Monday, February 10, 2014

Tahu ilmu asas penjagaan kereta


PEMERIKSAAN bahagian enjin perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini ketika memandu.


BERPENGALAMAN selama 20 tahun dalam bidang automotif, Zuzaidi Amin, 45, tidak lokek berkongsi ilmu mengenai panduan dalam penjagaan kereta yang perlu dipraktikkan oleh setiap pemilik kenderaan.
Menurut beliau yang merupakan pakar dalam penjagaan kereta jenama Mazda, Ford dan buatan Jepun itu, dalam aspek luaran, kekerapan mencuci kereta bergantung kepada keadaan persekitaran.
Jika kereta sering diletakkan pada kawasan yang berhabuk seperti tempat letak kereta terbuka, ia perlu dicuci dengan kerap untuk mengelakkan fizikalnya kelihatan kotor.
Bagaimanapun, berbeza dengan bahagian enjin yang tidak perlu dicuci selalu, sebaliknya mengikut kadar servis seperti untuk 5,000 kilometer (km) pertama diikuti 10,000km hingga seterusnya.
"Untuk penjagaan enjin, kita tidak digalakkan mencucinya sendiri kerana takut air akan terkena bahagian sensor. Justeru, kaedah cucian seperti tanpa penggunaan air paling selamat digunakan.
"Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa cucian enjin mampu untuk mengesan berlakunya apa-apa kebocoran getah atau hos yang terdapat di dalamnya dengan lebih awal," terang Zuzaidi ketika ditemui Kosmo! di bengkel MXZ Auto Garage miliknya di Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Tambah beliau, kebanyakan kereta model tahun 2000 ke atas telah banyak menggunakan teknologi sensor menyebabkan ia menjadi lebih sensitif.
Oleh yang demikian, risiko untuk berlakunya litar pintas sangat rendah jika pemilik kenderaan memilih kaedah cucian tanpa air tersebut.
Ilmu asas
Mengulas lanjut, Zuzaidi yang pernah bertugas sebagai mekanik di pusat servis kenderaan selama 18 tahun berkata, setiap individu perlu mempunyai ilmu asas mengenai kereta atau motosikal yang digunakan.

KEBANYAKAN kereta model baharu banyak menggunakan sensor dan ia perlu dikendalikan dengan berhati-hati jika melakukan cucian di bahagian enjin.


"Paling asas, mereka perlu kenal atau tahu makna simbol-simbol yang terdapat di bahagian papan pemuka kenderaan seperti suhu, minyak dan sebagainya.
"Ia penting kerana melalui simbol-simbol tersebut, kita akan dapat mengesan sebarang masalah teknikal berkaitan enjin kenderaan," tutur beliau lagi.
Tidak ketinggalan, beliau turut mengingatkan para pemilik kenderaan tidak kira lelaki atau perempuan agar belajar cara-cara untuk membuka tayar gantian untuk ditukar jika berlaku insiden kebocoran tayar.
"Ilmu asas sebegini sebenarnya sangat penting terutama apabila kita seorang diri berdepan masalah tersebut sekali gus tidak panik," tegasnya.
Servis
Begitu juga dalam aspek servis, Zuzaidi sangat menggalakkan agar setiap pengguna melakukannya mengikut masa yang ditetapkan.
Ini bermakna, apabila sudah sampai masa untuk diservis, bawa terus kenderaan anda ke pusat-pusat servis yang diiktiraf.
"Jangan sesekali gunakan barangan gantian tidak asli kerana ia mampu menjejaskan prestasi kenderaan tersebut.
"Jika diservis mengikut jadual dan dikendalikan oleh mekanik pakar, sesebuah kenderaan itu boleh bertahan lama dari segi kestabilan dan keselamatannya," terang Zuzaidi lebih lanjut.
Sementara itu, bagi Marziah Mohd. Hamidi, 25, yang merupakan kakitangan operator Waterless Car Spa, cucian enjin biasanya akan dilakukan oleh pelanggan setiap tiga hingga enam bulan sekali.
"Setiap cucian, bergantung kepada tahap kotoran di bahagian tersebut. Jika sangat kotor, kami akan menasihatkan pelanggan agar memilih perkhidmatan membersih dan mengilat.
"Apa yang penting, proses cucian akan dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana ia melibatkan bahagian teknikal kenderaan," kata Marziah yang sudah bekerja sejak dua tahun lalu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: