Monday, February 17, 2014

Eksperimentasi cetakan Fleur D'Zuleykha

BAJU kurung corak sarat mampu menyerlahkan penampilan unik wanita.


TANGGAPAN awal terhadap helaian dres dan baju kurung dengan corak berpetak dalam warna-warna dominan yang dianggap kusut ternyata berubah sebaik disarungkan pada model.
Apabila digayakan, cetakan ekstrak itu menyerlahkan keanggunan dan keperibadian si pemakai, sekali gus menarik perhatian mata yang memandang.
Lazimnya dres polos yang ringkas menjadi pilihan, namun jenama dan butik Fleur by D'Zuleykha mengambil pendekatan berbeza dengan pemilihan fabrik yang sarat dengan corak.
Menurut pemiliknya, Nor Aiza Abdul Rahman, 32, langkah tersebut diambil bagi memberikan kelainan dalam pasaran di samping memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan pakaian bercorak.
"Ada yang berpendapat penggunaan fabrik bercorak boleh memberikan impak positif kepada penampilan individu.
"Selain itu, terdapat pelanggan yang sukakan corak-corak yang sarat kerana beranggapan pakaian itu lebih mudah dijaga dan tidak perlu diberi terlalu banyak perhatian terutamanya apabila terkena kotoran," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengalaman percutian
Sehubungan itu, jelas Nor Aiza, Fleur by D'Zuleykha, yang baru membuka butiknya tersendiri di Bandar Baru Bangi, Selangor pada bulan lalu, akan memberi tumpuan terhadap rekaan-rekaan bercorak pada masa ini.
"Lagipun, rekaan bercorak kian mendapat tempat dalam kalangan golongan remaja dan wanita muda berkerjaya. Oleh itu, saya merasakan tumpuan terhadap trend bercorak ini lebih sesuai untuk perniagaan saya," katanya yang turut memakai dres bercorak segi tiga rona biru keluaran jenama miliknya itu.
SELENDANG yang menerapkan kepelbagaian warna pelangi dan sulaman bunga menyegarkan penampilan si pemakai.


Ibu muda ini memutuskan untuk menjalankan perniagaan fesyen pakaian Muslimah berkenaan bersama suami, Mohd. Hafizulzaman Mohd. Kamaruzaman, 32, dan adiknya, Nor Azlina, 26, selepas kembali daripada percutian di Vietnam pada tahun lalu.
Menurutnya, fabrik berkualiti tinggi pada harga berpatutan yang ditawarkan di negara jiran itu telah membuka minat mereka untuk berniaga, sungguhpun tidak terfikir untuk melakukannya pada peringkat awal.
"Kami pergi ke Vietnam dengan tujuan untuk meneroka negara itu tetapi pada masa yang sama tertawan dengan kepelbagaian fabrik yang ditawarkan.
"Memandangkan kami mempunyai sedikit wang, kami pun melabur dalam perniagaan ini. Lagipun, kami sendiri memang sukakan fesyen," jelas Nor Aiza.
Dengan bantuan suaminya, kedua-dua adik-beradik ini memutuskan untuk membuka butik sulung mereka susulan respons memberangsangkan perniagaan Fleur by D'Zuleykha di blog dan laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
"Rata-rata maklum balas pelanggan yang diperoleh seiring dengan konsep kami iaitu menyediakan pakaian bersopan dengan dres potongan moden, bercorak dan baju kurung kontemporari.
"Kami memperluaskan lagi tawaran dengan menyediakan koleksi selendang berikutan permintaan dan potensi yang ada," ujar Nor Azlina pula.
Kesemua koleksi jenama berkenaan merupakan rekaan tersendiri yang mendapat inspirasi menerusi input rakan-rakan dan pelanggan mereka.
Walaupun semua material yang digunakan didatangkan dari Vietnam, Nor Aiza menjelaskan, koleksi selendang yang dijual merupakan fabrik tempatan tetapi mengenakan motif khusus Fleur by D'Zuleykha .
Variasi tawaran
Bercakap secara lanjut mengenai dres yang ditawarkan, beliau berkata, material likra berkualiti tinggi dipilih kerana berpendapat ia memudahkan pelanggan, terutamanya wanita bekerja yang tidak mahu membazir masa menggosok pakaian dan penjagaan yang mudah.
"Selain kepelbagaian corak yang menarik, kami juga memenuhi keperluan setiap pelanggan dengan kesemua dres yang ditawarkan dijual pada harga RM159 hingga RM179 untuk saiz S hingga XL," jelasnya.
REKAAN baju kurung Pahang diserikan dengan perincian manik dan renda.


Sementara itu, bagi koleksi baju kurung Fleur by D'Zuleykha yang mempamerkan potongan baju kurung Pahang, sentuhan kontemporari diterapkan pada rekaan melalui penggunaan manik dan renda.
"Potongan baju ini juga lebih runcing agar si pemakai nampak ramping dalam persalinan yang juga menggunakan fabrik likra ini. Kami percaya fabrik yang lebih licin akan memberi keselesaan tambahan kepada pelanggan," katanya sambil memaklumkan setiap pasang baju kurung dijual pada harga permulaan RM199.
Tidak ketinggalan dalam senarai fesyen Fleur by D'Zuleykha ialah selendang yang juga menitik berat keunikan tersendiri. Menggunakan bayangan warna pelangi, setiap helaian dihiasi renda berlapis dan sulaman bunga yang mempesona.
"Penerapan elemen-elemen berbeza ini memberikan pemakai pelbagai pilihan untuk menggayakan tudung mereka. Ini secara umum akan menyegarkan penampilan mereka," ujar Nor Aiza.
Sempena pembukaan butik sulung jenama berkenaan, Fleur by D'Zuleykha turut mengadakan promosi jualan murah dengan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi koleksi baju kurung dan dres serta 40 peratus bagi selendang. Tawaran itu sah sehingga 15 Februari ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: