Monday, February 17, 2014

Memperkasakan wanita Muslim aktif


CIRI-CIRI praktikal pada pakaian sukan Nashata turut disokong dengan nilai fesyen yang tinggi.


FESYEN dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Bagi golongan Muslimah, kemahuan berfesyen tidak terhad ketika di tempat kerja mahupun di majlis-majlis keramaian, tetapi juga ketika bersukan. Pakaian sukan yang praktikal dan memenuhi hukum syariat tanpa mengabaikan elemen fesyen sering ditagih bagi mereka yang aktif.
Sehubungan itu, Nashata, jenama fesyen pakaian sukan yang memperkasakan wanita dengan memberikan keselesaan dan kesederhanaan dalam rekaan, ingin menjadi inspirasi kepada wanita Muslimah untuk memiliki kehidupan yang aktif bagi kesejahteraan hidup.
Menurut pemilik Nashata Lifestyle Sdn. Bhd., Eliza Noordin, 39, Nashata lahir daripada pengalaman pertama kali beliau bersukan selepas berhijab.
“Mula mengenakan tudung kira-kira dua tahun lalu, saya sering berasa kurang selesa setiap kali bersukan dengan memakai tudung biasa yang rata-rata menggunakan fabrik likra atau kapas.
“Oleh itu, saya menjalankan pelbagai penyelidikan melalui internet dan menemui beberapa jenama hijab untuk bersukan. Namun sering kali berasa hampa kerana kebanyakan jenama yang ditemui adalah dari luar negara dan dijual pada harga yang tinggi,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menawarkan nilai
Mendapat inspirasi daripada halangan itu, Nashata diwujudkan pada tahun 2013 dengan menggunakan fabrik yang sesuai dengan aktiviti sukan dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Dalam usahanya agar rekaan Nashata kekal relevan dalam pasaran dan pada masa yang sama masih menutup aurat, Eliza bekerjasama dengan pereka, Ida Kamalawati Bakar.
“Saya mahu menyediakan produk yang benar-benar memenuhi cita rasa pengguna dengan mendapatkan khidmat pakar supaya ia memberi nilai pada wang.
SELUAR dua dalam satu Nashata mempunyai skirt kembang pada bahagian atas seluar bagi menutup bahagian belakang wanita. Seluar compression bersama skirt yang berfungsi menutup bahagian belakang wanita.


“Kini, jenama Nashata mula dikenali ramai. Kami juga banyak menganjurkan pelbagai acara berkonsep sukan wanita bagi meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan gaya hidup aktif dan menonjolkan lagi jenama ini,” katanya.
Bagi Eliza, Nashata memaparkan rekaan yang ringkas, praktikal dan sesuai untuk bersukan tanpa kompromi pada gaya. Ciri-ciri utama jenama tersebut ialah penggunaan fabrik yang sesuai seperti gentian mikro, likra, spandeks dan poliester.
“Pemilihan fabrik yang bersesuaian adalah penting agar ia membenarkan kulit bernafas ketika bersukan, di samping memastikan badan kekal sejuk dan selesa,” jelasnya.
Menyedari bahawa pakaian sukan tidak seharusnya memberi tumpuan pada elemen praktikal tetapi juga memenuhi kehendak wanita yang menggemari fesyen, rekaan pakaian sukan Nashata tampil dalam beberapa kombinasi warna yang menarik seperti merah dan biru tua, firus dan hijau, hitam dan merah jambu serta hitam dan kelabu.
Koleksi Nashata terdiri daripada baju sukan Riada yang berlengan panjang dan labuh dan seluar berkonsep dua dalam satu iaitu seluar compression bersama skirt yang berfungsi menutup bahagian belakang wanita, sekali gus memberikan keselesaan kepada mereka yang mementingkan penjagaan aurat.
Selain itu, seluar tersebut turut didatangkan dengan dua poket penyimpanan barang seperti telefon dan kunci agar pengguna dapat bersenam dengan bebas.
Koleksi Nashata dilengkapi dengan tudung atau Iman hijab yang juga menitik beratkan elemen keselesaan bagi si pemakai. Menggunakan fabrik gentian mikro dan kaedah pemakaian yang mudah melalui penggunaan material bergetah di bahagian anak tudung, hijab ini meyakinkan pengguna untuk bersukan kerana kedudukannya yang rapi di kepala.
“Tudung kami ditawarkan dalam tiga labuh berbeza iaitu M, L dan XL.
“Nashata juga menyediakan lengan tangan compression dengan cengkaman antilicin,” ujarnya.
Semua koleksi di Nashata boleh didapati melalui laman web shop.nashata.com.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: