Friday, February 14, 2014

Pendedahan keselamatan penggunaan internet

SELAIN membawa kemudahan telekomunikasi dan internet kepada orang ramai, syarikat perkhidmatan telekomunikasi, Telenor Group turut bersiap siaga tentang keselamatan pengguna.


TEKNOLOGI pada hari ini membolehkan sesiapa sahaja melayari internet di mana sahaja pada bila-bila masa, tanpa mengira usia.
Selain berfungsi sebagai enjin carian maklumat, pengguna internet turut terdedah kepada risiko jenayah siber.
Sehubungan itu, sempena dengan Hari Internet Selamat, syarikat perkhidmatan telekomunikasi, Telenor Group, mengetuai saranan bersama wujudkan internet lebih baik yang menekankan kepentingan keselamatan laman web.
Menurut Naib Pengerusi Eksekutif, merangkap Ketua Operasi Telenor Asia, Sigve Brekke, selain membawakan kemudahan telekomunikasi dan internet kepada orang ramai, syarikatnya turut bersiap siaga tentang keselamatan pengguna terutama kanak-kanak.
"Data terkini daripada Kumpulan Perunding Boston menunjukkan sebanyak lapan peratus pengguna bawah umur berpotensi untuk terlibat dalam penyalahgunaan data, isi kandungan yang tidak berfaedah dan kes buli siber.
"Justeru, memainkan peranan sebagai pembekal alat telekomunikasi, pihak kami telah menjalankan kerjasama dengan pihak interpol untuk mewujudkan jaringan internet telefon pintar yang bertujuan mengawal kes penderaan kandungan terhadap kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Sehingga kini, Telenor Group telah menyediakan jaringan di beberapa unit perniagaan telekomunikasi di Eropah, Bangladesh dan Pakistan. Program ini sedang diperluaskan di Asia menerusi program pembangunan secara berperingkat.
Tambahnya yang juga merupakan Pengerusi Telekomunikasi DIGI, pihaknya juga komited dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak menerusi program Digi CyberSAFE yang dijalankan di sekolah-sekolah dalam negara.
Terdahulu, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, seramai 22,000 pelajar, guru dan ibu bapa seluruh negara telah diberi pendedahan tentang keselamatan internet.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: