HURACAN LP 610-4 memasuki pasaran secara rasmi mulai Disember lalu selepas Automobili Lamborghini membuat keputusan untuk menghentikan jualan Gallardo. Model itu turut ditugaskan untuk membentuk suatu sempadan baharu dalam segmen kereta mewah berprestasi tinggi.
Huracan yang didatangkan bersama reka bentuk unik, pakej teknologi inovatif, kedinamikan dan kualiti tinggi didakwa membawa perspektif pengalaman baharu dalam barisan kereta seumpamanya. Lamborghini mendakwa Gallardo merupakan model paling berjaya dengan produksi mencecah 14,022 unit sejak diperkenalkan 10 tahun.
Sebagai rekod, nama Huracan diambil dari pertandingan laga lembu. Lembu Huracan datangnya dari baka Conte de la Patilla Sepanyol dan terkenal dengan keberanian serta bersifat agresif.
Huracan menterjemah semula Gallardo yang mana profail binaan dipengaruhi oleh satu garisan yang menyatukan bahagian depan, kokpit dan belakang kereta. Identiti lain Lamborghini pada Huracan ialah pencahayaan LED pada lampu utama.
Buat julung kalinya dalam segmen ini, model itu dilengkapi LED pada nyalaan lampu sebagai aksesori standard. Ruang dalaman pula dilengkapi sebuah panel instrumen TFT 12.3 inci yang memaparkan maklumat seperti meter putaran enjin, peta navigasi dan fungsi multimedia.
Casis Huracan dibina mengikut kemahiran mendalam Lamborghini dalam bidang gentian kaca. Kali ini mereka menggunakan kaedah hibrid melalaui aplikasi elemen gentian dan aluminium. Berbekalkan berat kering hanya 1,442 kilogram (kg), Huracan bukan sahaja mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang rendah iaitu 2.33kg kepada setiap kuasa kuda malah turut memberikan ketepatan seperti kereta lumba dengan ketegaran tinggi.
Kereta super itu menggunakan enjin baharu 5.2 liter V10 berkuasa 610hp pada 8,250rpm dan tork maksimum 560Nm pada 6,500rpm. Sistem pancitan yang digunakan dipanggil Iniezione Diretta Stratificata (IDS) yang mana pancitan terus dan bukan terus (indirect). Ia membantu menjadikan enjin itu lebih berkuasa dan tingkatkan kuasa tork tanpa melibatkan penggunaan minyak secara berlebihan.
Lamborghini Huracan boleh mencapai kelajuan melebihi 325 kilometer sejam (km/j) manakala pecutan dari pegun ke 100km/j hanya mengambil masa selama 3.2 saat. Model itu juga didatangkan bersama teknologi henti mula. Ciri-ciri itu mengurangkan penggunaan minyak kepada 12.5 liter bagi setiap 100km.
Kuasa buas enjin V10 dialihkan ke permukaan jalan dengan transmisi berkembar tujuh kelajuan baharu yang dikenali sebagai Lamborghini Doppia Frizione (LDF) dan sistem pacuan empat roda yang dikawal penuh secara elektronik. Seleksi mod pemanduan berbeza boleh diatur melalui suis pada stereng dengan tiga pilihan iaitu STRADA, SPORT dan CORSA. Tiga pilihan itu mengubah karakter kotak gear dan enjin, sistem pacuan empat roda dan kawalan penstabilan elektronik (ESC).
Dipasangkan standard pada Huracan ialah brek gentian seramik manakala sistem nisbah stereng boleh ubah (Lamborghini Dynamic Steering) dan magneto-rheologic suspension damper control ditawarkan sebagai aksesori pilihan yang turut ditala mengikut tiga seleksi pemanduan.
Lamborghini Huracan bakal dibina di ibu pejabat Automobili Lamborghini di Sant’Agata Bolognese. Penghantaran pertama kepada pelanggan dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun ini dan kemungkinan ‘lembu laga’ itu akan berada di Malaysia tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: