Friday, February 14, 2014

Hanya Allah yang disembah


SEGELINTIR orang tidak menyedari ketika beribadat telah melakukan perbuatan syirik seperti menulis nama di Jabal Rahmah dengan kepercayaan dapat bertemu jodoh. - Gambar hiasan


KEHIDUPAN ini sungguh luar biasa. Terdapat kisah yang telah dilalui menyimpang daripada logik akal. Jika ia tidak ditekuni dengan cermat boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seterusnya.
Misalnya, saya pernah didatangi oleh seseorang yang berkata: "Prof, simpan batu ini dan kalau boleh letakkan di pejabat. Biasa, bila kita berpangkat, berjawatan dan berkedudukan sudah tentu ada yang cemburu dan iri hati. Ini mungkin membantu."
Diam. Saya letakkannya di atas meja dan mencampakkannya ke dalam tong sampah sejurus dia pergi. Saya menghormati keyakinan dan keprihatinan dia tetapi tidak dapat menerima logik meletakkan batu tidak bernyawa sebagai pelindung kepada kehidupan harian.
Malah, batu yang dibaca dengan ayat-ayat suci al-Quran atau jampi serapah kemudian dinobat sebagai tangkal ajaib menjadikan manusia tidak senonoh di mata mereka yang mahu berfikir.
Tentu sekali kisah Nabi Ibrahim yang telah memecahkan batu berhala kaumnya boleh dirujuk. Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 66 dan 67 yang bermaksud:
"Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain daripada Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"
Tidak boleh dipercayai
Kami merasakan tidak memerlukan batu ajaib atau sebarang tangkal. Jika ada ujian kehidupan sekalipun, kesemuanya dikembalikan kepada Pencipta yang sentiasa Berkuasa membantu hamba-Nya.
Entah ke mana batu tersebut menghilang hanya Dia yang Maha Mengetahui. Saya fikir kata-kata Umar bin al-Khattab apabila mencium Hajarul Aswad boleh dipertimbangkan:
"Sesungguhnya aku mengetahui engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu."
Malah saya pernah diberi kunci berbalut benang kuning ketika mahu melanjutkan pelajaran ke Scotland, United Kingdom dengan iringan kata-kata: "Letak ia di atas pintu utama. Tiada mereka yang berniat jahat akan memasuki rumah."
AMALAN khurafat perlu dibanteras agar tidak tergelincir daripada landasan akidah.- Gambar hiasan


Ia kisah lebih kurang 22 tahun lalu. Pada tahun 1992 iaitu ketika usia tidak kisah dan tidak peduli. Kunci berkuasa ajaib ini terbang sejauh 10,622 kilometer.
Jika tuan punya kunci ini memerintah jin untuk menjaga kunci ini bersekali pintu rumah saya di No. 5, Roseangle, Perth Road maka saya selalu terfikir...apakah jin ini dibawa dari Malaysia dan mengikut kami sekeluarga atau hanya menggunakan skim pinjaman jin penduduk tempatan.
Sebagaimana batu-batu berhala yang tidak berkuasa, maka kunci yang dijadikan simbol penjagaan rumah ini juga tidak sepatutnya boleh dipercayai. Memadailah Allah yang membantu dan memberi pertolongan. Dialah satu-satunya yang kita sembah dan memohon perlindungan keselamatan ataupun sebarang hajat.
Sifat keberhalaan iaitu menduakan Allah ini boleh berlaku tanpa disedari terutamanya ketika mencari kebaikan di dalam melakukan amal ibadat. Bayangkanlah begitu ramai yang mempercayai Raudah dan Jabal Rahmah mampu memakbulkan doa mereka melangkaui kekuasaan Allah.
Malah, menulis nama di Kaabah dengan kepercayaan ia boleh memanggil mereka kembali ke Tanah Suci masih dilakukan oleh segelintir jemaah. Allah ya Allah...ia diperkuat lagi dengan lafaz kata-kata mengajak atau menyuruh mereka yang lain melakukan perkara yang sama.
Kami jadi terkeliru melihat begitu banyak surat permintaan yang dicampakkan ke dalam makam Imam Syafie ketika melawat Mesir beberapa tahun yang lepas.
Selain itu, diceritakan orang ada yang mencadangkan supaya tidur di makam beliau bagi memudahkan pengajian di sana. Sama ada ia satu jenaka atau tidak, jelas gambaran pemikiran yang melanda sebahagian umat Islam.
Usaha bersungguh-sungguh
Manusia rasional sentiasa berharap memasuki syurga Firdaus tanpa dihisab. Ia perlu dijelaskan dengan hati dan perasaan. Maka, ia perlu disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh mengikut garis panduan yang telah dinyatakan oleh Allah.
Hakikatnya, mereka yang mahu begitu merupakan golongan istimewa yang sedikit pun tidak akan menduakan Allah di hati. Allah mennyatakan melalui surah An-Nisaa, ayat 48 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."
Ingatlah bahawa Allah telah mengharamkan syurga kepada mereka yang menduakan Allah. Jika syurga diharamkan, maka pastinya nerakalah tempat diam mereka. Jika ia dosa yang tidak boleh diampunkan maka kekallah manusia di dalam neraka buat selama-lamanya.
Allah menyatakan dengan jelas hal ini melalui surah Al-Maidah, ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun."
Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: