Thursday, February 27, 2014

Sein antarakeluarga dan kerjaya


BARISAN karyawan filem Penculikan Amar Affendi (dari kiri), Nam Ron, Zain Hamid, Norman Abdul Halim, Sein, Aqasha dan Khir Rahman.


DEBUT Sein dalam dunia pengarahan lakon layar menerusi filem Langgar tahun lalu. Nyata buah tangan pertamanya mendapat respons menggalakkan daripada pengkritik filem.
Tidak puas dengan satu, Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 31, kembali ke kerusi pengarah untuk filem kedua bergenre aksi jenayah, Penculikan Amar Affendi yang memulakan penggambaran pada bulan ini.
Ujar Sein, kekurangan filem Langgar ‘dibayar’ semula dalam filem yang akan diterbitkan sendiri oleh syarikatnya Camwerk Studios Sdn. Bhd. dengan kerjasama KRU Studios itu.
“Sebagai pengarah, saya tahu apa kekurangan filem Langgar walau mendapat ulasan yang baik daripada media dan penonton.
“Tapi saya sedar saya harus memperbaiki dan mempertingkatkan kreativiti serta kerja saya kerana jangkaan orang ramai akan meningkat selepas ini. Saya tidak boleh terlalu selesa,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran filem Penculikan Amar Affendi di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sein percaya pada kuasa doa. Memanjatkan rasa syukur atas nikmat yang diperoleh selama ini, pelakon filem Sepi itu mengharapkan filem keduanya nanti mencapai kutipan pecah panggung.
Cari pelakon
Mengulas lanjut idea untuk mengarah filem Penculikan Amar Affendi itu, kata Sein, ia telah digarap lebih tiga tahun lalu ketika sedang menuntut di United Kingdom.
“Idea untuk membuat cerita yang berkaitan dengan pencerobohan dan pengganas timbul ketika saya menuntut di London Film School tiga tahun lalu.
“Secara kebetulan pula, ada insiden yang membabitkan kisah seakan-akan sama terjadi pada negara kita baru-baru ini. Jadi, ia lagi menguatkan semangat saya untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.
“Kesukaran utama yang saya hadapi sekarang untuk mendapatkan khidmat pelakon kanak-kanak. Ini kerana industri kita berdepan kekangan untuk mencari kualiti tersebut,” tambahnya.
Bagaimanapun kata Sein, pelakon yang berbakat besar penting untuk mencipta satu gelombang baharu dalam dunia perfileman negara.
“Saya perlukan pelakon yang bagus untuk filem ini, nama itu subjektif.
“Apabila menonton filem pun kita hanya memfokuskan populariti pelakon itu pada awal-awal saja, kemudiannya jalan cerita akan menjadi fokus sampai habis.
“Memang penting untuk ada nama-nama besar kalau mahu mempromosikan filem tapi bagi saya isi kandungan itu lebih utama,” tegasnya.
Taktikal
Jatuh cinta dengan permainan taktikal mendorong Sein untuk menghasilkan filem tersebut.
Katanya, bermain dengan strategi dan membabitkan unit pasukan khas adalah kemuncak keinginan yang dimahukan dalam pengarahan filem.
“Bukan sahaja permainan video, malah bersukan pun saya mahukan sesuatu yang mencabar minda saya berfikir dan merancang strategi.
“Unit pasukan khas ini saya sifatkan satu kotak hitam yang terkandung pelbagai informasi dan menerusi filem ini juga saya akan mencipta satu pasukan khas baharu.
“Saya berharap pihak polis dapat memberikan kerjasama. Mungkin mereka tidak mahu skop kerja unit khas mereka terlalu didedahkan pada umum maka, saya akan gabungkan dengan gambaran fiksyen tetapi masih nampak realistik.
“Misalnya saya ubah dari segi uniform unit khas tersebut dan akan memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti pasukan polis,” ujar Sein.
Nyanyi
Kerjaya Sein bermula menerusi lakonan bersama Bront Palarae dalam sitkom Spanar Jaya pada tahun 1999 dan telefilem Chulia Street pada tahun sama, terjun pula ke bidang nyanyian bersama kumpulan Ruffedge yang akhirnya berpecah sekitar tahun 2007.
Ditanya adakah Sein berminat untuk kembali ke bidang seni suara seperti zaman kegemilangan Ruffedge suatu ketika dulu, jawabnya minat kini lebih pada perfileman.
“Saya masih minat menyanyi tapi susah untuk kembali kerana minat saya lebih condong untuk mengarah dan belajar selok-belok filem.
“Cuba juga untuk menyanyi semula tapi saya sedar kecintaan saya lebih pada bidang ini (lakonan),” kata juara program realiti TV tarian, Sehati Berdansa musim ketiga itu.
Sementara itu, Sein turut berkongsi perasaan bahagianya bakal menimang cahaya mata ketiganya tidak lama lagi bersama isteri tersayang, Noor Diyana Muhammad (Nana) pada bila-bila masa saja.
“Nana kini fokus menjadi surirumah sepenuh masa dan saya akui perlu mengambil tanggungjawab lebih besar untuk memastikan keluarga saya cukup makan dan pakai.
“Keluarga pun semakin berkembang, atas faktor itu Nana mengambil tugas sepenuhnya untuk menjaga anak-anak,” tambah bapa kepada Syed Taariq Alqudsi, 7, dan Syarifah Inaiya Alqudsi, 5.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: