|
KESIBUKAN dan kesuntukan masa untuk memanjakan diri di spa sering dijadikan alasan oleh kebanyakan wanita yang bekerjaya. Kadangkala harga perkhidmatan tata rias yang dianggap mahal menjadi penyebab mereka melupakan hasrat tersebut.
Tidak dinafikan, ada segelintir golongan wanita di negara ini yang kurang rajin keluar rumah semata-mata untuk ke spa atas pelbagai alasan tersendiri.
Namun, dengan perkhidmatan spa bergerak yang diperkenalkan oleh Harmony Mall Sdn. Bhd. baru-baru ini, ia boleh menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut.
Perkhidmatan yang diberikan nama Harmony Myspa itu merupakan spa bergerak pertama di negara ini. Ia merupakan inisiatif seorang personaliti terkenal dalam dunia penyiaran iaitu Zamzarina Zambri.
Zamzarina, 40, merupakan pengacara program bual bicara RTM Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina.
Terikat dengan rutin harian sebagai seorang penyanyi nasyid kontemporari daripada kumpulan Safiya membuatkan Nurain T. Abdullah, 40, memilih untuk menggunakan perkhidmatan spa bergerak bagi menjimatkan masa.
"Perkhidmatan spa bergerak memudahkan saya kerana hanya dengan satu panggilan telefon, saya boleh menjalani rawatan kecantikan ala spa di rumah sendiri.
"Rawatan juga bagus kerana operator Harmony Myspa seorang yang bertauliah dan produk yang digunakan pula berkualiti walaupun harganya lebih murah berbanding perkhidmatan spa di luar," katanya yang melakukan rawatan spa di luar sebanyak dua kali sebulan sebelum ini.
Selepas mencuba beberapa kali perkhidmatan tersebut, Nurain berminat untuk menjadi salah seorang operator kerana modal yang diperlukan ialah RM4,888.
Operator Harmony Myspa, Suhaila Yaakup, 38, berkata, dia memilih untuk perniagaan tersebut kerana modalnya berpatutan dan tidak memerlukan sewaan tapak premis.
"Bahkan harga bagi setiap perkhidmatan jauh lebih murah sekali ganda daripada harga yang ditawarkan di spa, sekali gus ia dapat membantu pelanggan menjimatkan wang mereka.
"Bekalan produk yang diberi oleh Harmony Mall pula boleh digunakan sebanyak 40 kali rawatan," katanya ketika ditemui di Segambut, Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau mengakui dapat menjana pendapatan lumayan dengan hanya bergerak dari rumah ke rumah.
Seorang lagi operator, Noor Azira Abdullah, 40, yang berkhidmat sebagai seorang guru di Machang, Kelantan pula sanggup memandu sejauh 400 kilometer ke Kuala Lumpur bagi menghadiri kursus latihan yang dikendalikan oleh Harmony Mall.
Masa fleksibel
Dia hanya mengetahui mengenai spa bergerak tersebut melalui majalah dan tertarik untuk menyertainya kerana masa yang diperuntukkan untuk perniagaan tersebut sangat fleksibel.
"Saya hanya perlu bekerja pada hujung minggu selepas menamatkan tugas sebagai seorang guru pada hari persekolahan. Ia juga boleh dijadikan pendapatan sampingan bagi mengisi masa terluang.
"Pelanggan juga pasti lebih selesa jika segalanya dilakukan di rumah mereka tanpa perlu bimbang dengan anak-anak di rumah yang terpaksa ditinggalkan sekiranya ingin ke spa," jelasnya yang sudah lama berminat dengan kursus tata rias diri.
Harmony Mall bekerjasama dengan dua orang tenaga pengajar kemahiran yang bertauliah dan berpengalaman luas untuk berkongsi kaedah rawatan wajah, kuku tangan dan kaki serta urutan badan yang betul kepada peserta yang berminat.
Seorang daripada tenaga pengajar yang terlibat, Ruzidah Ishak, 47, berkongsi pengalamannya selama 13 tahun berkecimpung dalam bidang urutan terapi kecantikan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia tersebut.
"Peserta akan diberi tunjuk ajar selama tiga hari di sini (Harmony Mall). Ia meliputi cara melakukan rawatan wajah yang betul, amalan kebersihan ketika bertugas, teknik urutan yang berkesan dan cara berinteraksi dengan pelanggan.
"Kami akan memantau operator (peserta) dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan mereka mempraktikkan apa yang telah dipelajari di sini," katanya yang sudah mempunyai kira-kira 1,000 pelajar ketika mengajar di Giat Mara pada tahun 2007 hingga 2011.
Katanya, rawatan wajah tidak boleh dipandang ringan kerana teknik urutan pada wajah sebenarnya boleh membantu meremajakan kembali kulit wajah pelanggan.
Kaedah urutan yang betul boleh membantu membuang toksin pada wajah ke beberapa titik nodul limfa dan secara tidak langsung dapat menegangkan kulit muka.
Operator juga perlu mahir mengurut badan dan tangan pelanggan sementara menunggu masker yang disapu pada wajah kering.
"Urutan yang berterusan membuatkan interaksi dengan pelanggan tidak terhenti. Pelanggan akan lebih berminat untuk menggunakan khidmat operator berkenaan pada masa akan datang sekiranya mereka berasa selesa," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: