|
MENYARUNGKAN sepasang baju kebaya berlengan pendek yang dihiasi renda hijau menawan bersama korset dan kain batik yang mengikut potongan badan, Sunshine Aileen Devi Eric berdiri megah selepas dimahkotakan sebagai Ratu Kebaya Malaysia 2013.
Ternyata pakaian tradisional itu menyerlahkan lagi nilai keayuan dan imej diri wanita berdarah kacukan Punjabi, India di sebelah bapa serta Inggeris dan Cina Mongolia di sebelah ibu itu.
Kepetahan dan keyakinannya menjawab soalan yang diutarakan pada pertandingan itu bukan sahaja menawan hati barisan juri tetapi juga para hadirin yang bersorak kuat setiap kali namanya disebut oleh pengacara pertandingan.
Wanita berusia 25 tahun ini juga sangat lantang memberikan pendapat peribadi dan menampilkan satu imej yang matang serta meyakinkan.
Namun, pentas peragaan ratu cantik bukanlah sesuatu yang diimpikan, malah kehadirannya pada pertandingan itu hanya sekadar mencuba.
"Penyertaan pada pertandingan ini adalah untuk mencuba nasib susulan e-mel mengenai uji bakat yang telah dihantar oleh pihak penganjur kepada saya," katanya ketika ditemui Kosmo! pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di Kuala Lumpur, wanita yang mesra dengan panggilan Sunshine ini mengakui, darah kacukannya memberi nilai tambah tetapi bukan tiket untuk menembusi dunia peragaan.
Dunia pengiklanan
"Kini saya seorang model sepenuh masa, dengan tumpuan utama dalam bidang pengiklanan. Walaupun demikian, permulaan kerjaya ini tidak mudah dan penuh dengan cabaran," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.
Menurut Sunshine, dunia peragaan merupakan suatu impian yang dimiliki sejak kecil.
"Sebaik tamat sekolah pada tahun 2006, saya bekerja sebagai pelakon tambahan dalam iklan. Namun, di peringkat awal penglibatan, kebanyakan pengiklan ini tidak memberikan bayaran.
"Saya tidak berputus asa kerana berpendapat penglibatan dalam dunia itu akan memberikan pendedahan berguna dan membuka ruang kepada saya mempelajari dunia peragaan," katanya.
Walaupun ada sesetengah pihak berasa sangsi terhadap kemampuan dan bakat yang dimiliki, namun Sunshine mula mendapat perhatian terutamanya dalam iklan-iklan televisyen tempatan dan antarabangsa.
"Saya juga berpeluang berlakon dalam drama, telefilem dan filem-filem keluaran tempatan," katanya sambil memaklumkan, sokongan tanpa henti yang diberikan ibu dan adik-adiknya terus menyuntik semangat untuk dia meneruskan penglibatan dalam dunia tersebut sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Minum air lidah buaya
Ibu Sunshine, Marjorie Pickering John Civil dimaklumkan suka mengumpul semua gambar, berita, rakaman televisyen dan sebarang hasil kerja berkaitan anaknya itu.
Selain itu, adik-adik lelakinya pula membantu dalam latihan kecergasan dengan menjadi pelatih gim peribadinya.
"Hanya selepas latihan intensif daripada adik lelaki saya, Shaun Avery dan Sherwynn Victor, saya sendiri dapat melihat perubahan fizikal yang turut menyumbang kepada kesihatan dan tentunya bentuk badan yang lebih ramping," katanya tersenyum.
|
Berkongsi rejim penjagaan diri dan kecantikannya, Sunshine berkata, dia sangat peka terhadap keadaan kulitnya.
Oleh itu, dia akan menjalani rawatan muka di pusat-pusat kecantikan sebanyak dua kali sebulan untuk memperoleh kulit yang licin.
Dia juga mengamalkan tabiat meminum air lidah buaya sebanyak 500 mililiter setiap pagi selepas bangun tidur untuk menyahtoksikkan sistem dalaman badan.
Wanita yang telus berkongsi rahsia kecantikan ini juga mengakui, darah kacukan yang dimiliki turut menambah penampilan dirinya, khususnya pada kecantikan rambut.
Memiliki rambut perang dengan tekstur rambut yang lembut dan halus, dia hanya perlu menggunakan tonik untuk mengekalkan kesegaran kulit kepala dan merangsang pertumbuhan rambut yang sihat.
Mengikut kata-kata pelakon legenda Hollywood, Audrey Hepburn, Sunshine percaya kecantikan seorang wanita bukan hanya pada wajah tetapi pada jiwanya.
"Tentu sekali, semua rutin ini diikuti pemakanan seimbang dan latihan senaman. Kesemua perkara ini membantu saya kekal sihat dan berasa hebat," ujar beliau.
Apa-apa pun, seperti kata pepatah, ‘kecantikan tertakluk pada mata mereka yang memandang’.
Sunshine juga percaya kecantikan sebenar bagi dirinya ialah sikap positif seperti bersopan-santun dan suka menolong tanpa mengira latar belakang individu itu.
Ditanya tentang kelebihan dan kelemahan dirinya, Sunshine mengakui ia merupakan dua elemen bertentangan tetapi penting untuk mematangkan dan membetulkan diri.
"Saya seorang yang berterus terang dalam menyatakan pendapat. Saya tidak dapat menjustifikasi sama ada ia kelebihan saya atau sebaliknya.
Saya bercakap apa yang saya fikir, jadi orang yang menerimanya akan menentukan sama ada ia baik atau tidak," katanya mengakhiri temu ramah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: