Bakat yang ada dalam dirinya mula terserlah apabila menyertai rancangan realiti TV, On Air di bawah kelolaan Datuk Aznil Haji Nawawi.
Sejak itu jugalah bakat yang ada dalam dirinya mula dinilai dan kini dilamar menjadi pengacara.
Menurut Syakirin, minat yang mendalam terhadap bidang pengacara membuatkan dia semakin aktif dalam mengacarakan beberapa program seperti K-Popnya Raya, Fashion dan Lifestyle Hijabista.
"Selain daripada itu, saya juga pernah menerbitkan beberapa laporan khas untuk Buletin Awani, Trending dan Gala TV.
"Selepas tersingkir daripada On Air, saya diberi tawaran sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di Astro Awani," katanya yang amat meminati bidang ini sejak kecil.
Anak sulung daripada lima beradik ini juga mempunyai bakat tersendiri. Dia bukan sahaja boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, malah mempunyai kebolehan dalam menguasai bahasa Korea dengan fasih.
Tambah bekas graduan bidang Kejuruteraan Biokimia pengajian di Korea ini, dia tidak menyangka pengalaman belajar di Korea membuatkan dirinya mampu mengorak langkah dalam bidang ini.
"Atas semangat dan galakkan teman rapat dan keluarga juga saya memberanikan diri untuk terus menceburi bidang pengacaraan ini.
Tolak dunia kejuruteraan
Dalam menceburi bidang yang diminati pastinya anak kelahiran Kuantan, Pahang ini tiada halangan untuknya terus maju ke hadapan walaupun ada kalanya kenangan pahit manis mengusai diri.
Bagi Syakirin, pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan, walaupun belajar dalam bidang Kejuruteraan, ia bukan halangan untuknya menceburi bidang yang diminatinya sejak kecil.
“Walaupun penglibatan saya masih baru dalam bidang ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu saya untuk terus mara dengan karier yang diceburi.
"Kenangan pahit yang paling sedih dalam hidup saya ketika tersingkir rancangan On Air, tapi saya tidak putus harapan bila dapat tawaran dari pihak Astro.
"Saya akui, sesungguhnya industri ini tidak mudah walaupun sudah setahun tapi belum sampai apa yang diimpikan kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari," katanya.
Tambah Syakirin, mungkin segelintir masyarakat menganggap bidang pengacara ini glamor, tapi bagi gadis manis ini ia bukan apa yang disangka kerana persaingan dalam bidang ini semakin sengit.
"Bagi pendapat saya sendiri dalam bidang ini kita bukan hanya perlu cantik dan pandai bercakap, malah yang lebih penting adalah pengalaman dan banyakkan belajar untuk terus berjaya.
"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana minat dan impian saya telah termakbul. Selain daripada itu juga, tujuan saya menceburi bidang ini agar saya dapat berkhidmat dengan masyarakat," katanya.
Ingin program sendiri
Menyentuh mengenai perancangan dan impian pada masa akan datang, Syakirin memberitahu dia mempunyai sasaran untuk lima tahun akan datang.
Bagi Syakirin, jika diberi peluang dia ingin mengacarakan program sendiri sama ada berbentuk bual bicara, majalah, dan travelog.
"Saya ingin menerbitkan dan menjadi pengacara dengan program yang padat dengan pengetahuan dan info isu semasa yang disampaikan dengan penuh santai.
"Bagi saya sendiri dengan cara ini juga ia mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat dan ingin melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya yang bercita-cita ingin menjadi ahli motivasi khususnya untuk remaja dan wanita.
Dalam perkembangan yang lain, Syakirin berkata, dia ingin mencuba pelbagai bidang dan jika diberi peluang untuk menjinakkan diri dalam bidang lakonan, dia akan terima.
"Saya ingin menceburi pelbagai bidang, dengan cara ini juga kita dapat menimba pengalaman dengan lebih banyak tambahan usia kita yang masih muda banyak lagi yang perlu dipelajari," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: