|
DI SEBALIK jadualnya yang cukup padat demi memenuhi undangan nyanyian dan mempromosikan album terbaharunya, Judika Mencari Cinta, penyanyi yang dikenali dengan nama Judika ini tetap memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pernikahannya.
Selepas enam tahun menyulam cinta, Judika mengumumkan bakal mengahwini kekasihnya, Duma Riris Silalahi pada 31 Ogos ini.
Namun, belum pun tarikh itu tiba, Judika telah mengejutkan Duma dengan menghadiahkannya sebuah kereta sport mewah.
Seperti yang dilaporkan Kapanlagi.com, bagi membuktikan lagi cintanya, Judika telah membelikan bakal isterinya itu sebuah kereta sport jenis Maserati yang mencecah harga RM117,000 sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Menurut Judika, keputusan untuk membeli kereta berkenaan dibuat kerana dia dan Duma sama-sama meminati kereta sport.
Justeru, dia merasakan pembelian kereta itu merupakan hadiah yang paling sesuai buat Duma.
"Sudah lama kami merancang mencari kereta yang akan digunakan semasa majlis perkahwinan nanti.
"Secara kebetulan saya ada rakan yang bekerja di kedai menjual kereta jenama Maserati buatan Itali, jadi kami terus memilih kereta yang sesuai.
"Sebenarnya, kereta yang baru dibeli ini tidak termasuk sebahagian daripada hantaran kahwin untuk Duma.
"Saya membelinya kerana kereta ini akan digunakan semasa sesi fotografi untuk acara praperkahwinan kami nanti," jelasnya.
Bagaimanapun, Judika menegaskan, pembelian kereta tersebut langsung tidak mengganggu perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang akan diadakan secara besar-besaran di Medan dan Jakarta.
"Tentang duit, saya tidak kisah kerana saya sudah lama membuat simpanan untuk perkahwinan.
"Dengan menghadiahkan kereta ini pastinya ia akan menjadi salah satu kenangan paling indah semasa majlis perkahwinan kami serta menjadi bukti cinta saya kepada Duma," ujarnya.
Lagu untuk bakal mertua
Bertemu Judika yang hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena rakaman program Judika & Friends dan Akustik Judika, pelantun lagu Aku Yang Tersakiti itu mengakui agak berdebar menjelang hari perkahwinannya.
"Setakat ini, persiapan perkahwinan kami berjalan lancar, cuma jadual harian saya agak padat kerana sibuk mempromosikan album Judika Mencari Cinta.
"Segala urusan persiapan saya serah kepada Duma yang dibantu oleh perancang perkahwinan kami.
"Kalau ada masa terluang saya akan turut membantu," jelasnya yang akan melangsungkan perkahwinan di Danau Toba, Medan, Indonesia.
Bercerita lebih lanjut mengenai album terbaharunya yang dilancarkan pada 22 Mei lalu, Judika memberitahu, ia lebih istimewa berbanding dua albumnya yang terdahulu.
Ujarnya, kali ini dia diberi sepenuh kepercayaan oleh Sony Music Entertainment Indonesia untuk menjadi penerbit albumnya sendiri di samping menghasilkan beberapa buah lagu.
"Untuk album Judika Mencari Cinta ini ada beberapa buah lagu yang saya hasilkan sendiri serta tiga buah lagu yang dinyanyikan secara duet iaitu Aku Yang Tersakiti (Kotak), Ku Tak Mampu (Janet Glow) dan Sampai Akhir (Duma).
"Menerusi lagu Ku Tak Mampu, saya berduet dengan Janet yang merupakan pemenang sebuah pertandingan yang dianjurkan khusus untuk mencari pasangan duet saya untuk lagu ini," jelasnya.
Selain ketiga-tiga lagu tersebut, terdapat 12 lagu lain yang terkandung dalam album berkenaan.
Menurut Judika, untuk lagu Sampai Akhir yang dinyanyikan secara duet dengan bakal isterinya itu, mereka berdua akan menyanyikan lagu tersebut semasa berlangsungnya majlis perkahwinan nanti.
Menariknya, penyanyi yang pernah muncul sebagai naib juara program realiti Indonesian Idol 2 itu mendedahkan bahawa salah sebuah lagu iaitu Mama Papa Larang dihasilkan khusus buat bakal ibu dan bapa mertuanya.
"Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kisah percintaan saya dan Duma yang penuh ranjau dan berliku apabila mendapat tentangan daripada keluarga Duma yang pada mulanya tidak suka anak mereka bercinta dengan penyanyi.
"Bagaimanapun, sepanjang kami bercinta saya telah berusaha untuk membuktikan bahawa nyanyian merupakan satu pekerjaan yang hebat. Segala suka dan duka yang dilalui itu saya luahkan menerusi lagu tersebut," jelasnya.
Kini, pasangan itu bakal mendirikan rumah tangga setelah mendapat restu keluarga masing-masing.
Program Judika & Friends yang turut menampilkan dua penyanyi Malaysia iaitu Klangit dan Alif Satar akan disiarkan pada 10 Ogos manakala Akustik Judika pada 17 Ogos. Kedua-dua rancangan tersebut disiarkan pukul 12 tengah hari menerusi saluran Bintang 141 Astro Indopek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: