Saturday, February 1, 2014

Rampas 10 bom ikan di Dabong


  • Rampas 10 bom ikan di DabongMohamed (kanan) bersama Shahimi (tengah) menunjukkan bom ikan yang dirampas di Dabong, Kuala Krai Selasa lalu.

BACHOK - Sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan merampas 10 bom ikan dan setengah guni bahan mentah campuran habuk kayu, pasir bersama belerang di Kampung Kuala Sungai Mahligai, Kemubu, Dabong, Kuala Krai pada Selasa (28 Januari) lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Datuk Mohamed Mat Saman berkata, penemuan itu hasil aduan orang ramai dan rondaan dilakukan untuk mengesan aktiviti haram tersebut pada jam 1 tengah hari Selasa lalu.

Beliau berkata, sebelum ini banyak maklumat diterima daripada orang awam mengenai kegiatan terlarang untuk menangkap ikan bernilai komersial seperti kelah yang mendapat permintaan tinggi.

“Menggunakan peralatan bom ikan dan arus elektrik untuk menangkap ikan adalah salah mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500 atau penjara.

“Tetapi ketika rampasan itu dilakukan, tiada tangkapan dibuat. Dipercayai ia dilakukan oleh penduduk setempat yang menunggu air sungai surut sebelum mengebom ikan,” katanya kepada media di Kompleks Perikanan Tawang, semalam.

Hadir sama,  Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Shahimi Ali dan Timbalan Pegawai Perikanan Kelantan, Yusoff Zakaria.

Selain bom yang siap dibungkus, pihaknya turut merampas dua generator yang digunakan untuk disambungkan ke bateri kereta sebagai punca arus elektrik.

Beliau berkata, lazimnya aktiviti mengebom ikan dilakukan di lubuk ikan di beberapa lokasi termasuk di Sungai Lebir, Sungai Neggiri sekitar daerah Dabong dan Gua Musang.

Muhamed berkata, pihaknya kerap mendapat aduan orang awam mengenai kes sedemikian dan ini adalah rampasan pertama bom ikan tahun ini.

Difahamkan, harga sekilo ikan kelah boleh mencecah hingga RM200 menyebabkan ia menjadi kegilaan pembuat bom ikan di sungai berarus deras di kawasan hulu Kelantan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar menjauhi kegiatan tersebut yang bukan sahaja merosakkan ekosistem sungai tetapi juga boleh mengancam keselamatan mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: