Monday, February 24, 2014

Bersatu di 'Medan' Pameran



CIKGU RAZAK menggunakan cara berbeza dalam meluahkan perasaan dengan menterjemahkannya menerusi karya lukisan khat.


MENGGUNAKAN kanvas-kanvas putih, mereka melakari setiap sudut dengan warna-warna yang pelbagai.
Lebih mengujakan, artis-artis seni ini pintar mengaplikasikan penggunaan warna-warna alam yang mengasyikkan dalam pelbagai idea dan subjek di atas kanvas masing-masing.
Apabila disatukan, mereka sebenarnya mempunyai minat dan pandangan yang sama dalam melihat alam serta manusia di sekeliling sebelum diterjemahkan menerusi karya mengagumkan.
Di Galeri Seni Universiti Malaya (UMAG) baru-baru ini, para artis terbabit bergabung menunjukkan kebolehan dan bakat dalam menghasilkan karya masing-masing menerusi pameran bertemakan Reflections.
Antara artis yang terlibat ialah bekas guru dari Perak, Abdul Razak Osman; pereka kasut Bata dan Nike serta penyanyi, Adnan Othman: pereka grafik, Fauzi Rahim dan Hairul Azzahar Mahzan.
Turut terlibat ialah pelukis potret mahkamah, Jimmy Khalil; guru muzik dan pencipta lagu keroncong, Mahzan Manan; Pengarah Seni dan Pereka Grafik, Mustaffa Mahmood serta Pereka Seni Filem dan pemenang Pengarah Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia (tahun 2007 hingga 2009), Nazrul Asraff Mahzan.
Pada pameran tersebut, UMAG menyediakan platform kepada semua artis yang tidak pernah dan tidak diberikan peluang untuk mengadakan pameran.
Bukan itu sahaja, UMAG juga memberikan tunjuk ajar kepada mereka termasuk cara menyusun dan menetapkan harga sesuatu karya.
Minat
Bagi Abdul Razak yang dipanggil sebagai Cikgu Razak, 71, memberitahu, sebanyak 14 karya miliknya dipamerkan di galeri berkenaan bertemakan seni khat, air dan muzik.
Menurut beliau, minatnya terhadap seni bermula sejak kecil dan menyedari bahawa setiap orang mempunyai cara yang berbeza-beza dalam meluahkan perasaan.

MAHZAN menyelitkan mesej dalam menghasilkan setiap karya lukisannya.


"Saya melihat seni lukisan ini mempunyai kaitan terhadap keadaan persekitaran dan kehidupan manusia itu sendiri.
"Justeru, saya memilih untuk menterjemahkan elemen-elemen ini menerusi hasil karya bertemakan air, muzik dan khat," katanya kepada Kosmo baru-baru ini.
Sementara itu, bekas penyanyi era pop yeh-yeh pada tahun 1968 hingga 1975, Adnan memberitahu, dia mula terlibat secara serius dalam menghasilkan lukisan beberapa tahun lalu meskipun bidang itu diminati sejak zaman remaja lagi.
Menurut bekas pereka kasut Bata dan Nike itu, karya yang dihasilkannya memberi fokus kepada landskap, alam semula jadi, laut, potret dan abstrak menggunakan medium akrilik, minyak, arang dan sebagainya.
"Kini saya menumpukan sepenuh masa dengan menghasilkan karya-karya lukisan di galeri sendiri di Ampang.
"Biasanya saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghasilkan sebuah karya bahkan ada yang sebulan, bergantung kepada jenis karya itu," ujarnya.
Adnan memberitahu, kebanyakan hasil karyanya dibeli oleh rakan-rakan, golongan profesional dan Agensi Kaunseling and Pengurusan Kredit di Bank Negara.
Sehubungan itu, beliau memuji langkah UMAG memberi peluang kepada artis-artis untuk membuat pameran di galeri Universiti Malaya yang secara tidak langsung membuka ruang kepada para pelukis mengetengahkan karya masing-masing.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: