|
SEJAK cuaca panas terik melanda beberapa minggu lalu, aktiviti luar penduduk di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah agak sedikit terganggu.
Perubahan cuaca kering dan ekstrem yang mencecah suhu sekitar 36 darjah Celcius pada siang hari menyebabkan ramai yang mungkin berfikir berkali-kali sebelum melakukan sebarang aktiviti di luar rumah.
Seorang pekerja swasta, Mohd. Azhari Abdullah, 21, memberitahu, perubahan cuaca panas dan kering yang berlaku sepanjang minggu ini menyebabkan dirinya agak kurang selesa.
"Suhu sekarang membuatkan saya berasa rimas, kerap berpeluh dan kadangkala terasa mahu pitam.
"Walaupun berada di dalam rumah atau bilik pendingin hawa, suhu badan kekal panas, malah tekak masih terasa kering meskipun waktu malam," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bagi seorang guru di sekolah swasta, Siti Ramla Chik, 39, berkata, fenomena cuaca panas dan kering ini tidak boleh dipandang ringan. Sehubungan itu, bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas dia akan mengurangkan aktiviti di luar rumah.
Masih terkawal
"Cuaca panas sememangnya membuatkan kita rasa tidak selesa malah menjadikan tekak terasa kering dan perit. Selain itu, ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan penyakit seperti demam, batuk dan lain-lain lagi akibat kekurangan air," katanya ketika ditemui.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan panas dan kering yang dialami di kebanyakan tempat di negara ini khususnya di Semenanjung Malaysia dijangka berterusan sehingga penghujung Februari ini.
Keadaan tersebut berlaku berikutan kadar hujan yang sedikit melibatkan beberapa kawasan terutama di bahagian utara Semenanjung sejak bulan lalu.
Namun begitu, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang kerana fenomena ini masih lagi berada pada tahap yang terkawal dan pihak berkuasa belum ada perancangan untuk melakukan pembenihan awan.
Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Muhammad Helmi Abdullah, 50, berkata, walaupun cuaca dijangka panas sehingga penghujung Februari ini, namun ia masih berada pada tahap normal.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari dan minum air secukupnya. Selain itu, elakkan melakukan pembakaran terbuka dan jimatkan penggunaan air di samping memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang," katanya.
Ketika ramai yang berasa agak kurang selesa dengan keadaan cuaca panas dan kering, lain pula ceritanya kepada rata-rata peniaga minuman.
Kepada seorang peniaga cendol dan rojak di Pandan Indah, Kuala Lumpur, Abdul Malik Mydin Batcha, 37, cuaca panas ini merupakan suatu rahmat kepadanya kerana perniagaan minumannya mencatatkan keuntungan yang berganda.
Bahkan, dia mendapat permintaan di luar jangkaan.
Lelaki yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu memperoleh jualan sehingga 40 peratus sejak negara dilanda fenomena cuaca panas berbanding sebelum ini.
"Orang ramai terutamanya di kawasan bandar ini gemar bersiar-siar pada waktu petang.
"Namun, cuaca panas ketika ini menyebabkan ramai yang singgah ke gerai saya untuk membeli cendol bagi menghilangkan dahaga," katanya yang berniaga tujuh tahun di gerai miliknya yang terletak di hadapan
Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Abdul Malik mengenakan harga berpatutan kepada para pelanggan yang mengidam minum cendol ketika ini.
Harga cendol biasa dijual RM1.70 semangkuk dan cendol pulut pula RM2.30 manakala mereka yang berhasrat membawa pulang minuman itu hanya dikenakan bayaran RM2.
Menyegarkan
Selain cendol, Abdul Malik turut menjual rojak biasa pada harga RM3.50 dan rojak sotong RM5 sepinggan.
Menurut seorang lagi peniaga minuman mata kucing terkenal di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, Chan Pooi Chee, 40, cuaca panas dan kering ini banyak membantu meningkatkan jualan minumannya.
"Jualan air mata kucing meningkat antara lima hingga ke 10 peratus ketika cuaca panas sekarang. Rata-rata pengunjung di sini mencari minuman ini kerana ia amat menyegarkan.
"Setiap gelas air mata kucing dijual pada harga RM1.80 sahaja," katanya yang turut memberitahu pelancong asing juga menggemari minuman tersebut di saat negara dilanda cuaca panas.
Seorang pelajar kolej swasta, Risa Priya Mohanan, 20, memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba air mata kucing di Jalan Petaling.
"Rasa air berwarna coklat pekat yang dicampur dengan buah longan kering, buah lo han dan gula batu merupakan pilihan yang terbaik di saat tekak berasa dahaga dan perit," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: