|
MENAIKI kenderaan pacuan empat roda selama enam jam melalui laluan balak ternyata menguji ketahanan mental Khairul Aliza Alias. Walaupun perit dan memenatkan, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang menyertai Program Trans Borneo (PTB), Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar 2013 baru-baru ini.
Baginya, program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Sarawak dan Sabah itu memberi kesedaran kepada masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman di kedua-dua negeri itu betapa pentingnya menjaga alam sekitar.
“Saya kagum dengan sambutan penduduk apabila promosi Rakan Alam Sekitar (RAS) dijalankan di kawasan mereka,” ujarnya.
Program PTB itu turut disertai 50 kakitangan JAS dari seluruh negara.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu yang menjelajah Kuching, Sarawak, Brunei dan Kota Kinabalu, Sabah yang berlangsung selama seminggu.
Program yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi dan Strategik, JAS, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Abu Hassan Mohd. Isa itu turut merentasi Sibu, Miri dan Lawas di Sarawak serta Sipitang, Sabah.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah kempen membersihkan sungai, melawat menara pencegahan kebakaran dan mengedarkan borang keahlian RAS.
|
Pembersihan
Taman Air Terjun Serian yang terletak hanya satu kilometer dari Bandar Serian, Sarawak merupakan lokasi pertama program itu dengan menjalankan aktiviti pembersihan.
Taman Air Terjun Serian merupakan destinasi tumpuan penduduk setempat untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah keluarga.
Dari Sibu, peserta meneruskan perjalanan ke Kuala Baram, Miri. Di situ, terdapat sebuah menara pencegahan kebakaran dan pengurusan tanah gambut. Lokasi itu berhampiran dengan sempadan negara Brunei.
Menara setinggi 30 meter yang bernilai RM300,000 itu dibina bagi memantau kawasan sekeliling daripada kebakaran terutamanya pada musim kemarau. Sebelum ini, kawasan hutan tersebut pernah terbakar dan sukar untuk dipadamkan.
Bagi langkah pencegahan kebakaran, JAS Sarawak telah membina sekatan aliran air dan telaga tiub di kawasan tanah gambut di situ.
Seterusnya, peserta konvoi PTB di bawa ke sebuah perkampungan masyarakat Iban di Rumah Panjang, Rh. Jarek, Miri.
Seramai 234 orang Iban yang terdiri daripada 17 etnik berbeza tinggal di rumah panjang itu. Seramai 41 keluarga yang tinggal di situ merupakan peserta program rumah angkat Local Agenda 21 (LA21).
Menariknya, di perkampungan ini, para peserta didedahkan dengan kemampuan penduduk menghasilkan baja kompos bokashi daripada sisa-sisa makanan daripada sayur-sayuran. Ia digunakan untuk mencuci sistem perparitan dan sinki.
|
Menurut Ketua Rumah Panjang Rh. Jarek, Rozi Elon, baja kompos itu digunakan untuk tanaman sayur-sayuran, mencuci sinki dan sistem perparitan.
“Sebelum kempen RAS dijalankan di kawasan ini, semua sisa makanan dibuang begitu sahaja. Namun, apabila JAS menyediakan tong khas di setiap kediaman, sisa makanan itu dapat dikitar semula menjadi baja kompos.
“Usaha ini dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar terutamanya sungai yang menjadi sumber air utama kepada penduduk rumah panjang ini,” katanya.
Pengorbanan dan kerjasama penduduk menjaga kebersihan dan alam di kawasan tersebut nyata berbaloi apabila Rumah Panjang Rh. Karek menerima Anugerah Kampung Angkat Terbaik Miri pada 2009 dan Anugerah Kampung Terbersih Miri LA21 tahun 2011.
Dalam kunjungan itu, para peserta turut mengedarkan beg kitar semula, baju dan borang penyertaan ahli RAS kepada penduduk kampung.
Panorama
Para peserta kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh 128 kilometer dengan menaiki 15 buah kenderaan pacuan empat roda menuju ke perkampungan tanpa wayar di Long Pasia.
Sepanjang perjalanan yang penuh berliku itu, peserta meyaksikan keindahan panorama hutan di Sabah, Sarawak dan Kalimatan, Indonesia.
Selepas menempuh enam jam perjalanan, para peserta tiba di tempat penginapan iaitu Resort Long Mio sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Long Pasia. Di situ, peserta berpeluang berkongsi pengalaman sepanjang ekspedisi bersama penduduk setempat.
Selain itu, penduduk diberikan tunjuk ajar tentang cara-cara membuat lilin daripada minyak masak terpakai.
Dari Sipitang, rombongan ekspedisi bergerak ke Tuaran. Di Tuaran, Abu Hassan dan Pengarah JAS Sabah, Datin Halili Ghazali menyampaikan sumbangan pasu bunga kepada ketua kampung dan sumbangan beg sekolah kepada 20 murid sekolah rendah.
Sementara itu, Pemangku Setiausaha, Majlis Daerah Serian, Muzaimah Sumar berpendapat, kempen tersebut mampu memberi impak positif kepada masyarakat dalam usaha menjaga kelestarian alam.
“Kempen ini memberi pelbagai pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar terutama kepada generasi muda. Sebelum ini, ia hanya tertumpu kepada kawasan bandar dan pekan besar.” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: