Monday, July 1, 2013

Kedai dobi asingkan baju pelanggan Islam


NUR AZLIWATI (kiri) menunjukkan kedai Mydobi.com yang diusahakannya bersama suami, Nazrul Hisham.


SIAPA sangka rungutan daripada ibu yang kurang mempercayai kebersihan pakaian yang dibasuh di kedai dobi menjadi sebab utama Nur Azliwati Lazam, 41, terfikir untuk memulakan perniagaan dalam bidang tersebut.
Tambahan pula, ketika mahu mengerjakan haji pada tahun 2011, beliau turut berdepan pengalaman menghantar pakaian yang mahu digunakan di Tanah Suci di sebuah kedai dobi.
“Sewaktu menghantar pakaian itu untuk dicuci, saya melihat pekerja di kedai tersebut terus mencampurkan ia dengan pakaian pelanggan lain yang mungkin tidak terjamin kesuciannya.
“Justeru, sebaik pulang dari Mekah, saya nekad untuk memulakan perniagaan kedai dobi semata-mata untuk menawarkan khidmat cucian yang diyakini bersih dan suci oleh pelanggan terutama yang beragama Islam,” terang Nur Azliwati ketika ditemui Kosmo! di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Beliau akhirnya memilih untuk menyertai francais dobi di bawah jenama Mydobi.com dengan modal permulaan sebanyak RM150,000. Ia merupakan perniagaan di bawah Master Business Concept Shop yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Saya hanya perlu menyediakan tapak kedai dan selebihnya termasuk peralatan serta latihan mengurus perniagaan dibantu oleh pengurusan Mydobi.com.

KONSEP mengasingkan pakaian pelanggan Islam dan bukan Islam adalah untuk menjamin kesucian pakaian, terutamanya ketika beribadah.


“Kedai dobi ini telah mula beroperasi pada bulan Mei 2012 dan Alhamdulillah sambutan yang diterima dari semasa ke semasa amat menggalakkan. Walaupun wujud persaingan dalam perniagaan dobi tetapi saya sentiasa optimis dengan rezeki kurniaan Allah,” ujar ibu kepada dua cahaya mata berusia 14 dan 10 tahun ini.
Letak jawatan pensyarah
Menurut Nur Azliwati lagi, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada suami, Nazrul Hisham Abdul Hamid, 42, yang sentiasa membantu untuk melancarkan perniagaan mereka.
“Kebetulan pula, saya dan suami mempunyai latar belakang dalam bidang perakaunan dan pernah menyiapkan satu projek berkaitan kedai dobi sewaktu mengikuti pengajian di peringkat sarjana.
“Jadi, memang beliau banyak membantu memberi idea terutama dalam aspek pengurusan kewangan,” jelas Nur Azliwati yang kini mempunyai dua orang pekerja tetap dan beberapa pekerja separuh masa.
Sebelum bergelar pengusaha dobi, Nur Azliwati merupakan seorang pensyarah perakaunan di sebuah kolej swasta di ibu kota. Namun, beliau nekad untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.
Tambah beliau, antara keistimewaan Mydobi.com dan rangkaian kedai di bawah jenama itu adalah kaedah cucian kering yang menggunakan air.

RAMAI pelanggan Islam yang memuji konsep yang digunakan Nur Azliwati dalam mencuci pakaian yang dihantar pelanggan.


“Untuk makluman kepada masyarakat di luar sana, mana-mana kedai dobi yang mempunyai perkataan lagoon, maka ia bermakna cucian kering dilakukan menggunakan air.
“Ia bagi menjamin kesucian dan kebersihan pakaian yang dihantar ke kedai lebih bersih,” katanya.
Bagi Sabariah Yunus, 43, sepanjang setahun bekerja di kedai dobi ini, dia gembira kerana mempunyai majikan yang baik dan bertimbang rasa.
“Saya rasa seronok bekerja di sini. Tugas saya lebih kepada membasuh dan melipat baju. Jika menggosok pula, setiap hari sekurang-kurangnya kami akan menggosok 80 helai baju dan jika pelanggan ramai adakalanya melebihi 150 helai,” kata Sabariah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: