Wednesday, February 19, 2014

Buku soal jawab pemakaian tudung

MOHD. SOLLEH menunjukkan buku terbaharunya yang berada di pasaran pada hujung bulan lalu.


"BETULKAH menutup aurat itu wajib? Tudung merupakan simbol penindasan wanita! Tunggulah sehingga tua nanti."
Persoalan di atas merupakan sebahagian daripada alasan yang diberikan oleh golongan wanita dalam buku kelima karya Mohd. Solleh Ab. Razak, 29, yang berjudul Auratku Maruahku.
Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, buku yang telah berada di pasaran pada hujung bulan lalu tersebut ditulis selepas mendapati ramai wanita sering memberi alasan untuk tidak memakai tudung dan menutup aurat.
"Kaum wanita sering memberi alasan sehingga menimbulkan kemusykilan dan kekeliruan berkaitan kewajipan wanita Muslimah berpakaian mengikut syariat Islam.
"Kaedah dan keperluan menutup aurat dengan sempurna semakin dikaburi oleh fesyen dan gaya hidup masyarakat Islam moden," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, buku hasil kerjasama beliau dan isterinya, Siti Nur Fatimah Hassan itu cuba merungkai semua keraguan dan kemusykilan kaum wanita dengan persembahan kandungan dalam bentuk soal jawab bagi memudahkan pembaca memahami kepentingan syariat itu.
Nasihat
Tambah bapa kepada lima cahaya mata itu, setiap persoalan dijawab berserta huraian, rujukan al-Quran dan hadis serta ilustrasi bagi menarik minat para pembaca terutamanya golongan remaja.
"Buku ini menjawab 30 alasan yang sering diberikan oleh wanita untuk tidak menutup aurat berkonsepkan nasihat daripada seorang kakak kepada adik secara santai," katanya sambil memberitahu genre permasalahan masyarakat sering menjadi pilihan dalam penulisannya.
BUKU Auratku Maruahku menjawab 30 alasan yang sering diberikan oleh wanita untuk tidak menutup aurat.


Beliau yang berkelulusan dalam bidang sarjana di Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya memaklumkan, buku setebal 151 muka surat itu sesuai dijadikan bahan bacaan usrah, rujukan di perpustakaan dan hadiah.
Mengulas berkenaan pembabitannya dalam bidang penulisan, beliau berkata, minatnya untuk menulis timbul ketika sedang belajar memahirkan diri menaip menggunakan papan kekunci komputer ketika menuntut di universiti. Ketika itu, beliau menaip semula buku-buku karya Ustaz Pahrol Mohd. Joui dan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Manfaat
Beliau yang juga merupakan imam di Masjid al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur berkata, satu ketika timbul perasaan untuknya menghasilkan sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain seperti karya-karya penulis kegemarannya itu.
"Hasilnya, pada tahun 2011, saya berjaya menyiapkan sebuah buku bertajuk Wasiat Ulama. Buku tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila berjaya dijual hampir 20,000 naskhah.
"Selepas kejayaan buku pertama itu, saya semakin bersemangat untuk menulis dan berjaya menyiapkan tiga lagi buah buku antaranya, Anakku Seorang Hafiz, Melahirkan Anak Pencinta al-Quran dan Sehingga al-Quran Terpahat di Hati.
Selain kerjaya sebagai imam masjid, beliau juga merupakan guru di Sekolah Menengah Islam IQKL, TTDI, Kuala Lumpur.
Katanya, walaupun sibuk dengan aktiviti seharian, namun disebabkan minat mendalam terhadap bidang penulisan, beliau akan meluangkan sedikit masa untuk mencari bahan-bahan penulisan dan menulis.
"Apabila dapat idea untuk menulis, saya terus tulis di nota-nota kecil dan kemudiannya dikembangkan dengan mencari bahan-bahan di perpustakaan dan menulis sekiranya ada kelapangan," kata beliau.
Kini, beliau sedang menyiapkan buku kesinambungan daripada Auratku Maruahku yang bakal dikeluarkan dalam tahun ini.
Buku berjudul Divi Solehah itu memberi fokus mengenai cara pemakaian tudung, menutup aurat dan penampilan diri yang betul seperti disyariatkan oleh Islam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: