi pendapatan mereka.
Pada musim lelongan Disember lalu, berikutan musim sejuk sederhana di China, lebihan bulu membawa kepada penurunan harga sehingga 26 peratus. Menurut pusat lelongan Kopenhagen Fur di Denmark, syarikatnya gagal menjual 80 peratus daripada produk mereka.

BULU haiwan seperti beruang dilihat mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.


Pakar dalam bidang itu berharap harga kembali stabil dengan sedikit di bawah rekod harga tertinggi sebelum ini.
Dalam pada itu, pengkritik dan aktivis yang menentang penggunaan bulu haiwan dalam fesyen tidak pernah berputus asa termasuk mengadakan demostrasi jalanan.
Tindakan mereka juga boleh menjurus kepada kesudahan yang ganas. Misalnya di Sweden, para petani ladang ternakan diserang dan beberapa pemilik telah diancam dan dipukul.
"Mereka adalah aktivis radikal," kata Profesor Sosiologi, Universiti Gothenburg di Sweden, Kerstin Jacobsson.
"Mereka menghadapi kesukaran untuk memahami bahawa masyarakat arus perdana tidak memahami penderitaan ini."
Sesetengah negara mengambil garis panduan yang tegas terhadap aktiviti perdagangan bulu haiwan, yang dilihat menyebelahi kumpulan hak asasi haiwan.
Belanda, pengeluar bulu cerpelai keempat di dunia, pernah menyatakan akan mengharamkan aktiviti tersebut menjelang tahun 2024.
Seorang pakar pemerdagangan bulu haiwan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tamparan hebat kepada industri bulu.
Norway yang mengeluarkan bulu cerpelai dan musang masing-masing satu dan empat peratus di dunia telah menetapkan tarikh akhir pada Disember 2014 sama ada untuk merombak atau memperkenalkan satu undang-undang penggunaan bulu haiwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: