Thursday, February 27, 2014

Lemah serba serbi



FILEM Aku Akan Muncul merupakan naskhah pertama terbitan RM Vision Film.


MENGHASILKAN sebuah filem genre seram bukan perkara yang mudah. Sesebuah produksi itu harus mengambil kira mutu lakonan para pelakon, teknik visual yang diketengahkan dan dalam masa yang sama menampilkan skrip dan jalan cerita yang bermutu tinggi.
Melalui rangkuman kesemua aspek tersebut, filem yang dihasilkan tidak membosankan dan mampu untuk bersaing dengan filem-filem seram sedia ada.
Namun, lain pula kisahnya apabila berpeluang menonton naskhah berjudul, Aku Akan Muncul
Filem sulung terbitan RM Vision Film Production Sdn. Bhd. itu tampak begitu lemah walaupun diterajui oleh pelakon-pelakon berpengalaman seperti Julia Ziegler, Datuk Jalaluddin Hassan dan Allahyarham Maimon Mutalib.
Mana tidaknya, lebih kurang 30 minit pertama, babak-babak awal dalam filem arahan Roy Krishnan itu didominasi oleh pelakon-pelakon baharu yang ternyata tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.
Sepanjang tempoh tersebut, penonton disajikan dengan pekikan suara tiga pelakon wanita baharu yang dilihat sengaja diselitkan dalam setiap babak tanpa sebarang tujuan.
Lebih menyedihkan, setiap dialog yang dilontarkan seperti senada tanpa sebarang intonasi. Persoalannya, adakah mereka tidak menjalani latihan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi penggambaran?
Dari segi mutu lakonan pelakon-pelakon lain, filem ini mungkin diselamatkan secara tidak langsung apabila babak imbau kembali bermula.
Babak yang digambarkan sekitar 40 tahun lalu diserikan dengan kemunculan watak Kesuma lakonan Julia Ziegler dan Ramlee (Musli Ramli).
Bagaimanapun, dialog Melayu lama yang bercampur aduk dengan gaya bercakap ala moden mematahkan kesinambungan babak-babak yang terkandung dalam bahagian imbau kembali itu.
Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada mutu lakonan yang ditonjolkan oleh Jalaluddin dan Maimon. Tidak keterlaluan, walaupun filem ini boleh dikategorikan sebagai filem biasa-biasa, namun, usaha yang ditampilkan oleh kedua-dua pelakon ini perlu diberi perhatian. Namun, agak mengecewakan apabila watak dukun lakonan Maimon tidak menggunakan suara asalnya.
Watak-watak hantu yang ditampilkan pula diwujudkan dengan bantuan kesan-kesan khas solekan serta efek janaan komputer (CGI).
Malangnya, elemen CGI yang ditampilkan tampak sangat murahan lalu menyebabkan jalinan hubungan pelakon dengan babak tersebut kelihatan agak janggal.
Selain itu, banyak watak hantu yang ditonjolkan sukar untuk difahami oleh penonton. Sebagai contoh, watak hantu air yang muncul pada permulaan filem tidak begitu diperlukan bagi menunjukkan kebangkitan roh jahat Kesuma.
Dalam pada itu, watak hantu yang disuntik elemen komedi juga dirasakan tidak perlu kerana mood serius yang cuba ditampilkan sepanjang perjalanan cerita hilang begitu sahaja.
Berbalik kepada penceritaan, plot yang cuba ditonjolkan sering kali terpotong dek kehadiran babak panorama yang kelihatan seperti sebuah dokumentari yang diceduk daripada negara asing.
Tanpa sebarang motif, babak-babak tersebut sedikit sebanyak mencacatkan penampilan filem itu dari mula hingga ke akhir.
Secara keseluruhan, penghasilan naskhah Aku Akan Muncul dilihat lemah dari setiap sudut. Dari aspek pengarahan hinggalah mutu lakonan, ada sahaja yang tidak kena.
Aku Akan Muncul mengisahkan beberapa orang pelajar universiti membuat kajian di sebuah kawasan berdekatan dengan Gunung Ledang.
Setibanya di sana, salah seorang daripada mereka bertindak menggali sebuah kubur lama, menyebabkan kesemua mereka kemudiannya diganggu roh bernama Kesuma, seorang wanita yang kembali melunaskan janjinya untuk menjadi cantik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: