Thursday, February 6, 2014

Idea kreatif bakat muda



KETIKA melalui jalan raya yang sedang dibaik pulih, kelihatan kon-kon keselamatan berwarna jingga terang tersusun rapi sebagai satu isyarat kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan tidak melalui garisan yang telah dihadkan.
Malangnya, terdapat juga sesetengah pemandu yang mengambil remeh ‘amaran’ ringkas itu dengan melanggarnya sehingga memecahkan kon yang berketinggian antara 600 hingga 700 milimeter (mm).
Mungkin juga perkara tersebut disebabkan sifat dan bentuk kon itu yang ringan dan mudah teranjak akibat geseran, angin kuat atau kenderaan berat.
Situasi itu memberi kesedaran kepada sekumpulan pelajar untuk mencipta satu produk inovasi untuk meningkatkan keupayaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Idea kreatif mereka berjaya menarik perhatian untuk diangkat sebagai antara yang terbaik dalam pertandingan Cabaran Rekabentuk Nasional 2013 (peringat Universiti).
Kon keselematan
Menghasilkan prototaip yang dipanggil Flexible Barrier (TriBar), Badrul Hisyam Baharom dan Luqman Hamidi Mohd. Hafil dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berjaya mendapat hadiah pertama dengan menewaskan sembilan wakil dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.
CYSPO rekaan Muhammad Alif (kiri) dan Mohamad Afif boleh menutup lubang yang terdapat di jalan raya.


TriBar merupakan kon keselamatan yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya ketika kerja-kerja membaiki jalan raya. Ia lebih fleksibel dan boleh dilaraskan menjadi dua buah kon.
Menggunakan bahan cadangan plastik polyvinyl chloride (PVC), ia lebih ringan dan fleksibel dari segi berat malah mudah dikendalikan.
“Apabila dibuka, ia akan mempunyai tiga buah kon yang saling bersangkut memandangkan setiap kon disambung dengan dawai plastik,” ujar Badrul Hisyam, 22, pelajar semester lima jurusan Seni Reka Perindustrian.
Dia menambah, sambungan dawai itu mudah dilenturkan untuk membuat lengkungan sehingga 30 darjah. Ia memudahkan pihak berkuasa untuk meletakkannya di tempat-tempat operasi tanpa perlu mempunyai kon yang banyak.
Selain itu, tapak TriBar lebih kukuh berdasarkan reka bentuk tiga segi dengan tapak yang rata. Malah, ia lebih menjimatkan memandangkan boleh direnggangkan sehingga 2.7 meter.
“Kosnya lebih efektif kerana harga cadangan untuk sebuah TriBar adalah sekitar RM150 berbanding harga pasaran sebuah kon keselamatan untuk sektor pembangunan sekitar RM120,” ujarnya.
Faktor keselamatan turut dipertingkat dengan meletakkan pelekat reflektor dan penggunaan warna terang untuk memudahkan pemandu melihatnya dari jarak jauh.
“Berat bagi sebuah TriBar adalah sekitar satu hingga dua kilogram (kg), lebih ringan berbanding kon komersial sedia ada,” jelas Luqman Hamidi, 22.
Bebola elastik
Bagi Mohamad Afif Aiman Mohammad Yusof dan Muhammad Alif Abu Ramli, juga dari UiTM Shah Alam, kerosakan jalan raya seperti jalan berlubang dan retak menjadi kajian utama melalui penghasilan produk yang dinamakan Cylinder Signage for Potholes (Cyspo).

BADAN Cyspo boleh dibuka untuk dijadikan alas jalan berlubang.


Dengan ketinggian 762 mm, ia berfungsi dengan memaklumkan pengguna keadaan jalan raya yang rosak melalui isyarat berlampu pada bahagian atas Cyspo.
“Selain itu, ia juga boleh menutup lubang-lubang kecil menggunakan bebola elastik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” ujar Muhammad Alif, 22.
Dia menjelaskan, bebola tersebut akan dialas menggunakan permukaan badan Cyspo yang boleh dibuka menjadi seperti tikar pengalas.
“Apabila dibentangkan, badan Cyspo mempunyai kelebaran lebih kurang 304 mm dan tahan untuk penggunaan sementara,” ujarnya.
Jelas Mohamad Afif Aiman, 23, setakat ini prototaip tersebut masih mencari bahan yang sesuai untuk menggantikan bebola elastik untuk kegunaan dalam tempoh jangka masa panjang.
“Jika ada bahan yang sesuai, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan akibat kerosakan jalan raya terutamanya di kawasan bandar.
“Pada masa sama, ia boleh digunakan dalam tempoh sementara waktu sebelum proses pembaikan dilakukan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Faktor emosi memainkan peranan penting dalam penghasilan prototaip Smiley Barricade ciptaan Noor Syuhada Husni dan Vivian Lam Shi Wei dari Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuteraan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
“Jika kebiasaannya kita melihat kon-kon sedia ada terlalu statik, kami cuba menyuntik rasa ‘kegembiraan’ pengunjung yang berada di sekitarnya,” ujar Vivian.

KON diletakkan di sekeliling jalan yang rosak sebagai isyarat kepada pemandu supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut bagi mengelakkan kemalangan. - Gambar hiasan


Berketinggian sekitar 1,000 mm, ia direka dengan bentuk seperti orang sedang tersenyum. Smiley Barricade tidak hanya diletakkan bersendirian kerana ia boleh disambungkan menjadi satu rantaian panjang.
“Kami merancang meletakkannya di acara keramaian seperti konsert kecil atau pusat beli-belah. Orang ramai yang melihatnya akan berasa aura positif dan ikut tersenyum,” jelas Noor Syuhada.
Dia menambah, produk yang menggunakan bahan daripada polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) itu mempunyai ketahanan dan tidak mudah rapuh.
“Dari segi keutuhan, ia turut ditampung dengan rekaan penyandang yang membolehkannya berdiri teguh dan tahan daripada tiupan angin atau gegaran sederhana,” ujarnya.
Pemenang hadiah utama pertandingan ini menerima RM20,000 dan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang diadakan di Menara Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: