SIMBOL keagamaan yang dipinjam daripada kepercayaan Hindu dan Buddha yang mewakili alam semesta, Mandala, telah diangkat sebagai tema penghasilan empat rekaan mengagumkan Akmal Afiq Farhan Samsudin, 23.
Tambah manis apabila hasil kerjanya diumumkan sebagai yang terbaik pada pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada pertengahan Januari lalu.
Konsep psikologi Akmal Afiq yang mengimbangi nilai seni dan fungsional berjaya mengetepikan 104 helaian daripada 26 pelajar yang lain.
Kekuatan rekaan pelajar dari Rawang, Selangor itu terletak pada kekemasan teknik dan cantuman cetakan yang melambangkan kesenian budaya Hindu. Penggunaan rona hitam dan putih pula menyerlahkan keringkasan ciptaan Akmal Afiq.
|
“Saya mengikut trend musim bunga dan panas rumah-rumah fesyen antarabangsa. Lazimnya, dua warna asas ini tidak pernah tercicir untuk diketengahkan. Ia juga membuatkan cetakan pada pakaian lebih mendapat tumpuan.
“Penggunaan pelbagai material kapas termasuk daripada jenis berat dan ringan menjadikan ia lebih fungsional. Fabrik likra dan sedikit bulu biri-biri juga ditambah bagi memberi volume kepada pakaian,” jelas anak muda ini ketika ditemui Stailo usai pertunjukan fesyen tersebut.
Anna Piaggi
Penerima Anugerah Perak yang juga penyandang tempat kedua pada pertunjukan fesyen tersebut, Nur Safira Syukri, 25, meraih tepukan paling gemuruh daripada seisi dewan menerusi empat rekaan eksentrik.
Meminjam inspirasi daripada ikon dan penulis fesyen majalah Vogue Italia, Anna Piaggi, Nur Safira bijak menterjemahkan identiti Piaggi ke dalam helaian aneh, namun praktikal daripada logik pemakaian.
|
Tempoh tiga bulan bagi melengkapkan kesemua proses penghasilan empat rekaan itu ternyata mendatangkan hasil istimewa kepada Nur Safira.
Pada pandangan peribadinya, penetapan tata gaya dan perincian menjadi kunci kejayaan hasil kerjanya.
Sementara itu, Siti Fatimah Hashim, 45, mencipta kejutan dengan meraih tempat ketiga. Ibu kepada empat anak itu membawa tema androgini dalam koleksi yang dinamakan Chaotic Reborn.
Menampilkan rekaan dengan sentuhan lembut berteraskan feminin dalam jiwa maskulin, Siti Fatimah yang pernah bekerja dalam bidang perakaunan menyifatkan persaingan antara pelajar muda berbakat memang sangat mencabar.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang mempersembahkan kebolehan dalam bidang seni reka fesyen dan berhasrat untuk membentuk jenama sendiri kelak,” begitu perancangan jangka panjang wanita ini.
Seramai empat pelajar lagi iaitu Mohamad Shazni Fitri Harun, Nor Afizah Jalil, Nurul Husna Saharim dan Wan Muhammad Aizat Wan Ab. Ghani telah dipilih sebagai penerima hadiah sagu hati.
Wan Muhammad Aizat juga berjaya menerima gelaran BDA Favorite daripada Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) dan menjadi antara lima pelajar yang bakal muncul dalam majalah InTrend.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: