Thursday, February 6, 2014

Wajah baharu Gerak Khas



SEJAK ditubuhkan pada 13 Mac 1985, syarikat produksi Skop Production Sdn. Bhd. kerap menerbitkan drama bersiri bercorak kepolisan yang disiarkan di kaca televisyen.
Bermula dengan drama bersiri Remang-Remang Kotaraya pada tahun 1986, ternyata syarikat yang diterajui oleh Datuk Yusof Haslam itu menerbitkan lebih banyak drama seperti Debu-Debu Kota, Skuad Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, yang paling menjadi tumpuan penonton pastinya drama bersiri Gerak Khas yang mula bersiaran di stesen televisyen RTM pada tahun 1999 dan dapat bertahan selama 12 tahun.
Namun begitu, program tersebut telah direhatkan siarannya buat sementara waktu pada tahun 2011.
Kini selepas tiga tahun, para penonton setia siri televisyen itu akan dapat menyaksikan aksi yang ditampilkan oleh sepasukan anggota polis menerusi musim baharu yang akan mula ditayangkan pada 14 Februari ini.
Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yusof selaku penerbit berkata, atas kejayaan yang diraih berdasarkan sambutan penonton sebelum ini telah mendorong pihaknya kembali menerbitkan drama bercorak kepolisan tersebut.
"Saya cukup gembira apabila Gerak Khas mampu bertahan selama 12 tahun dan ia merupakan satu tempoh yang agak panjang. Bukan mudah untuk menghasilkannya kerana ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang cukup tinggi.
"Apa yang boleh saya katakan, kejayaan yang diraih ini adalah hasil kerja berpasukan yang melibatkan para pelakon serta tenaga kerja di belakang tabir yang berusaha keras menjayakan setiap episod yang diterbitkan," ujarnya.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, Ketua Pengarah Penyiaran RTM,
Datuk Norhyati Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

ZAHID (berdiri, tengah) hadir pada majlis pelancaran drama bersiri Gerak Khas musim baharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jelasnya, ketika mula-mula menerbitkan drama bercorak kepolisan tersebut, ia lebih bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap sumbangan yang diberikan oleh anggota polis terhadap tugas menjaga ketenteraman awam.
"Menerusi drama sebegini sudah tentu ia dapat memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap nyawa anggota polis yang sering menjadi taruhan semasa melaksanakan tugas.
"Terdapat beberapa episod yang memaparkan anggota yang terkorban ketika bertugas membanteras jenayah," jelasnya.
Namun sejajar dengan peredaran masa, untuk musim yang terbaharu, Gerak Khas sebaliknya akan tampil dengan cerita-cerita yang terkini dan berdasarkan situasi semasa tentang kejadian jenayah yang berlaku sekarang.
Jelasnya, sepanjang menerbitkan drama berkenaan, pihaknya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), misalnya memberi idea atau maklumat yang diperlukan kepada panel skrip Skop Production untuk menghasilkan sebuah cerita yang menarik.
"Untuk musim kali ini, Gerak Khas bukan sekadar memaparkan cerita mengenai tugas-tugas polis. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penekanan terhadap jalan cerita yang berkisar kepada konflik kehidupan keluarga serta permasalahan dalaman yang berlaku dalam kalangan anggota polis.
"Tidak ketinggalan, terdapat cerita yang memaparkan isu-isu berkaitan polis seperti rasuah, kegagalan operasi akibat rahsia yang dibocorkan oleh orang dalam, salah guna kuasa dan memukul anggota sendiri," ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut, untuk musim baharu ini, beliau telah menggabungkan barisan pelakon lama dan baharu. Yusof juga turut kembali dalam barisan pelakon produksi tersebut dengan memegang watak sebagai SAC Datuk Helmi.

AFIQ MUIZ (tengah) antara muka baharu yang ditampilkan menerusi Gerak Khas musim terbaharu ini.


Antara pelakon yang dipilih untuk membintangi Gerak Khas musim baharu ini termasuklah Norman Hakim, C. Kumaresan, Salina Saibi dan Zabri Ibrahim serta beberapa muka baharu seperti Afiq Muiz, Nizen Ayob, Shanorbiah Shamsir Alam dan Mas Hidzir Khan.
Dalam pada itu, Yusof turut ditanya mengenai pemilihan Afiq sebagai salah seorang pelakon utama siri TV tersebut memandangkan sebelum ini pelakon muda itu terlibat dengan kontroversi yang membabitkan kisah peribadinya.
Jelas beliau, dia memang sengaja memilih Afiq kerana mahu memberi peluang kepadanya kerana dia berbakat. Malah, dia yakin kemunculan pelakon itu tidak akan menjejaskan imej polis dan drama tersebut.
"Apa yang berlaku (terhadap Afiq) lebih kepada perkara peribadi dan saya melihat dirinya sebagai seorang yang sangat berdisiplin ketika bekerja. Saya tidak akan memilih pelakon yang ada terbabit dengan jenayah atau politik," tegasnya.
Terharu
Salah seorang pelakon utama Gerak Khas musim baharu, Norman Hakim mengakui bahawa dia sangat terharu apabila kembali diberi kepercayaan oleh Skop Production untuk membintangi drama bersiri Gerak Khas.
Ujarnya, dia sudah terbabit dalam penerbitan drama tersebut dalam tempoh yang cukup lama iaitu sejak tahun 2003 hingga 2009 sebelum keputusan dibuat untuk merehatkannya.
"Apabila dihubungi dan diberitahu tentang tawaran berlakon dalam Gerak Khas, perasaan saya sudah pastinya sangat gembira sehingga bergenang air mata kerana saya begitu sayang dengan drama ini.
"Selepas lima tahun saya akhirnya kembali menjayakannya dan ia merupakan salah satu rahmat dan rezeki yang diperoleh pada tahun lalu. Ketika ditawarkan saya tidak mengambil masa yang lama membuat keputusan," ujarnya yang memegang watak sebagai Supt. Haris.
Mengulas mengenai Gerak Khas yang kembali diterbitkan, ujar Norman, ia merupakan suatu langkah yang sangat wajar kerana tidak banyak drama berbentuk kepolisan yang diterbitkan di negara ini.
Tambah Norman, sebagai sebuah drama bersiri yang mengangkat martabat PDRM pada mata masyarakat, ia boleh dijadikan medium yang paling berkesan untuk memberi gambaran sebenar tentang tanggungjawab yang perlu dipikul anggota polis.

SELEPAS tiga tahun berehat, kini Gerak Khas musim baharu kembali menemui penonton di layar kaca.


"Kalau diikutkan, bukan mudah membawakan watak sebagai pegawai polis. Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian misalnya penampilan, gaya percakapan dan gerak tubuh perlulah dilihat seperti cara seorang polis yang sebenar.
"Perkara sebegini harus diberikan perhatian kerana imej yang dibawa oleh pelakon. Lagipun, saya sendiri terpaksa mengambil masa selama tiga bulan membiasakan diri ketika mula-mula berlakon Gerak Khas dahulu," jelasnya.
Cabaran
Seorang lagi pelakon yang boleh dikategorikan 'orang lama' dalam drama berisi Gerak Khas, Salina Saibi yang memegang watak sebagai ASP Salina berkata, ia telah memberikan satu pengalaman yang berharga buat dirinya.
Menurutnya, sebagai seorang yang gemar melakukan aksi lasak, dia sememangnya sangat menggemari watak sebagai pegawai polis yang dilihatnya agak mencabar buat dirinya selaku pelakon.
"Tiada sebarang cabaran besar yang dilalui sepanjang terbabit dalam drama ini, kecuali mengalami beberapa kecederaan yang ringan serta membawakan watak sebagai anggota polis sebenar.
"Selain itu, terdapat sedikit perbezaan yang ditampilkan apabila watak saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kepada ASP Rosli yang dilakonkan oleh Afiq Muiz. Jalan ceritanya juga banyak bertumpu kepada kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri," jelasnya.
Tambahnya: "Bekerjasama dengan individu seperti Datuk Yusof Haslam agak menyeronokkan dan beliau seorang individu yang sangat fleksibel."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: