- Keluarga besar Kamariah bersatu di YKSNS.
Lebih bermakna apabila hasratnya mendapat restu kedua orang tua, P.Vijaya dan K.Murugunadan, serta sokongan adik-beradik, sanak saudara.
Siti Nursuzana yang sebelum ini dikenali sebagai M.Puvana mendapat hidayah ALLAH SWT sejak menziarahi neneknya dan terdetik di hatinya untuk mendalami Islam secara serius dengan mengikut jejak langkah neneknya.
“Saya memeluk agama Islam kerana kerelaan hati, bukan atas paksaan,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS), selepas mengucap dua kalimah Syahadah tepat jam 9 malam, Sabtu lalu.
Bercerita mengenai salasilah keluarga, Siti Nursuzana mempunyai seorang nenek dikenali sebagai Kamariah Sarip, 82, yang berkahwin dengan datuknya berketurunan India iaitu Kandasamy.
Sebelum itu, pada awal 40-an, Kamariah telah berkahwin dengan seorang lelaki India Muslim bernama Kamarudin Abdullah dan dikurniakan empat orang anak yang tinggal di sebuah Estet di Pagoh, Johor.
Namun entah mana silapnya, Kamariah telah meninggalkan anak-anaknya, kemudian mendirikan rumah tangga bersama Kandasamy dengan dikurniakan tujuh orang anak hasil perkahwinan mereka.
Cari adik beradik, sanak saudara
Menurut anak saudara Kamariah, Norizan Mohd Nor, 53, pertemuan dia bersama ibu saudaranya (Kamariah) bermula pada awal tahun ini selepas ibu saudaranya di masukkan ke hospital di Kajang, Selangor.
“Sebelum ini, Kamariah telah menghilang diri lebih dari 30 tahun selepas berkahwin dengan Kandasamy dan difahamkan, perkahwinan mereka tidak berlandaskan agama Islam.
“Hinggalah, dikurniakan anak-anak beragama Hindu. Namun pada akhir 2008, Kamariah telah bermimpi ditemukan oleh ibu bapanya serta adik-beradiknya.
"Menurut Kamariah, dalam mimpinya itu, kedua ibu bapanya marah kerana tindakannya berjauhan dengan keluarga dan meminta dia kembali memeluk Islam semula serta mencari sanak saudara se-Islam,” katanya.
Atas dorongan itu katanya, Kamariah pulang ke kampung halaman di Rantau Panjang, Port Dickson untuk mencari adik-beradik dan sanak-saudaranya.
“Namun kerana faktor masa, rumah pusaka sudah tiada dan adik-beradik juga telah merantau. Kamariah hanya dimaklumkan oleh jiran, bahawa sanak saudara berada di sekitar Jempol.
“Usaha untuk mencari sanak-saudara menemui jalan buntu kerana kekurangan maklumat sehinggalah berlarutan beberapa tahun,” katanya.
Tak sangka ibu saudara masih hidup
Menurut Norizan, selepas itu, dengan bantuan Jabatan Mufti negeri, Kamariah di bawa ke YKSNS pada penghujung 2008 untuk mendalami semula agama Islam dan mengucap kembali dua kalimah Syahadah.
“Selepas setahun berada di YKSNS, anak-anaknya ingin menjaga ibunya dan berjanji akan menjaga makan minum ibunya kerana memahami ibunya telah memeluk Islam semula.
“Dalam tempoh itu juga, Kamariah dimasukkan ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad rawatan rapi (ICU) kerana demam panas.
“Ekoran keadaan dirinya tidak stabil dan sering meracau, Kamariah sering menyebut nama adik-beradiknya. Akhirnya doktor meminta anak-anaknya mencari ahli keluarga asal Kamariah sebelum menghubungi semula YKSNS untuk membantu mencari keluarga asal Kamariah dipercayai masih berada di sini,” katanya.
Susulan itu kata Norizan, pihak YKSNS telah berjaya menjejaki anak buah Kamariah, Idris Kasim, 56.
“Suami (Idris) saya telah dihubungi pihak YKSNS menyatakan terdapat seorang perempuan bernama Kamariah Sarip ingin bertemu saudaranya.
“Selepas menerima panggilan, suami saya tidak menjangka ibu saudaranya masih hidup kerana lebih 30 tahun dia tidak pernah berjumpa dengan ibu saudaranya itu.
“Alhamdulillah, kami bersyukur ditemukan semula dengannya. Malah, kami sangat gembira kerana dia telah memeluk Islam semula," katanya.
Hubungan masih erat biarpun lain agama
Sejurus pertemuan tersebut, anak perempuan Kamariah sering datang ke rumahnya di Felda Raja Alias 4 untuk bertemu ibunya.
“Selepas keluar dari Hospital Kajang, Kamariah telah duduk bersama kami tetapi hubungannya dengan anak-anak tetap seperti biasa kerana mereka sering datang ke sini. Malah hubungan kami lebih erat meskipun berlainan agama,” katanya.
Katanya. dia bersyukur kerana Siti Nursuzana memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya.
“Buat masa ini, Siti Nursuzana akan tinggal di YKSNS untuk mendalami ilmu agama Islam sebelum dia sendiri membuat keputusan sama ada mahu tinggal bersama kami di Felda Raja Alias 4, atau terus tinggal di YKSNS,” katanya.
Sementara itu, Kamariah yang fasih berbahasa Tamil berkata, hati kecilnya masih menaruh harapan untuk bertemu dengan empat orang anak iaitu Khatijah, Rokiah, Ariffin dan Baharudin iaitu anak-anak hasil perkahwinan pertamanya.
“Wan sangat merindui mereka. Puas sudah wan mencari mereka tetapi tetap tidak bertemu. Wan tidak tahu di mana mereka berada sekarang.
“Wan harap, sekiranya ALLAH dipanjangkan usia wan, wan mahu bertemu dengan anak-anak sebelum mata terpejam untuk selamanya,” katanya gembira dapat bertemu dengan adik-beradiknya serta sanak saudara Melayu.
Bagaimanapun, suami kedua-dua Kamariah telah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: