Monday, February 17, 2014

Habibah ubah trend songket tradisional



KEHADIRAN Habibah Zikri ke Terengganu pada tahun 1982 telah mengubah salah satu warisan konvensional negeri tersebut. Selepas mengutip pengalaman selama sedekad sebagai pereka bahagian tekstil bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Habibah yakin untuk memilih haluannya sendiri.
Kampung Rhu Renggeh, Marang menjadi permulaan kepada kerjaya solo Habibah. Kecintaannya terhadap songket Terengganu mendorong ibu kepada tiga anak itu untuk membangunkan sebuah bengkel menenun songket. Habibah mahu membawa pembaharuan dalam industri songket negara.
Menukar songket tradisional kepada konsep lebih moden mungkin kedengaran gila pada ketika itu. Sebagai orang luar, Habibah dibentak kerana cuba merosakkan tradisi zaman-berzaman milik Terengganu.
Songket Terengganu tradisional lebih banyak memaparkan motif pucuk rebung. Habibah pula memperkenalkan songket dengan corak baharu berteraskan flora dan geometri.
Gabungan motif klasik dan moden dalam setiap helaian songket Habibah dikaji terperinci berdasarkan kesesuaian warna, jalinan dan nilai eksklusif.
"Memang pada awal penubuhan, saya lalui pelbagai dugaan. Namun itu semua cerita lama. Pahit untuk dikenang," begitu pendirian Habibah, 66, individu di sebalik Bibah Songket yang menerima bantuan daripada Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Tahun-tahun pertama Bibah Songket, kediaman peribadi usahawan dari Sungai Petani, Kedah itu dijadikan bengkel menenun. Hasrat mahu mengubah trend konvensional songket Terengganu dimulakan Habibah dengan memberi penekanan kepada perubahan motif.
Bakat melukis miliknya banyak mengilhamkan karya songket di luar imaginasi. Corak bunga menjadi eksperimen awal Habibah. Tumpuan terhadap songket berciri eksklusif meletakkan Bibah Songket dalam kelas yang tersendiri.
Tidak seperti kebanyakan songket tradisional, Habibah mengutamakan kehalusan perincian dan berani mengambil risiko dengan mencipta songket bermotif rumit.
Inovasi berterusan bagi mengenal pasti trend semasa yang mengambil kira cita rasa masyarakat terhadap warna dan corak membolehkan Bibah Songket sering tampil bersama rekaan moden.
KERUMITAN corak dan kehalusan kerja Bibah Songket menjadikan ia item eksklusif yang tinggi nilai seni.


Idea Habibah
Sedekad Habibah mempertahankan songket Terengganu rekaannya. Dalam tempoh itu juga, keterbukaan masyarakat terhadap pembaharuan yang dibawanya menginjak positif secara berperingkat.
Kini, kita dapat melihat secara meluas, sama ada mahal atau murah, songket Terengganu dengan cantuman motif flora dan tradisional dijual kebanyakan peniaga. Siapa sangka, idealisme Habibah yang diperlekeh segelintir pihak sebelum ini diguna pakai majoriti pengusaha songket tempatan.
Gabungan ciri tradisional dan moden dalam karya Bibah Songket menjadikan ia lebih praktikal dan segar. Peralihan cita rasa masyarakat terhadap songket berciri sebegitu juga secara tidak langsung mengubah konsep konvensional songket Terengganu.
Bibah Songket mula diberi perhatian dan dipandang serius oleh pencinta songket Terengganu. Pelanggan Bibah Songket juga bukan calang-calang. Malah, songket pertama keluaran Bibah Songket dibeli oleh bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Memandangkan Bibah Songket satu-satunya pengusaha songket tempatan yang mampu menghasilkan songket tradisional dengan campuran warna dan rekaan moden, karyanya menjadi buruan individu berpengaruh.
"Kalau tengok warna, teknik dan perincian, orang boleh tahu yang ia merupakan keluaran Bibah Songket.
"Kos penghasilan songket eksklusif ini memang tinggi. Namun saya tidak berkira sangat sebab niat asal saya adalah untuk memajukan warisan negara ini," ujar Habibah yang juga menghasilkan songket untuk dijadikan hiasan dalaman rumah, cenderamata korporat, hotel dan lawatan orang kenamaan.
Bagi mengekalkan standard eksklusif Bibah Songket, setiap bulan, pihaknya pasti akan tampil dengan rekaan baharu. Pemilihan motif dan warna banyak diputuskan menerusi penggunaan paling terkini rumah-rumah fesyen antarabangsa.
Biarpun moden dari segi rekaan, Bibah Songket masih mengekalkan proses penghasilan asli. Lapan peringkat asas pembuatan songket dilakukan secara tertib dan terperinci agar hasilnya nanti menepati lakaran awal.

PROSES penghasilan songket Bibah masih menggunakan cara tradisional.


Benang emas
Lapan proses itu merangkumi mewarna dan menerai benang, menganing, menggulung, menyapuk, menggarat, menyongket, menekat dan menenun.
Anak kedua Habibah, Sabrena Shamsul Baharin, 34, yang juga memegang posisi dalam bahagian pemasaran strategik bagi Bibah Songket menjelaskan, prosedur lengkap untuk menghasilkan songket asas memakan masa hampir dua bulan.
"Setiap songket mempunyai jangka masa yang berbeza-beza, bergantung kepada tahap kesukaran rekaan," ujar Sabrena.
Penggunaan alat menenun yang dipanggil kek atau kei dalam kalangan masyarakat Kelantan juga memastikan pemeliharaan mutu songket Terengganu ciptaan Bibah Songket. Begitupun, jika songket itu menggunakan kain broked, ia perlu dihasilkan dengan mesin.
Benang-benang yang diwarna juga disesuaikan mengikut reka corak dan permintaan pelanggan. Selain benang metalik, bagi menambah nilai eksklusif, songket akan dihasilkan menggunakan benang emas atau sutera yang diimport dari China.
Penetapan harganya pula satu perkara yang subjektif. Ramai tertanya-tanya mengapakah songket Terengganu asli boleh dijual mencecah ribuan ringgit? Menurut Sabrena, setiap songket mempunyai harga berbeza, bergantung kepada kepayahan penghasilan dan tempoh yang diambil bagi menyiapkannya.
Difahamkan, songket yang halus buatannya boleh memakan masa hampir lima bulan untuk disiapkan. Justeru, harganya juga mahal, setimpal dengan kos keseluruhan yang mengambil kira kerumitan motif, material, kos pekerja dan masa. Anggaran harga bagi songket eksklusif biasanya antara RM5,000 hingga RM10,000 sehelai.
Tambah Sabrena, Bibah Songket pernah cuba mengeluarkan songket berkos rendah. Bagaimanapun ia kurang mendapat sambutan memandangkan terlalu banyak songket 'mampu milik' dijual di pasaran.
Justeru, Bibah Songket lebih selesa memfokuskan perusahaan mereka terhadap songket eksklusif. Biarpun harganya agak mahal, ia masih menerima tempahan memberangsangkan khususnya daripada individu yang tahu nilai sebenar sehelai songket.
Selepas berjaya membina tapak dengan menjadikan rumahnya sebagai bengkel, Habibah kemudiannya mewujudkan ruangan khusus di luar rumahnya menjadi bengkel kedua Bibah Songket.
HABIBAH (kanan) dan Sabrena melakukan proses lakaran rekaan songket baharu setiap bulan.


Curah kepakaran
Perusahaannya berkembang dan dengan sokongan Kraftangan Malaysia, Habibah berhasil membangunkan sebuah bengkel menenun. Ia dilengkapi peralatan menenun dan kini mempunyai kira-kira 20 pekerja.
Seorang pekerja Bibah Songket, Nurul Syahirah Abdullah, 19, berkongsi pengalaman dua tahun menjadi penenun songket. Wanita dari Marang itu mula berkhidmat di bengkel Habibah selepas tamat sekolah menengah.
Minat terhadap warisan negerinya itu membuatkan dia gembira mencurahkan kepakaran yang ada. Tanpa sebarang pengetahuan asas terhadap penghasilan songket, Nurul Syahirah memberitahu, dia mengambil masa setahun untuk menguasai keseluruhan proses.
Sambil tangannya cekap menyusun lidi melalui celahan benang loseng, mulutnya lancar bercerita tentang bidang tugas seorang penenun songket.
"Kain songket yang kami hasilkan adalah sepanjang dua meter setengah. Dalam sehari boleh siapkan 0.08 hingga 0.1 meter. Kalau silap ikut corak yang ditetapkan, terpaksalah buka semula dan betulkan," tutur Nurul Syahirah yang menambah bahawa proses menyongket hanya dilakukan seorang manakala menenun memerlukan tiga orang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: