|
ENAM tahun bergelar penyanyi membuatkan Stacy masak dengan sepak terajang industri hiburan.
Satu Malaysia sedar, karier awal pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam atau komersialnya Stacy bermula dengan penyertaannya sebagai salah seorang peserta program realiti Akademi Fantasia (AF).
Percaturan Stacy mencuba nasib dalam AF musim kelapan tidak sia-sia. Dia yang hanya berumur 18 tahun ketika itu dinobatkan sebagai juara musim tersebut hasil vokal mantap namun, dia tetap diingati sebagai pendatang baharu yang ligat menari.
Sejak itu, kehidupan Stacy berubah. Besar perubahan yang dilalui oleh gadis yang berasal dari Penampang, Kota Kinabalu, Sabah ini.
Kata Stacy, kemenangannya itu turut merubah landskap hidup keluarganya yang sebelum ini hidup dalam serba serbi terhad.
Fokusnya kental. Dia tidak mahu menjadi anak seni yang mempersia-siakan peluang yang datang. Dengan yakin, terang Stacy, dia tidak mahu kembali meniti kehidupannya yang sukar dahulu.
Bukan tidak sedar diri atau lupa daratan, namun kata Stacy, kehidupan lalu memberi seribu erti bahawa dengan dedikasi yang kuat, hidup seseorang itu boleh berubah.
"Saya mahu menjadikan kehidupan dahulu sebagai satu pengajaran dan tidak mahu sesekali pulang dalam kehidupan lampau.
"Jujurnya, saya bekerja keras dan fokus terhadap karier kerana ingin memberi dan melihat keluarga saya hidup selesa," ujarnya jujur.
Melanjutkan bicara tentang kehidupannya kini, Stacy yang cukup lincah ketika beraksi di atas pentas masih sama.
Kemampuan menyanyi sambil menari membuatkan bakat penyanyi genit itu tidak dapat disangkal. Apatah lagi setiap persembahannya berakhir dengan lantunan aura yang mengujakan penonton.
Baru-baru ini, keadaan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi gegak-gempita tatkala menyaksikan persembahannya. Berbekalkan single terbaharu berjudul Gilalah, Stacy diberi pujian tanpa henti setelah berjaya memukau penonton melalui persembahan bertenaganya dalam acara Anugerah Meletop Era.
Namun, di sebalik kelincahan dan kehebatan bintang berusia 24 tahun itu, tersemat sifat keibuan dalam hatinya.
Anak angkat
Meskipun belum membina bahtera rumah tangga namun wanita yang popular menerusi lagu Kasanova itu tekad untuk membesarkan anak angkat yang diambil dari Sabah itu sebagai penawar hati di kala kepenatan selepas bekerja.
Pada 14 Februari yang lalu, umur Bella De Luna Velentine genap dua tahun. Cahaya mata yang dibesarkan oleh Stacy itu kini sudah pandai mewarna dan meniru gaya mummy (Stacy) menyanyi dan menari. Sifat keibuan dan kelembutan yang dimiliki memudahkan dirinya untuk membesarkan Bella yang cukup senang dijaga dan tidak banyak meragam.
"Kalau boleh saya tidak mahu Bella digelar anak angkat. Walaupun dia bukanlah anak kandung saya tetapi sejak dia lahir sehingga sekarang, saya yang membesarkan dan menjaganya. Bella sudah saya anggap seperti anak sendiri.
|
"Sepanjang membesarkan Bella, tidak pernah terlintas satu beban dalam kehidupan saya. Bella hadir dalam hidup sebagai penyeri dan dia sangat senang untuk dijaga kerana mendengar kata. Tidak banyak meragam sewaktu tidur malam, membuatkan saya gembira membesarkannya," tutur Stacy seperti sedang merindui anaknya yang berada di rumah ketika ditemu ramah di Kota Damansara baru-baru ini.
Ditanya mengenai rutin penjagaan Bella tatkala dia sibuk dengan jadual kerja, terang Stacy, dia tidak pernah menghadapi masalah untuk menjaga anaknya itu kerana keluarga sentiasa membantu. Tambahan pula, anak kelima daripada enam beradik itu baru sahaja meminta pertolongan daripada sepupunya dari Sabah untuk membantu menjaga Bella sepanjang ketiadaannya.
Menurut Stacy, apabila dia keluar bekerja, ibunya akan mengambil alih menjaga Bella. Tetapi sejak kebelakangan ini ibunya sering pulang ke kampung dan memaksa Stacy untuk meminta pertolongan daripada sepupunya yang menetap di Sabah untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
"Saya lebih percaya saudara-mara untuk menjaga Bella. Takut sebenarnya apabila mahu menghantar anak ke rumah pengasuh kerana banyak kes yang berlaku sekarang benar-benar mengajar saya untuk lebih berhati-hati.
"Setiap kali teringatkan Bella, saya akan membuat panggilan video untuk memastikan tahap keselamatannya sentiasa terjaga. Apabila keluar bekerja pada waktu pagi, lewat malam baru pulang ke rumah dan Bella sudahpun tidur," ujar Stacy.
Klon Miley Cyrus
Stacy yang duduk di sebelah saya melontar senyum berbaur klise pada soalan yang dilontarkan. Tentulah, umum juga pasti kenal benar dengan soalan tentang Stacy yang 'meniru' imej Miley Cyrus, berambut separuh botak .
Stacy menyifatkan fesyen itu perkara yang subjektif. Terpulang kepada pandangan dan pendapat yang diberikan kerana fesyen terkini itu ibaratnya seperti 'meniru' apabila sering didedahkan dengan perubahan arus fesyen sepanjang masa.
Jelasnya: "Jika mahu menyamakan antara saya dan Miley. Kami mengetengahkan dua genre muzik yang berbeza. Namun, ramai yang mengatakan wajah kami hampir serupa tetapi itu hanyalah satu kebetulan.
"Tidak dinafikan secara peribadi saya meminati muzik yang dibawakan Miley, namun tidak bermakna saya perlu meniru fesyen yang digayakannya. Malah, saya tidak pernah terasa hati apabila ada pihak yang menyamakan saya dan Miley."
Mengulas lanjut, Stacy yang bakal melancarkan album baharu berkata penerimaan orang ramai terhadap dirinya masih berterusan, tidak pernah kariernya tergugat buat waktu ini. Malah, dia lebih suka apabila ramai yang mengatakan dia seperti Miley Cyrus Malaysia sekali gus ramai akan mengenali dirinya.
Sementara itu, memasuki tahun baru, Stacy bakal tampil dengan album baharu yang dijangka memasuki pasaran pada akhir bulan ini. Persiapan untuk melancarkan album telah pun siap sepenuhnya merangkumi kulit album sehingga ke klip video single terkini.
Setelah enam tahun bernaung di bawah pengurusan Astro, Stacy semakin yakin untuk berdikari dan mampu untuk memilih genre pilihan yang diminatinya.
Stacy berkata: "Saya bakal tampil dengan album ketiga yang menampilkan sebanyak 10 buah lagu baharu yang pastinya mempunyai kelainan. Album kali ini lebih kepada sisi matang dan warna yang baharu dalam lagu tersebut."
|
Dalam pada itu, Stacy berkata dalam album tersebut turut dimuatkan kolaborasi bersama kumpulan SMA*SH dari Indonesia menerusi single berjudul Hello dan beberapa artis tempatan yang lain.
Dibelenggu cinta
Tidak banyak kontroversi mahupun kisah sensasi yang mendahului kariernya, Stacy masih terus dibelenggu dengan kisah cinta bersama penyanyi, Akim Ahmad.
Entah kali yang keberapa memberi penjelasan tentang persoalan serupa, kata Stacy: "Mana ada, saya dan Akim hanya kawan biasa. Saya menganggap dia sebagai teman rapat dan tidak lebih daripada itu.
"Terlalu awal untuk berbicara soal jodoh. Saya mahu mengejar cita-cita terlebih dahulu begitu juga dengan Akim. Kami bertekad untuk berjuang dalam industri seni sehingga berjaya."
Demi memacu kecintaan di litar nyanyian, Stacy sanggup melupakan soal percintaan. Baginya biarlah soal cinta itu diletakkan nombor dua atau tiga kerana dia ingin mempunyai kewangan yang stabil sebelum menamatkan zaman bujangnya.
"Saya tidak mahu mengharap kepada lelaki untuk kesenangan pada hari akan datang. Kalau boleh saya tidak mahu terlalu bergantung dengan duit suami kerana sebagai manusia kita tidak tahu apakah yang akan berlaku pada masa yang akan datang," kata Stacy.
Penyanyi yang turut popular menerusi lagu Bosan itu memberitahu dia mempunyai sasaran dalam hidupnya. Selagi pencapaian yang diidamkan belum tercapai selagi itulah dia tidak mahu bercinta.
"Saya ingin menjadi seperti Datuk Siti Nurhaliza. Saya mahu dilihat setanding dengannya. Saya juga tidak mahu dibelenggu dengan kisah cinta sahaja kerana itu tidak akan menolong saya untuk berada di zon yang selesa kelak," kata Stacy.
Berbicara fasal Akim menyebabkan Stacy turut ditebak soal kepercayaannya. "Saya masih berpegang dengan agama Kristian. Saya kagum terhadap agama dan masyarakat Islam di negara ini. Kalau boleh saya tidak mahu isu agama ini terus berlanjutan kerana ia merupakan isu sensitif takut ia akan menjadi lebih besar.
"Andai saya ditakdirkan untuk berkahwin dengan lelaki Islam biarlah saya menyebut syahadah dari kerelaan hati sendiri bukannya kerana cinta atau sebab-sebab lain. Soal agama tidak boleh dibuat main-main," katanya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: