Friday, February 28, 2014

Pameran inovasi tarik minat belia


FASILITATOR dari Universiti Putra Malaysia membuat demonstrasi menguji kepantasan semasa latihan badminton.


SEGEROMBOLAN demi segerombolan pelajar menjelajah setiap ruang pameran untuk menyaksikan produk-produk inovasi di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2014. Acara tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 20 Februari lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Sebanyak 100 ruang pameran dibuka oleh pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah dengan memaparkan produk inovasi masing-masing.
Majlis anjuran Persatuan Penyelidik Sains Malaysia (MARS) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah.
Acara tersebut bertujuan memberi ruang kepada pencipta inovasi baharu dan pengunjung bertukar pendapat sesama mereka.
Seorang pengunjung yang merupakan pelajar semester dua di Maktab Rendah Sains Malaysia Taiping, Perak, Kursiah Ahmad Sani, 16, berkata, dia amat tertarik dengan rekaan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Mereka telah mencipta sejenis alat yang berfungsi seperti pendingin hawa. Alat ini akan menyejat udara panas melalui molekul sejuk yang ada pada pad basah dan melepaskan haba berlebihan ke udara.
“Produk ini bersifat mesra alam kerana tidak melepaskan gas klorofluorokarbon yang menipiskan lapisan ozon. Selain itu, penggunaan elektrik lebih rendah,” jelasnya yang datang bersama rombongan sekolahnya.
Membantu
Tambahnya, idea yang dicetuskan oleh pelajar SMJK Jit Sin itu mungkin dapat membantunya dalam tugasan penggayaan produk sekolah.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Azlan Shah, Siti Fazlina Isnin, 42, memberitahu, pameran anjuran kali ke-14 itu membantu membina kecerdasan minda pelajar.
“Pameran seperti ini dapat memberi pendedahan kepada para pengunjung, terutama pelajar sekolah untuk menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan reka cipta produk terbaharu.
“Pengunjung bukan sahaja dapat memegang dan melihat rekaan, malah turut diberi penjelasan oleh fasilitator,” jelasnya yang datang dari Tanjung Malim, Perak.

SEKUMPULAN pelajar mendengar penerangan fasilitator tentang basikal lipat menggunakan lapisan buluh.


Pengunjung
Acara berkenaan turut mengumpulkan seramai 700 pereka tempatan dan antarabangsa yang membawa bersama produk, rekaan dan idea untuk dikomersialkan sekali gus berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.
Antara yang menjadi input utama perbincangan di rata-rata ruang pameran berkenaan ialah reputasi, cara mewujudkan kesedaran jenama, mengkomersial produk-produk baharu untuk pasaran global dan kerjasama sektor swasta serta awam bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Bagi siswi Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Siti Nur Shafina Shawalludin, 22, pameran inovasi yang dibuat tidak hanya terhad kepada rekaan kepelbagaian penggunaan, tetapi juga mengambil kira nilai estetika seni di Malaysia.
“Saya amat tertarik dengan kerusi kaedah pasak rekaan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin yang menggunakan bakul anyaman rotan untuk dijadikan tempat duduk.
“Kita banyak melihat rekaan dalam rumah menggunakan kaedah pasak.
“Saya yakin produk ini mampu menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya yang merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda seni seramik.
Dalam pada itu, sebagai dorongan kepada penciptaan produk baharu negara, MARS turut memberikan Anugerah Inovasi Belia dan Ekspo 2014 untuk 23 jenis kategori meliputi semua jenis produk penggunaan harian.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: