|
APABILA memperkatakan mengenai penagihan sering kali ia dikaitkan dengan penagihan dadah yang sejak dahulu ia diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Hakikatnya masyarakat hari ini bukan sahaja berhadapan dengan penagihan dadah malah pelbagai lagi bentuk ketagihan yang mengundang permasalahan serius sekiranya tidak diatasi.
Antaranya penagihan rokok, alkohol, judi, permainan di dalam komputer, internet malah terkini masalah ketagihan makanan hingga membawa kepada obesiti dan penyakit lain.
Mengambil contoh kes terbaharu melibatkan seorang pemuda di Pulau Pinang yang meninggal dunia dipercayai ketagih bermain permainan di dalam talian (internet).
Dia dikatakan menghadap internet secara berterusan selama 15 jam setiap hari.
Ketagihan internet ini mengundang kesan kepada ketahanan seperti akibat penyalahgunaan dadah. Seseorang yang ketagih internet dikatakan perlu berasa kekal secara dalam talian untuk mencapai keseronokan yang diinginkan dan kalau tidak akan mengalami perasaan murung, cemas dan bimbang.
Begitu juga penagihan umum seperti rokok yang diketahui kesannya boleh membawa kepada penyakit barah hati dan jantung, judi yang membawa banyak masalah sosial seperti keruntuhan institusi kekeluargaan serta masalah hutang yang menyebabkan ada yang meminjam dengan ah long.
Penyakit ketagihan ini menjadi kebimbangan ramai pihak apabila ia semakin meningkat setiap tahun. Menurut Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari pengambilan dadah jenis baharu seperti syabu serta ketagihan internet adalah antara masalah ketagihan yang sangat ketara peningkatannya terutama golongan remaja.
Beliau berkata, kesan pengambilan dadah jenis syabu itu boleh dilihat di mana-mana hospital di seluruh negara apabila semakin ramai yang cuba mendapatkan rawatan akibat gangguan halusinasi sehingga menyebabkan mereka yang terlibat boleh bertindak agresif dan ganas.
Apabila fikiran mereka yang mengambil dadah tidak boleh dikawal lagi, keluarga biasanya akan membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kebiasaannya ujian air kencing akan positif dadah jenis syabu, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Masalah pengambilan syabu adalah cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah negara-negara Asia Pasifik lain berikutan masih tercari-cari kaedah yang berkesan untuk merawatnya.
Dr. Muhammad Muhsin berkata, penagihan internet terutama di negara-negara Asia termasuk Malaysia menunjukkan peningkatan kesan daripada kejutan teknologi itu.
Penyelidikan
Negara-negara seperti China, Taiwan dan Korea telah membuat banyak penyelidikan mengenai kesan penagihan internet ke atas rakyat mereka. "Di Korea, klinik penagihan internet diadakan kerana peningkatan pesakit yang berhadapan masalah itu. "Masalah ketagihan internet membawa kesan besar termasuk melibatkan perjudian di internet, penipuan dan masalah penyalahgunaan sosial media yang boleh membawa mudarat hingga ada yang maut dan bunuh diri," katanya.
Malaysia juga, katanya, perlu mengambil langkah seperti Korea dalam menangani ketagihan internet agar ia tidak terus meningkat dan perlu mempunyai tempat yang khusus bagi merawat mereka yang berhadapan dengan masalah ketagihan itu.
Atas dasar peka kepada isu ketagihan ini, lebih 600 pakar yang khusus dalam bidang ketagihan seluruh dunia telah berbincang bersama dalam Persidangan Tahunan Antarabangsa Perubatan Ketagihan (ISAM) kali ke-15 di ibu negara selama tiga hari mulai 21 November lalu.
Dr. Muhammad Muhsin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola persidangan itu berkata, perbincangan tersebut meliputi perkembangan otak semasa penagihan yang dilakukan secara saintifik bagi membantu memberi rawatan yang berkesan kepada penagih.
"Ini termasuk perubahan, transformasi daripada pendekatan menangani penagihan seperti penagihan dadah yang dahulunya hanya melibatkan dari segi sosial dan undang-undang, kini dipertingkatkan lagi melalui rawatan perubatan," katanya.
Jika dahulu impaknya kurang berkesan, namun penyelidikan yang dibuat di seluruh dunia mendapati pendekatan perubatan mempunyai peranannya dalam mengatasi penagihan itu.
Antaranya, ketagihan heroin dengan pengambilan methadone, penagihan rokok melalui verenicline dan nicorrette gum, ketagihan alkohol boleh diatasi dengan pengambilan ubat naltrexone dan diazepam.
"Negara kita telah bergerak ke arah rawatan perubatan seperti negara-negara yang berkenaan dalam mengurangkan kemudaratan akibat ketagihan ini.
"Kesan ketara yang boleh kita lihat sejak pengambilan methadone bagi menangani penagihan dadah heroin ialah penurunan HIV dalam kalangan penagih daripada 70 peratus kepada 25 peratus sahaja," katanya.
Sebanyak 200 kertas kerja telah dibentangkan pada persidangan yang julung kali diadakan di Asia melibatkan lebih 40 negara.
Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar di Pusat Persidangan Telekom Malaysia, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: