Monday, February 17, 2014

Saiz besar tetap bergaya



KEBELAKANGAN ini, golongan wanita berbadan besar turut mengisi ruang di majalah-majalah fesyen dengan menampilkan gaya segar dan menarik.
Ini menunjukkan golongan tersebut tidak lagi ketinggalan dalam arus fesyen semasa selain tidak gentar menggayakan pelbagai rekaan pakaian bersama aksesori.
Begitu juga, Noorhidayah Mat Lazim, 27, dari Balakong, Selangor yang tidak ketinggalan mengayakan pelbagai fesyen terkini terutamanya pakaian berkonsepkan Muslimah.
“Sebelum ini, golongan yang berbadan besar seperti saya tidak banyak pilihan untuk bergaya. Ini kerana, di pasaran tidak banyak fesyen yang direka untuk golongan seperti saya.
“Namun, hari ini dengan ledakan internet dan perniagaan dalam talian, ramai pereka dan peniaga menawarkan fesyen yang menyasarkan golongan berbadan besar. Rekaan terkini dan menarik serta harga yang berpatutan membolehkan golongan berbadan besar untuk bergaya sekali gus meningkatkan penampilan mereka di khalayak ramai,” kata wanita yang bekerja sebagai kerani itu.
Mengeluh
Salah seorang peniaga pakaian yang menawarkan pakaian bersaiz besar secara dalam talian, Nikko Tan Bee Ai, 31, berkata, dia mula menawarkan pakaian berkenaan apabila terdapat pekerjanya yang berbadan besar mengeluh sukar mendapatkan pakaian di pasaran.
“Saya memulakan perniagaan dalam talian ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya menjual pelbagai jenis barangan seperti hadiah, buku, kasut, pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.
“Pada tahun 2011, saya mula menawarkan pakaian wanita bersaiz besar dan tanpa disangka sambutan pelanggan amat menggalakkan. Ekoran itu, saya memutuskan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pakaian bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai plus size. Saya tampil dengan jenama sendiri iaitu Mis Claire,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
NOORHIDAYAH anggun menggayakan pakaian Muslimah.


Menurutnya, selepas dua tahun lebih, jenama Mis Claire semakin berkembang dengan mendapat sambutan baik daripada ribuan pelanggan. Justeru itu, Nikko turut menampilkan pelbagai rekaan pakaian terbaharu dan trend terkini bagi menarik minat pembeli.
“Saya gembira apabila para pelanggan dapat bergaya dan tampil hebat di majlis-majlis yang dihadiri, ke pejabat atau sekadar bersantai pada hujung minggu,” kata Nikko yang merupakan graduan bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia.
Minat
Walaupun bukan pelajar dalam bidang fesyen, ia tidak menghalang Nikko serius dalam bidang tersebut seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
“Minat dalam perniagaan memberi dorongan yang kuat untuk saya menceburi rekaan pakaian. Selepas lahirnya jenama pakaian sendiri, Mis Claire, saya dengan bantuan beberapa pekerja semakin giat menampilkan pelbagai rekaan terkini. Saya membuat rujukan di internet, majalah dan bahan bacaan lain bagi memastikan pakaian yang direka menepati cita rasa pelanggan,” katanya.
Bercerita tentang cabaran yang dihadapi dalam bidang tersebut, Nikko berkata, pemilihan material yang tepat amat penting kerana para pelanggan amat mementingkan kualiti sesuatu pakaian.
“Kami perlu memastikan material yang digunakan sesuai untuk sesuatu rekaan. Kain sifon biasanya mampu memberikan keselesaan kepada pemakai yang berbadan besar. Mereka yang bersaiz badan besar boleh berpakaian ketat tetapi dengan syarat tidak menampakkan bentuk badan, lebih-lebih lagi pakaian Muslimah,” terangnya.
Di samping material kain, potongan baju merupakan salah satu cabaran paling besar kerana pakaian bersaiz besar tidak sama seperti pakaian bersaiz biasa.
“Kita tidak boleh sekadar membesarkan saiz pakaian untuk menghasilkan pakaian bersaiz besar. Ini kerana, mereka yang berbadan besar mempunyai bentuk badan berbeza, misalnya saiz badan seperti buah pear yang besar di bahagian pinggang,” ujar Nikko.
NURNADIA KAMIRA tidak kekok menggayakan pakaian dengan rekaan terkini jenama Mis Claire.


Bentuk badan
Rekaan atau potongan juga berbeza antara mereka yang mempunyai bentuk badan epal dan pear iaitu di bahagian dada, kaki atau tangan.
Nikko memberitahu, bukan mudah untuk tampil dengan satu saiz standard bagi semua orang bersaiz besar. Ini juga tidak termasuk ketinggian baju yang juga berbeza mengikut setiap orang.
“Kami mengikut cita rasa pelanggan dari segi potongan baju seperti skirt yang lebih kembang kerana potongan lurus tidak sesuai untuk mereka,” kata Nikko.
Kini, semua koleksi baju di Mis Claire mempunyai ukuran dan dipaparkan di blog mereka. Ia bagi memudahkan pelanggan menjustifikasi pilihan baju yang pelbagai saiz. Nikko juga membenarkan pelanggan menukar baju selepas membuat pembelian kerana baju bersaiz besar boleh berbeza atas sebab potongan yang tidak sesuai walaupun ia untuk saiz mereka.
Nikko akan memastikan blog Mis Claira dikemas kini dengan satu atau dua helai koleksi baharu setiap minggu.
Mis Claire menyediakan baju bermula dari saiz 42 atau XXL hingga 58 iaitu 8XL. Turut dijual di laman blog tersebut ialah baju blaus, jean, baju denim, skirt, dres, jubah, singlet, jaket dan seluar sendat. Harganya bermula dari RM19.80 hingga RM79 sehelai.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: