Wednesday, February 19, 2014

MAM sokong terapi gantian metadon


MELALUI rawatan terapi gantian metadon, jika dos yang diambil tidak berlebihan, ia mampu meningkatkan kualiti hidup penagih dadah. - Gambar hiasan


PELAKSANAAN rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan di negara ini oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang relevan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2005.
Ia dilaksanakan di bawah program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) untuk mengawal penularan dan mengurangkan impak negatif jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah.
Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Datuk Dr. Raj Karim berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan rawatan tersebut yang memberi manfaat buat golongan pengguna dadah.
"Kami mengalu-alukan usaha seperti ini yang keberkesanannya telah terbukti secara saintifik bukan sahaja dalam merawat masalah ketagihan, malah memulihkan kesihatan, meningkatkan kualiti hidup dan membolehkan pengguna dadah menjalani kehidupan yang produktif," ujar beliau melalui satu kiriman e-mel kepada Kosmo! ketika diminta mengulas mengenai rawatan terapi metadon baru-baru ini.
Menurut Raj, metadon ialah sejenis dadah yang diguna pakai sebagai gantian dalam rawatan ketagihan dadah jenis heroin atau opiad.
Mengawal ketagihan
Justeru, sekiranya diambil dengan dos yang bersesuaian di bawah pemantauan pakar perubatan secara konsisten, metadon tidak mendatangkan kemudaratan kepada penagih, sebaliknya dapat membantu mereka mengawal ketagihan terhadap heroin dan dadah jenis opiad yang lebih berbahaya.
"Metadon hanya mengundang kesan negatif jika dicampur dadah lain atau diambil secara berlebihan (overdose).
"Namun, jika pengguna dadah diberikan sokongan dan akses yang sempurna kepada perkhidmatan kesihatan dan pengurangan kemudaratan, kesan sampingan ini dapat dielakkan sama sekali," ujar beliau.
Dalam pada itu, apabila diajukan soalan mengenai pandangan segelintir pihak yang mengatakan rawatan terapi gantian metadon tidak elok untuk penagih, Raj mempunyai pandangan tersendiri mewakili MAM.
"MAM menilai perkara ini daripada sudut kemanusiaan dan berdasarkan bukti saintifik. Ketagihan merupakan krisis kesihatan yang boleh dan sewajarnya dirawat dengan kaedah perubatan yang menghormati hak-hak asasi manusia.

PROGRAM Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon yang dilaksanakan sejak tahun 2006 membawa kesan positif kepada golongan penagih.


"Menurut satu kajian terbaharu yang menyelidik mengenai keberkesanan pelaksanaan program terapi gantian metadon di pusat-pusat Cure & Care 1Malaysia AADK, lebih 72 peratus daripada 28,663 pengguna dadah yang menerima rawatan metadon tidak lagi ditahan dalam penjara.
"Malah, mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal yang kekal dan memulihkan hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terjejas," jelasnya.
Selain itu, satu kajian yang lain pula menganggarkan bahawa lebih 12,653 jangkitan HIV telah berjaya dielakkan menerusi program Pengurangan Kemudaratan (Program Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon) ini sejak tahun 2006.
Kesan positif
"Jelas sekali, dalam tempoh yang singkat sejak permulaan pelaksanaan program, metadon telah banyak mendatangkan kesan yang positif dalam kehidupan pengguna dadah, bukan sahaja daripada sudut kesihatan malah kebajikan mereka juga turut terbela.
"Lantaran itu, kami menyarankan agar program terapi gantian metadon ini diteruskan dan diluaskan lagi sejajar dengan matlamat Pelan Strategik HIV dan AIDS Kebangsaan 2011-2015 untuk mengurangkan kadar jangkitan baharu HIV kepada 11 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2015," ungkap Raj yang turut memuji usaha yang dilakukan Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya melalui program Spiritual Enhancement on Drug Addiction Rehabilation (Sedar).
Tambah beliau, statistik survelan HIV terbaharu yang diterima MAM daripada sumber Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan adalah sehingga akhir tahun 2012.
Bagi tempoh tersebut, sebanyak 66,046 atau 47 peratus daripada 98,279 kes HIV disebabkan perkongsian jarum dan alat suntikan.
Tidak ketinggalan, menurut satu kajian berbeza yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan juga pada tahun 2012, hampir 19 peratus daripada pengguna dadah di Malaysia telah dijangkiti HIV.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: