Tuesday, February 25, 2014

Pahit manis bergelar guru


  • Pahit manis bergelar guruKali terakhir bagi Salmah merekodkan kad perakam waktu di hadapan guru dan para pelajar di sekolah ini, semalam.

MENGKARAK - Setiap kali pencapaian peperiksaan mencatatkan peningkatan atau cemerlang, itulah kenangan terindah bagi bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Salmah Othman, 56 yang bersara mulai semalam.

Menurut Salmah, dalam tempoh 24 tahun bergelar guru, tiada apa yang lebih membahagiakan melainkan para pelajar memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik.

“Apa yang lalui di sekolah, semuanya kenangan manis kerana mendidik pelajar perlu dilakukan dengan seikhlas hati.

“Walaupun pelbagai dugaan yang menimpa, asalkan kita sanggup berdepan dengan cabaran itu, kita akan puas sebagai seorang pendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Persaraan yang dianjurkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, semalam.

Salmah yang pernah berkhidmat di SMK Bera Bandar 32 selama 16 tahun sebelum menyambung perkhidmatan di sekolah ini memberitahu, cabaran sebagai guru sentiasa meningkat dan berubah-ubah setiap tahun.

Katanya, teknik pembelajaran perlu mengikut perkembangan semasa supaya para pelajar tidak ketinggalan berbanding pelajar di kawasan bandar, malah kaedah komunikasi bersama ibubapa juga turut mengalami perubahan.

“Jika dahulu, ibubapa membenarkan guru-guru menegur atau merotan pelajar untuk kebaikan mereka tetapi keadaan itu jauh berbeza pada masa sekarang.

“Walaupun perkara itu tidak berlaku di sekolah ini, namun beberapa kes yang berlaku di negeri lain sudah menunjukkan perkara itu bukan mustahil berlaku pada masa akan datang, dan pada ketika itu peranan guru akan semakin mencabar,” katanya.

Menurut Salmah, sekiranya anak-anak mengadu sebarang kejadian di sekolah, ibubapa perlu menghadirkan diri untuk selidik terlebih dahulu sebelum menuduh pihak sekolah atau guru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: