Wednesday, February 19, 2014

Barangan berjenama dipos dengan kapal

ANTARA barangan yang ditempah oleh pelanggan dan sedia untuk dipos.


STRATEGI pemasaran dalam perniagaan sudah beralih kepada satu tahap baharu iaitu menerusi promosi di laman sosial. Terkini, laman sosial instagram menjadi antara medium paling berkesan untuk meraih perhatian pelanggan.
Fenomena tersebut dilihat sebagai satu perkembangan baik dalam dunia perniagaan kerana bakal pelanggan berpeluang mencuci mata di alam maya sebelum membuat keputusan. Persaingan antara peniaga turut disifatkan sengit kerana saling bertanding untuk menawarkan keistimewaan barangan masing-masing pada harga yang berpatutan.
Jika kena gaya, si peniaga mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda kerana kos sewa tapak sudah dapat dijimatkan. Perniagaan boleh dijalankan dengan hanya memiliki barangan dan akaun laman sosial.
Kru Kosmo! tertarik dengan akaun instagram yang menjual barangan berjenama dari England dan menawarkan perkhidmatan penghantaran ke Malaysia pada harga cukup berpatutan. Akaun yang bernama uk_station itu dimiliki oleh rakyat Malaysia yang masih meneruskan pengajian di negara berkenaan. Perkembangan mengenai perniagaan mereka juga boleh diakses di laman Facebook, UK Station.
Pemiliknya, Muhammad Hatta Ghazali, 25, dan isterinya, Siti Nor Zulaikha Kamarulzaman, 24, mendapat idea untuk menjalankan perniagaan barangan berjenama merentasi benua kerana ingin melihat rakyat Malaysia memiliki barangan tersebut pada harga yang jauh lebih murah berbanding pasaran tempatan.
Kumpul wang
“Jika kami mampu memiliki barangan berjenama antarabangsa di sini, kami juga mahu melihat keluarga, rakan-rakan dan orang ramai mendapat peluang yang sama.
“Kami sedar bahawa rakyat kita berada dalam kelompok pendapatan sederhana. Jadi, kami memperkenalkan konsep bayaran sebanyak tiga kali sehingga barangan yang diingini selamat tiba kepada pelanggan,” ujar Muhammad Hatta melalui kiriman e-mel kepada Kosmo!.
BARANGAN yang selamat tiba di tanah air perlu dibuka dan diasingkan sebelum dipos kepada pelanggan.


Harga barangan tertakluk pada jenis dan harga pasaran yang dijual di England. Setakat ini, julat harga barangan bermula dari RM150 hingga RM3000 seunit.
Bagi memastikan harga barangan berjenama yang diidam pelanggan ditawarkan pada kadar mampu milik, mereka menggunakan khidmat pengeposan ke Malaysia dengan kapal yang mengambil masa selama dua bulan untuk tiba di Malaysia. Sementara pelanggan menunggu barangan tiba, mereka boleh mengumpul wang untuk membuat bayaran kedua dan ketiga sehingga mereka menerima barangan yang ditempah.
Antara barangan yang ditawarkan di uk_station ialah set barangan dapur berjenama Tefal, Andrew James, Kenwood, Morphy Richards dan Richardson Sheffiled.
Tidak terkecuali, pakaian, jam tangan, beg dan pewangi turut dijual. Jenama yang sering mendapat permintaan daripada pelanggan ialah Tod’s, Clarks, Kurt Geiger, Michael Kors, Adidas, Nike, Fred Perry, Ralph Lauren, Hard Rock London, Ben Sherman, Ted Baker, Superdry dan Dr. Martens.
Muhammad Hatta yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah merupakan pelajar sarjana muda Sains Komputer di Universiti Brunel London, England, manakala Siti Nor Zulaikha sedang menuntut dalam bidang sarjana muda Komputer Forensik di Universiti South Wales, England.
Mereka berdua memulakan perniagaan tersebut sekitar bulan September 2013 yang hanya diketahui oleh keluarga terdekat. Biarpun menjalankan perniagaan secara sambilan, kedua-dua pemilik uk_station tersebut bijak membahagikan masa dengan pelajaran agar matlamat utama iaitu menuntut ilmu di bumi Eropah tidak terjejas.
“Sepanjang menguruskan perniagaan ini, kami berdua tidak pernah rasa terbeban. Bagaimanapun, kadangkala kami terpaksa membalas pertanyaan pelanggan agak lewat ekoran kesibukan mengikuti pengajian dan perbezaan masa antara England dan Malaysia iaitu sebanyak lapan jam,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: