JIKA di Malaysia drama bersiri Gerak Khas cukup diminati ramai, terdapat beberapa lagi drama bersiri bertemakan kepolisan luar negara yang popular dan menarik minat penonton.
Biarpun menggunakan tema yang sama, tetapi setiap drama tampil dengan jalan cerita yang tersendiri. Menariknya, drama-drama tersebut turut ditayangkan di stesen televisyen di negara ini serta mempunyai jumlah penonton yang agak ramai.
Berikut merupakan senarai beberapa buah drama kepolisan yang diterbitkan di luar negara serta popular di seluruh dunia dan mencatatkan jumlah rating yang tinggi setiap kali ditayangkan di kaca televisyen.
NYPD Blue
Sebuah lagi drama bersiri kepolisan
yang pernah ditayangkan di stesen televisyen di Malaysia, NYPD Blue berkisar mengenai tugas anggota polis membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar New York, Amerika Syarikat.
Sesuatu yang cukup menarik tentang drama bersiri ini apabila ia diilhamkan oleh bekas anggota polis New York, Bill Clark. Secara kebetulan, salah seorang penerbitnya iaitu David Milch sememangnya mengenali Bill sehingga terhasilnya drama bersiri berkenaan.
NYPD Blue mula ditayangkan di saluran televisyen ABC Network pada 21 September 1993 sehinggalah ia berakhir pada 1 Mac 2005. Drama bersiri berkenaan telah ditayangkan sebanyak 261 episod dan pernah menjadi drama bersiri paling panjang yang pernah disiarkan di saluran televisyen tersebut.
Antara barisan pelakon yang pernah membintangi drama bersiri berkenaan seperti Andy Sipowicz, Dennis Franz, Jimmy Smits, Danny Sorenson, John Clark Jr. dan Diane Russell.
NCIS
Sesuatu yang menarik tentang NCIS kerana ia agak berbeza dengan drama bersiri kepolisan yang pernah diterbitkan. Memulakan siaran pada tahun 2003 di saluran televisyen CBS, ia masih lagi diterbitkan sehingga sekarang.
NCIS memaparkan cerita tentang sekumpulan ejen khas di bawah Naval Criminal Investigative Service yang ditugaskan melakukan penyiasatan terhadap kejadian jenayah membabitkan anggota Tentera Laut Amerika Syarikat dan Polis Marin.
Dibintangi oleh beberapa pelakon hebat seperti Mark Harmon, Sasha Alexander, Michael Weatherly dan Pauley Perrette, drama bersiri berkenaan pernah mendapat undian tertinggi untuk rancangan TV yang paling banyak ditonton di Amerika Syarikat pada tahun 2011.
Sehingga kini, NCIS yang diterbitkan oleh David Bellisario dan Avery C. Drewe sudah ditayangkan selama 11 musim. Pada musim pertama, ia diberi judul Navy NCIS, tetapi perkataan 'Navy' digugurkan untuk musim berikutnya dan judul NCIS kekal sehingga sekarang.
|
Hawaii Five-O
Merupakan antara drama bersiri kepolisan terawal yang pernah diterbitkan di Amerika Syarikat, Hawaii Five-O mula ditayangkan di stesen televisyen CBS pada tahun 1968 hingga 1980.
Menampilkan beberapa orang pelakon terkenal seperti Jack Lord, James MacArthur, Kam Fong dan Gilbert Lani Kauhi, drama bersiri berkenaan ditayangkan selama 12 musim dengan 284 episod.
Ia mengisahkan tentang sekumpulan anggota polis yang menjaga keselamatan dan ketenteraman di Pulau Hawaii.
Setelah 30 tahun tidak disiarkan di kaca televisyen, Hawaii Five-O kembali menemui penonton pada tahun 2010 dengan barisan pelakon baharu seperti Alex O'Loughlin, Scott Caan, Daniel Dae Kim dan Grace Park.
Rookie Blue
Jika di Amerika Syarikat popular dengan drama bersiri Hawaii Five-O dan NYPD Blue, negara Kanada juga tidak kurang hebatnya apabila menghasilkan sebuah drama berjudul Rookie Blue.
Pernah ditayangkan di TV2 sekitar tahun 2012, Rookie Blue mengisahkan tentang kehidupan lima orang rakan yang bekerja sebagai anggota polis setelah tamat latihan di akademi polis.
Selain berkisar tentang kerjaya yang dilalui sebagai anggota polis, drama bersiri ini dilihat lebih menekankan kepada cerita mengenai kehidupan peribadi yang dilalui oleh setiap watak utama, terutamanya berkaitan kekeluargaan dan persahabatan.
Drama yang dibintangi oleh Missy Peregrym, Gregory Smith, Rachael Ancheril, Priscilla Faia dan Eric Johnson sudah mula ditayangkan sejak tahun 2010 dan kini sudah memasuki musim yang keempat.
Law & Order
Mula diterbitkan pada tahun 1990, Law & Order merupakan sebuah drama bersiri yang diterbitkan Dick Wolf dan ditayangkan di stesen televisyen NBC sebanyak 20 musim dalam tempoh 10 tahun.
Sejarah drama bersiri ini bermula apabila Dick mencari ilham untuk menerbitkan cerita yang berkisarkan tentang sistem keadilan pada tahun 1988. Mengikut perancangan awal, tajuknya diberi nama Night & Day dan kemudian diubah menjadi Law & Order.
Ditayangkan selama sejam untuk setiap episod, bahagian pertama memaparkan tentang penyiasatan yang dilakukan oleh detektif terhadap kejadian jenayah yang berlaku di sekitar New York. Bahagian kedua lebih berkisar kepada paparan tentang situasi perbicaraan di mahkamah terhadap tertuduh yang didapati bersalah dalam usaha mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
Salah satu tarikan utama drama bersiri ini sehingga diminati ramai kerana kebanyakan ceritanya berdasarkan kepada kisah benar yang berlaku dan pernah menjadi tajuk utama akhbar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: