ANDA tidak boleh mencipta pengalaman tetapi menghadapi dan mengutipnya daripada orang yang berpengalaman. Rahsia kejayaan hidup juga adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.
Mungkin dua mutiara kata di atas boleh digunapakai oleh lebih 700 peserta yang telah mengikuti bengkel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) selama dua hari di Pusat Konvensyen Times Square, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Februari lalu.
Festival drama pertama dan terbesar anjuran bersama TV3 dan TV9 itu menyaksikan 17 penceramah berpengalaman berkongsi ilmu menerusi bengkel yang membicarakan tentang empat aspek penting dalam sesebuah produksi drama iaitu pengarahan, lakonan, penulisan skrip dan komposisi muzik.
Para penceramah tersebut yang merupakan penggiat profesional tanah air yang termasuklah Kabir Bhatia, Fauziah Nawi, Azmeer, Datuk Rosyam Nor, Habsah Hassan, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani, Datin Paduka Umie Aida, Sabri Yunus, Rozie Rashid dan Erma Fatima.
Pelaburan baik – Fatimah
Salah seorang penceramah, Fatimah Abu Bakar memberitahu, bengkel DFKL bukan sahaja pelaburan bagus untuk TV3 dan TV9 tetapi juga pelaburan baik buat karya tempatan pada masa akan datang.
“Bengkel seperti ini bukan kali pertama. Ada kumpulan teater yang pernah buat. Tetapi, ia kali pertama dianjurkan oleh TV3 dan TV9. Bagi saya, ia usaha yang bagus. Sebabnya, kalau tidak buat, mereka (TV3 dan TV9) tidak tahu bagaimana hendak mencari bakat-bakat baharu di luar sana.
“Peserta yang terlibat juga dapat peluang merealisasikan impian mereka.
“Bagaimanapun, pihak TV3 dan TV9 kena asah lagi bakat mereka dan beri lebih banyak bengkel seperti ini walaupun mereka yang dipilih merupakan graduan seni persembahan.
“Secara tidak langsung lakonan mereka makin meningkat. Bukan mendatar sahaja. Selepas itu, baru kita akan nampak perubahan pada karya kita dalam tempoh beberapa tahun lagi,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai maklum balas peserta melalui bengkel yang diberikannya, kata Fatimah, hampir separuh daripada peserta bengkelnya bukan penuntut atau graduan seni.
Sebaliknya, mereka terdiri daripada suri rumah tangga dan juga pelajar-pelajar bidang komunikasi media.
“Memang terlalu suntuk masa yang diberi iaitu sejam setengah. Sebab kalau mahu betul-betul berkesan, sekurang-kurangnya bengkel seperti ini ambil masa selama tiga hari dan ia perlu diasingkan mengikut empat aspek iaitu pengarahan, penulisan skrip, lakonan dan komposisi muzik.
“Sebabnya, kita nampak maklum balas yang menggalakkan dan positif daripada orang ramai,” jelasnya yang berharap jika pihak TV3 dan TV9 ingin menganjurkan lagi bengkel sedemikian, masa yang diberikan kepada penceramah perlu dipanjangkan.
Besar harapan Fatimah agar pengalamannya selama lebih 30 tahun berkecimpung dalam seni persembahan dapat disalurkan kepada peserta-peserta yang hadir pada hari itu.
“Objektif saya adalah untuk berkongsi pengalaman kepada semua peserta. Saya lebih fokus pada skrip. Macam mana pelakon menggunakan skrip dan betapa pentingnya skrip kepada pelakon.
“Sharifah Amani pula kongsi pengalaman yang dia peroleh selama jadi pelakon. Bagaimanakah situasi realiti seorang pelakon.
“Sebagai contoh sebelum ke set penggambaran, pelakon akan membaca skrip sebanyak dua atau tiga kali. Amani turut berkongsi pengalaman ada ketikanya pelakon hanya mendapat skrip pada hari penggambaran berlangsung.
“Dia berkongsi senario sebenar yang berlaku untuk beri gambaran kepada peserta,” jelas Fatimah yang mengelolakan bengkel menerusi slot Pentas vs Kamera dan Interpretasi Dialog bersama anaknya, Sharifah Amani pada 21 Februari lalu.
Tip Sharifah Amani
Menyambung bicara ibunya, Amani mengakui sedikit kecewa kerana tidak cukup masa untuk berkongsi lebih banyak pengalaman kepada para peserta.
Bagaimanapun, Amani ada memberi beberapa tip dan rujukan kepada para peserta untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung lakonan dan pengarahan.
“Apa yang TV3 dan TV9 buat ini bagus. Inisiatif itu ada dan ia patut diteruskan pada masa akan datang.
“Tetapi kalau boleh, selepas ini bengkel tersebut diasingkan dan dibuat sekurang-kurangnya satu hari. Tidak boleh dicampurkan lakonan dan juga muzik dalam masa sehari.
“Saya ada beri beberapa tip untuk para peserta mendapatkan ilmu di luar. Banyak tempat untuk menimba ilmu lakonan yang mereka boleh pergi.
“Ada Revolution Stage, Rumah Anak Teater dan Infiniti. Cuba pergi dan lihat jika anda benar-benar serius dalam bidang lakonan. Belajar dengan orang yang lebih tahu dan jangan putus asa,” luah Amani.
Selain itu, tambah Amani: “Bagi sesiapa yang ingin menjadi pelakon juga mereka perlu rajin menonton filem. Sokong filem tempatan. Contohi idola (pelakon) yang anda rasa berbaloi. Lihat apa yang mereka baca dan tonton. Tetapi jangan sampai meniru gaya dan menjadi seperti mereka”.
Sabri salur ilmu pengarahan
Aktor disegani, Sabri Yunus pula menyalurkan pengalaman dan cabaran dalam bidang pengarahan kepada para peserta bengkel DFKL pada 21 Februari lalu.
Biarpun Sabri hanya mula mengarah pada tahun 2011, tetapi pengalaman yang ditimbanya menerusi bidang tersebut melebihi 30 tahun.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk jadi seorang pengarah selama lebih 30 tahun berlakon. Tetapi dalam tempoh 30 tahun berlakon saya ambil pengalaman dan belajar untuk jadi pengarah daripada Zakaria Ariffin, Othman Hafsham, U-Wei Haji Saari dan Kamal Ishak,” jelasnya.
Biarpun hanya dua atau tiga perkataan yang keluar dari mulut pengarah-pengarah hebat yang dinyatakan Sabri itu, dia tidak buang begitu sahaja, malah mengambil dan menyematkannya dalam kotak fikiran.
Lantas, pengalaman dalam bidang pengarahan yang ditimba lebih 30 tahun itu disalurkan pula kepada para peserta bengkel DFKL.
“Saya beri maklumat untuk mereka sedar sebagai persediaan untuk jadi pengarah, ilmu pengarahan dan juga bagaimana menguasai naskhah serta lakonan,” luah Sabri.
Paling penting, kata Sabri, seorang pengarah itu harus memiliki sikap kepimpinan dan juga dihormati oleh semua pihak.
Tambahnya, untuk memiliki sifat tersebut, seorang pengarah juga harus mempunyai sikap rendah diri dan sentiasa menimba ilmu daripada orang yang berpengalaman.
Umie Aida harap pelakon baharu
Seorang lagi penggiat seni yang terlibat dalam DFKL ialah Datin Paduka Umie Aida. Umie turut berkongsi pengalaman dalam bidang lakonan dengan para peserta.
Kata aktres berkaliber itu, peserta yang hadir sepatutnya terdiri daripada mereka yang mempunyai sedikit pengalaman. Sebaliknya, kebanyakan peserta yang hadir langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang lakonan.
“Lebih senang, kalau yang datang ke bengkel tersebut ada sedikit pengalaman dalam bidang lakonan. Kalau saya pelakon baharu, saya akan datang ke bengkel ini,” akuinya.
Dapat berkongsi secara dasarnya mengenai dunia lakonan, tegas Umie, dia tidak dapat berkongsi lebih mendalam mengenai lakonan kerana kesuntukan masa.
“Memang tidak cukup masa selama sejam setengah untuk bercakap pasal lakonan,” ujarnya yang turut mengesyorkan para peserta menonton lebih banyak filem untuk mendapat banyak pengetahuan dalam bidang lakonan.
Mengakui pada awalnya dia tidak minat langsung berlakon, bagaimanapun ujar Umie, minatnya pada bidang lakonan muncul selepas dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.
Bakat berlakon yang ada dalam dirinya pula menjadi platform untuk dia terus berjaya dalam bidang tersebut.
“Pada awalnya, saya berlakon kerana duit. Tetapi, lama-kelamaan minat itu hadir. Saya rasa seronok bermain dengan emosi yang berbeza,” jelasnya lagi.
Pembentangan idea
Pelakon yang juga penulis skrip berbakat, Rozie Rashid juga bersependapat dengan Umie. Menurutnya, peserta yang hadir ke bengkel tersebut perlu mempunyai sedikit pengalaman dalam pengarahan, lakonan, komposisi muzik dan penulisan skrip.
“Peserta yang hadir ke bengkel seperti ini sekurang-kurangnya kena tahu menulis skrip. Tetapi, kebanyakan yang datang tiada pengetahuan dalam penulisan skrip.
“Jadi, saya terpaksa memberi taklimat mengenai penulisan skrip secara asas sahaja,” ujarnya yang mula menulis skrip drama bermula pada tahun 1994 dengan menggunakan nama samaran.
Belajar daripada bekas suaminya untuk menulis skrip, kata Rozie, dia bukan mengajar para peserta bengkel DFKL sebaliknya berkongsi pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tersebut.
Rozie juga memberitahu, bengkel tersebut bagus diadakan pada masa akan datang bagi memberi ruang, peluang dan semangat kepada peserta untuk menceburi bidang penulisan skrip.
Menubuhkan syarikat dalam penulisan skrip yang dinamakan PGR Team sejak enam tahun lalu, Rozie memberitahu, ramai peserta bengkel DFKL yang hadir berminat untuk menulis skrip.
Bagi Rozie, mereka yang berminat perlu cuba menulis dalam pelbagai genre seperti mistik, drama atau komedi.
Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan sepanjang dua hari DFKL berlangsung.
“Secara keseluruhan, 2,000 orang hadir secara berdaftar untuk menyertai DFKL yang turut menganjurkan sesi pembentangan idea (pitching). Daripada jumlah itu, 700 peserta menyertai bengkel,” ujarnya.
Merancang untuk mengadakan bengkel DFKL pada setiap tahun, Sherina memberitahu, pihaknya juga akan memanjangkan masa bengkel tersebut untuk memberi peluang kepada para peserta mengaut lebih banyak ilmu.
Sherina juga merancang untuk menambah beberapa aspek lain dalam bengkel DFKL pada masa akan datang.
Selain daripada bengkel yang sedia ada seperti pengarahan, penulisan skrip, lakonan dan juga komposisi muzik.
Tambahnya, pihaknya juga berpuas hati dengan kualiti drama pendek yang diterima daripada 200 peserta yang mengambil bahagian.
“Kami sangat terperanjat kerana mendapat lebih 200 penyertaan dalam menghasilkan drama pendek. Aktiviti ini juga akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: