• 3 kali diserang ular sawa Penduduk Kampung Bukit Perah menunjukkan ular sawa sepanjang hampir tiga meter, semalam.
KELANTAN – Gerak hati seorang pemuda di Kampung Bukit Perah mengesyaki haiwan peliharaannya diserang ternyata benar, apabila mendapati ular sawa cuba membelit ayam di rebannya jam 10 pagi, semalam.

 Ketika itu Mohd Firdaus Che Daud, 22, bersama dua lagi rakannya berada di ruang tamu, terkejut apabila mendengar kokokan ayam tanpa henti.

 Menurutnya, dia memberanikan diri melihat di dalam reban dan mendapati ular sepanjang hampir tiga meter itu cuba menyerang ayam.

 “Disebabkan kedudukan reban dengan rumah agak dekat, maka saya dapat mendengar kokokan ayam dengan jelas namun saya bersyukur kerana ia tidak menyerang adik-beradik yang lain di dalam rumah.

“Saya bersama rakan terus mengambil tali dan mengatur langkah agar ia tidak menyerang ketika kami cuba mengikatnya,” katanya.

Firdaus berkata, ini bukan kejadian kali pertama berlaku sebaliknya sudah tiga kali ular menyerang haiwan peliharaan penduduk di sini.

 Anak ke enam dari 10 beradik ini berkata, penduduk kampung menyerahkan haiwan terbabit kepada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, musim hujan ketika ini menyebabkan haiwan berbisa ini keluar daripada sarang.

Katanya, penduduk di sini sentiasa berhati-hati terutama yang bekerja sebagai penoreh getah, kerana mungkin akan terserempak dengan haiwan berbahaya seperti ini.