• NohNoh dan Aizat

KURANG dari tiga minggu lagi, acara berprestij Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) bakal menggegarkan industri muzik tanah air.

Pastinya peserta yang berjaya ke peringkat akhir ini teruja untuk beraksi sebaiknya di malam AJL 28 nanti.

Namun berbeza pula dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang merupakan komposer, penulis dan penyanyi lagu In Love With You kolaborasi bersama Aizat Hamdan ini mengakui keterujaannya lebih kepada perancangan menunaikan umrah bersama isterinya, Miss Nina pada 27 Januari ini.

Menurut Noh, pada saat awal diberitahu lagu ciptaannya berjaya ke pentas akhir AJL 28, perkara pertama yang berada di fikirannya adalah untuk menarik diri dari terus bertanding.

"Sebenarnya, tarikh penerbangan asal yang kami terima pada 20 Januari. Kami dapat tarikh itu sebelum pihak AJL umumkan tarikh pertandingan akhir.

"Sudah tentu saya akan memilih untuk menunaikan umrah tambahan pula ini kali pertama kami pergi bersama dengan ke dua belah keluarga. Jadi semuanya terpulang kepada Aizat sama ada untuk teruskan atau tidak," katanya ketika di temui pada sidang media, AJL 28, Empire Hotel, Subang Jaya, kelmarin.

Bagaimanapun, Noh bersyukur kerana isteri dan keluarga memahami situasi dan kariernya dan bersetuju menundakan tarikh umrah sehari selepas malam akhir AJL 28.
"Kalau diikutkan, saya memang tidak kisah untuk menarik diri, tapi Nina dan keluarga menundakan tarikh penerbangan supaya saya terus bertanding.

"Tapi hati saya memang lebih teruja untuk tunai umrah," katanya.

Ditanya persiapan untuk persembahan malam AJL 28 nanti, Noh memberitahu dia tidak terlalu memikirkannya dan hanya menjanjikan yang terbaik.

"Sebenarnya, saya agak tertekan dengan Aizat sebab dia juara AJL 27 tahun lalu dan tahun ini pula saya akan membuat persembahan bersamanya.

"Sudah tentu peminat akan menjangkakan sesuatu yang lebih baik dari kami berdua. Tapi kami tidak akan letak sebarang harapan dan apa yang penting saya dan Aizat akan buat yang terbaik," katanya.


Idola Aizat

Biarpun bergelar juara AJL 27 tahun lalu, namun Aizat kali ini tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk sekali lagi merebut anugerah tersebut.

"Berpeluang berkolaborasi dengan Noh sudah cukup untuk saya. Tambahan pula kolaborasi pertama ini layak ke peringkat akhir AJL 28.

"Saya memahami dan menghormati keputusan Noh jika dia mahu tarik diri sebelum ini. Tapi akhirnya kami dapat membuat persembahan bersama," katanya.

Aizat akui rasa bertuah kerana dapat membuat persembahan dengan idolanya di pentas berprestij AJL28 yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

"Saya tidak sangka dapat membuat persembahan dengan Noh kerana dia adalah idola saya sejak saya belum bergelar seorang penyanyi. Jadi saya benar-benar teruja.

"Memang adat pertandingan semua peserta mahu menang, tapi kali ini kami tidak mahu memikirkan soal itu kerana tidak mahu tertekan. Untuk persembahan nanti, saya dan Noh hanya mahu berseronok di pentas dan beri yang terbaik," katanya.