Wednesday, July 17, 2013

Potensi bisnes bunga segar




SEJAK tiga tahun lalu, bunga merupakan sumber pendapatan utama wanita ini. Sejak berurusan dengan bunga segar, Noorsyazrah Sulaiman, 34, mengakui hidupnya lebih ceria, bertenaga dan gembira.
Hakikatnya, wanita yang berasal dari Sri Kembangan, Selangor itu bukanlah tergolong dalam kategori mereka yang menggemari bunga.
Namun, persepsinya terhadap bunga berubah selepas beliau bekerja di sebuah syarikat perancang perkahwinan.
Menurut Noorsyazrah atau lebih mesra dengan panggilan Sya, perniagaan bunga mempunyai potensi yang cerah.
"Pengalaman bekerja dengan syarikat perancang perkahwinan sebelum ini telah membuka mata saya bahawa daripada urusan katering hinggalah pelamin semuanya memerlukan bunga," katanya yang menubuhkan syarikat yang dikenali sebagai Amaryllis Floral Design.
Menurut Sya, perniagaan bunga yang diceburinya itu juga secara tidak langsung, menemukannya dengan Mohd. Noor Riduan Ali, 34, yang kini tunang dan rakan kongsinya.
Sya ketika ditemui sibuk menjual bunga sempena majlis konvokesyen sebuah institusi pendidikan di Pusat Konvensyen Putrajaya baru-baru.
Menurut Sya, selepas berkecimpung di bawah syarikat pembekal dan jualan bunga, Amarrllis, dia akan memastikan rumah dan biliknya sentiasa diserikan dengan gubahan bunga segar.
Antara bunga kegemaran Sya ialah mawar, tulip dan lavendar.
Sya juga tidak menyangkal warna bunga turut mempengaruhi dan memainkan peranan. "Lazimnya warna bunga juga memainkan peranan. Saya lebih suka warna merah jambu dan krim kerana ia memberi ketenangan," katanya yang menganggap bunga yang sedang mekar dan gugur sebagai satu proses yang unik.

BUNGA-BUNGAAN mempunyai hubungan yang sangat erat dengan pengguna yang sering menggunakannya, kata Sya.


Ramai pelanggan Sya juga mempunyai amalan meletak bunga segar di rumah atau pejabat kerana kepercayaan yang sama. Malah, seorang pelanggannya di Bandar Baru Bangi pernah memberitahu bahawa dia berasa resah tanpa bunga segar di rumah.
"Dia (pelanggan) menyimpan bunga segar setiap hari sejak beberapa tahun, satu hari tanpa bunga segar membuatkan dirinya kurang bersemangat," kata Sya.
Namun, meletakkan bunga segar di bilik sahaja tidak mencukupi. Wanita ini juga selalu memanjakan bunga-bunga di pejabat operasi iaitu tempat pengumpulan bunga. Sya akan menjaga dan mengurus sebaik-baiknya bunga-bunga tersebut dengan teliti.
Agen penyembuh
Perasaan terhadap bunga perlu baik supaya kita dapat menggubahnya dengan baik dalam jambangan. "Apabila mood kita tidak baik, kita tidak dapat berkomunikasi dengan bunga dan jambangan bunga yang digubah juga kurang menyerlah. Nenek saya pernah memberitahu bunga-bunga ada perasaan dan ia perlu diberi perhatian," kata Sya.
Malah, beberapa kajian juga menunjukkan bunga-bunga pernah digunakan sebagai agen penyembuh dan magis.
Ketua Bahagian Psikologi Tumbuhan di sebuah institut botani di Rusia Prof. Ivan Isidogovich Gunar menyimpulkan, dalam sekuntum bunga terdapat beratus-ratus ekspresi. Ia dibuktikan melalui kewujudan impuls elektrik yang berfungsi sama seperti saraf manusia. Beliau yang mempunyai kemahiran berhubung tumbuhan mengakui bunga mempunyai pelbagai sikap seperti berharap, bertindak balas dan menunjukkan ekspresi termasuk kesakitan.
Pembantu Gunar, Leonid A. Panishkin memberitahu: "Bunga-bungaan ini juga mempunyai memori ingatan yang pendek."
Ada kepercayaan mendakwa, jika anda menanam bunga pada waktu petang bulan baharu, ia membawa tuah. Kepercayaan Mesir purba pula mempercayai amalan memberikan bunga kepada seseorang turut membawa tuah tetapi jika bunga dialih dari kubur dan dibuang, lokasi yang dibuang itu akan dihantui selama-lamanya.

MANDI bunga segar dipercayai mampu menambah seri dan aura positif. - Gambar hiasan


Bagi wanita muda, Devyamini Selvaraju, 24, dari Bandar Botanic, Klang, Selangor, bunga elemen penting bukan sahaja kerana dia menyukai bunga tetapi atas faktor keagamaan.
Sebagai seorang penganut Hindu, sejak kecil Devya tidak pernah lupa membeli bunga segar setiap hari Jumaat untuk upacara sembahyang.
"Selain hari Jumaat, kami juga membeli bunga untuk tujuan yang sama pada hari-hari penting termasuk perayaan dan upacara kebesaran lain. Ia satu kemestian," katanya ketika ditemui pada majlis nalunggu di rumahnya pada bulan Jun lalu.
Nalunggu ialah upacara kebudayaan yang diadakan tiga atau lima hari secara berturut-turut sebelum seseorang itu berkahwin. Ketika ditemu bual, Devya bakal melangsungkan perkahwinannya dua hari lagi.
"Pada hari ini, kami gunakan banyak bunga. Antaranya bunga melur yang akan diberikan kepada tetamu wanita, bunga kekwa untuk hiasan dan pemujaan dan bunga ros untuk hiasan. Pada hari perkahwinan, lebih banyak bunga diperlukan. Misalnya, malai iaitu bunga untuk pemujaan dan sembahyang, bunga untuk ditabur di atas mempelai sebagai tanda restu, hiasan bunga di pintu masuk dan banyak lagi," katanya yang menyediakan bajet antara RM700 hingga RM1,000 untuk bunga-bunga segar bagi upacara nalunggu, perkahwinan, majlis makan malam perkahwinan dan segala adat yang perlu disempurnakan sepanjang seminggu sebelum dan selepas perkahwinan.
Seri wajah
Peranan bunga segar dalam adat dan upacara Hindu tidak boleh dipisahkan. Daripada kelahiran seorang bayi, akil baligh, berkahwin, majlis melenggang perut sewaktu hamil, masuk rumah baharu, sambutan perayaan hingga kematian semuanya memerlukan bunga segar.
Selaku seorang pemilik spa kecantikan, Devya menjelaskan, sama seperti kaum Melayu yang menggunakan bunga segar untuk mandi bunga bagi menaikkan seri wajah, Devya mengakui kaum India turut mempercayai adat itu, cuma ia kurang diamalkan.

KEDIAMAN Devya dihias menggunakan bunga-bunga segar dan sedikit bunga plastik sebagai penambah seri rumah pengantin perempuan itu.


Katanya, ia akan hanya dilakukan apabila seorang anak perempuan mencapai akil baligh dan bunga akan digunakan sebagai aksesori hiasan diri.
Bunga melur misalnya, yang mempunyai bau wangi yang kuat meningkatkan ciri-ciri kewanitaan. Atas sebab itulah ramai dalam kalangan wanita India menggunakan melur selain mawar sebagai aksesori hiasan kepala.
Walaupun tidak mengetahui secara mendalam tentang kegunaan bunga untuk tujuan agama, Devya memberitahu, bunga-bunga yang pelbagai warna menjadi penyeri majlis dan upacara.
Kaum India antara pengguna bunga segar yang paling banyak dan paling kerap menggunakan bunga dalam hampir semua upacara.
"Ia satu tawaran yang paling disenangi. Selain itu, dalam agama Hindu, bunga-bunga itu dipercayai akan berasa sempurna jika ia digunakan untuk menghias patung puja dan tempat sembahyang daripada dibiarkan tumbuh dan layu di pokok," kata seorang sami, S.Samynathan, 69, dari Pelabuhan Klang, Selangor.
Pada hari pemujaan, beliau akan menggunakan empat hingga enam bakul bunga dengan anggaran berat antara tujuh hingga 10 kilogram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: