Panglima 3 Divisyen, Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad berkata, projek pembinaan kem baru itu akan dijalankan di Bukit Hitam, Sunggala melibatkan peruntukan sebanyak RM118 juta yang sudah diluluskan menerusi program Army Care.
“Justeru, projek ini dijangka bermula tahun depan dan mengambil masa antara 24 hingga 36 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
“Buat masa ini, kita sudah berbincang dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri berkaitan perumahan di kem berkenaan bagi pelbagai peringkat tentera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima 1 Briged di Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), dekat sini, semalam.
Menurutnya, kem terbabit akan turut menjadi markas Briged Armor memandangkan lokasinya yang hampir dengan kawasan latihan berperisai.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai Kem Rasah katanya, kepadatan dialami menyebabkan perpindahan perlu dilakukan.
“Pada asalnya, kawasan seluas kira-kira 40.5 hektar di tengah bandar Seremban itu merupakan kem transit untuk tentera Komanwel. Kini, ia turut menempatkan Markas 1 Briged yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan Negeri Sembilan dan Melaka.
“Bagaimanapun, kita harap tiada pihak akan cuba mengambil kesempatan untuk menjualkan prime land tersebut selepas kem dipindahkan kelak berikutan masih kekal menjadi hak milik tentera,” katanya.
Sementara itu, mengulas penyerahan tugas dijalankan, Razali berkata, Briged Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar dipilih sebagai Panglima 1 Briged menggantikan Briged Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan yang berkhidmat selama setahun tujuh bulan.
“Saya amat berpuas hati dengan tugas dilaksanakan Sheikh Mokhsin. Saya harap Adnan yang baru menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Kolej Pertahanan Amerika Syarikat dapat meneruskan kecemerlangan tersebut,” katanya.
Upacara berkenaan menyaksikan Sheikh Mokhsin menyerahkan tugas kepada Adnan yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Kor Armor Diraja, Ketua Team Hala Tuju TDM dan juruiring Yang Dipertuan Agong.
Selepas ini, Sheikh Mokhsin akan menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Infantri Markas TDM di Kementerian Pertahanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: