Saturday, February 1, 2014

Projek tembikai air bantu asnaf


IDRIS (tiga dari kanan) menunjukkan buah tembikai air ketika melawat Ladang Rimbunan Kasih di Jasin, Melaka semalam.


JASIN – Projek tanaman tembikai air di Ladang Rimbunan Kasih yang dilaksanakan di Taman Rimbunan Kasih, Serkam Darat di sini bakal mengeluarkan hasil tuaian sehingga RM75,000 setahun.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, tembikai air yang ditanam secara hidroponik dalam rumah hijau itu juga mampu dihasilkan dengan kualiti yang lebih baik.
“Saya difahamkan tanaman buah tembikai air ini sekali tuai membawa pulangan sehingga RM15,000.
“Bayangkan rumah hijau ini boleh menghasilkan buah yang begitu berkualiti dengan lima kali tuaian setahun malah projek ini juga sebenarnya dapat membuka ruang pekerjaan kepada peserta program dengan pendapatan RM1,200 hingga RM1,500 sebulan,” katanya selepas melawat Ladang Rimbunan Kasih di sini semalam.
Projek berkenaan yang melibatkan kos RM27 juta mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Melaka dan mula beroperasi pada Mei tahun lalu.
Idris berkata, ladang seluas 14.164 hektar itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kawasan perumahan seluas 8.094 hektar dan 6.07 hektar untuk pertanian serta ternakan.
“Projek ini melibatkan kira-kira 100 peserta yang sebelum ini penerima asnaf dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pendapatan yang diterima dianggap lumayan memandangkan peserta mempunyai waktu kerja yang singkat sekali gus memberi ruang dan masa yang lebih untuk bersama keluarga,” jelasnya.
Harga tembikai air di pasaran sekarang ialah RM8 sekilogram.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: