Friday, February 14, 2014

Pecah dominasi pemandu bas lelaki


KAPTEN bas RapidKL yang berpangkalan di depoh Sentul, Norsiah Salim memandu bas sejak lebih dua dekad lalu.


STATUS ibu tunggal merupakan satu cabaran yang bukan calang-calang orang boleh memikulnya. Apatah lagi, jika si ibu mempunyai ramai anak, maka pastilah dia terpaksa membanting tulang demi membesarkan mereka.
Bagi golongan tersebut, hidup perlu diteruskan walaupun kehilangan atau berpisah dengan orang yang satu ketika dahulu pernah menjadi pemimpin keluarga.
Demi kelangsungan hidup, golongan ini perlu memikirkan jalan terbaik untuk mendapatkan wang. Atas tanggungjawab itu, mereka sanggup melakukan pelbagai pekerjaan asalkan sumbernya halal.
Bagi Juhana Md. Jaafar, 44, status ibu tunggal yang dipegangnya sejak tiga tahun lalu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus membesarkan lima anak berusia 16 hingga 23 tahun.
Malah, kerjaya yang dipilih sebagai pemandu atau kapten bas RapidKL sejak enam tahun lalu benar-benar mengubah landskap kehidupan keluarganya.
“Saya memandu bas bagi laluan Titiwangsa ke Menara Berkembar Petronas setiap hari bermula pukul 5 pagi hingga 2.30 petang. Jika dikehendaki bekerja syif, saya akan mula memandu dari pukul 5.30 pagi hingga 8 malam.
“Dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan, ia cukup buat kami sekeluarga tanpa perlu menagih ihsan orang,” luahnya ketika ditemui Kosmo! di Putrajaya baru-baru ini.
Pengalaman
Menurut Juhana, dia masih ingat pengalaman hari pertama bekerja sebagai pemandu bas pada tahun 2008. Ketika itu, bas yang dipandunya tiba-tiba rosak di tengah jalan hingga terpaksa ditunda.
“Lucunya, pada hari tersebut, saya tidak jadi bertugas dan hanya duduk di depoh. Keesokan harinya barulah saya berjaya melaksanakan pemanduan hingga habis tempoh bekerja,” ujar Juhana yang mengakui seronok apabila dapat berkenalan bersama para penumpang.
Hakikatnya, pekerjaan sebagai pemandu bas begitu sinonim dengan lelaki. Namun, pada zaman serba moden ini, kaum Hawa telah berjaya membuktikan bahawa mereka juga boleh melakukan tugas yang didominasi kaum lelaki itu.
Perkara tersebut disokong oleh Bahiyah Abdullah, 48, yang bergelar ibu tunggal sejak dua dekad lalu. Keperitan hidup yang dilalui membuatkan dia nekad membesarkan anaknya yang kini berusia 20 tahun.

SEBELUM memulakan tugas, setiap pemandu perlu mengisi minyak bas di depoh masing-masing.


Teruja
Bahiyah yang menyertai keluarga RapidKL sejak lima tahun lalu teruja apabila berpeluang melakukan pekerjaan tersebut.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu bas sekolah dengan pendapatan sederhana. Kemudian, apabila berpeluang menjadi kapten bas RapidKL, banyak faedah yang diperoleh.
“Saya gembira kerana kerja ini tidak seteruk mana dan wanita juga boleh melakukannya,” tutur Bahiyah yang masih belum terfikir untuk berkahwin kerana mengutamakan masa depan anaknya.
Dalam pada itu, selain ibu tunggal, kerjaya kapten bas tersebut turut menarik minat wanita muda seperti Nora Zura Jamaludin dan Noor Sufiana Mustafa Maarof. Masing-masing berusia 24 tahun.
“Abang paling kuat membantah apabila saya menyatakan hasrat untuk menjadi kapten bas setahun lalu kerana dia mengatakan ia kerja orang lelaki.
“Namun, selepas melihat saya mampu melakukannya dalam tempoh sebulan, dia akhirnya akur dengan keputusan saya,” cerita Nora Zura yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Tidak malu
Tambah Nora Zura, dia memandu bas RapidKL bagi laluan Pandan Indah, Ampang ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama enam hari seminggu bermula dari pukul 5.30 pagi hingga 1 petang dan akan berlanjutan sehingga 8 malam jika bekerja syif.
Bagi Noor Sufiana pula, dia tidak malu mempunyai kerjaya sebagai kapten bas walaupun memiliki Sijil Kemahiran Bakeri dari Kolej Komuniti Selayang.
Berbekalkan kata-kata semangat, jika lelaki boleh buat, perempuan pun boleh buat, gadis tersebut membulatkan hasrat menjadi kapten bas kerana gemar mencuba sesuatu yang baharu untuk mencari kelainan dalam diari hidupnya.
“Jika tidak memandu bas atau bercuti, saya akan membuat biskut atau kek yang dipelajari di kolej. Ia boleh menjadi pendapatan sampingan saya,” katanya yang memandu bas bagi laluan Bangsar ke Pasar Seni.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sebagai pemandu bas, Noor Sufiana menjelaskan kesesakan lalu-lintas merupakan perkara yang agak menguji kesabaran terutama sewaktu tempoh awal mula bekerja.
“Tetapi, lama-kelamaan perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan buat kami semua. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa,” ungkapnya sambil tersenyum.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: