Sunday, August 11, 2013

Ali Mamak Bakal Muncul Dengan Album Baharu

PETALING JAYA: Pelawak dan penyanyi veteran Datuk Ali Mamak bakal muncul dengan sebuah album baharu tidak lama lagi.
Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, 62, berkata, dia tidak sabar untuk memulakan kerja-kerja penerbitan album tersebut memandangkan sudah empat tahun tidak muncul dengan sebarang lagu baharu.
"Kali terakhir album saya berjudul Terimalah Seadanya pada tahun 2009 yang diterbitkan oleh komposer Amir Atan menerusi syarikat Rentak Mutiara.
"Kali ini, saya masih mengekalkan rentak dan lagu yang sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial dan isu-isu semasa yang berlaku di negara ini. Cuma muziknya akan disusun dengan konsep yang lebih segar," katanya.
Tambah Ali, hasrat untuk menerbitkan album genre komedi itu sudah lama dipendam cuma kesibukan kerja membuatkan dia terpaksa menangguhkan perancangan itu.
Dalam pada itu, Ali turut merancang pelbagai promosi sebagai strategi penjualan album ketiganya itu.
Sementara itu, mengenai sambutan Aidilfitri, Ali berkata, dia seorang yang sangat sibuk pada sambutan raya pertama dengan menghiburkan tetamu untuk acara rumah terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
"Dalam pada itu, saya juga mengadakan persembahan lawak dan menyanyi di atas bot River Cruise di Sungai Melaka pada setiap Ahad menghiburkan pelanggan yang berada di situ," ujar anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: