Monday, July 22, 2013

Haida tolak cinta lelaki muda

PERNAH mendirikan rumah tangga dengan bekas penerbit rancangan televisyen, Aminudin Yahya pada tahun 2004, Haida bagamanapun kini kembali solo.


SEBELUM ini nama Haida Hafiz pernah dikenali ramai menerusi Dikir Rambong dan Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario pada akhir 90-an tetapi namanya tenggelam setelah mendirikan rumah tangga.
Setelah hampir 12 tahun menyepikan diri daripada dunia hiburan tempatan, Haida atau nama sebenarnya, Noor Haida Mohd. Idris kini muncul dengan buah tangan terbaharu dengan single berjudul, 5 Tahun Saja.
Haida yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! berkata, dia tidak menyangka sama sekali bahawa kemunculannya semula dengan lagu baharu mendapat maklum balas positif daripada peminat.
Ujarnya, sejak lagu berkenaan mula diputarkan di stesen-stesen radio dan laman YouTube empat bulan lalu, semakin ramai pendengar yang menggemari lagu hasil ciptaan Panji Sakti itu.
"Saya sudah meninggalkan dunia hiburan ini dalam tempoh yang agak lama. Jadi, saya terpaksa bermula dari bawah semula dan perlu berusaha keras agar peminat lebih mengenali saya.
"Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu tetapi untuk lagu 5 Tahun Saja ini sudah mula mendapat tempat dan yakin lagu ini mampu menaikkan nama saya semula," jelas ibu kepada seorang cahaya mata bernama Muhammad Al Hafiz Aminuddin, 7.
Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Haida menjelaskan, dia memilih Panji Sakti sebagai pencipta lagu kerana tertarik dengan lagu-lagu yang dihasilkan komposer tersebut untuk beberapa orang penyanyi seperti Aliff Aziz dan Alif Satar sebelum ini.
Kemudian pada tahun lalu, dia dapat berjumpa sendiri dengan Panji dan akhirnya komposer itu bersetuju menghasilkan lagu buat dirinya dan proses rakaman pula dilakukan di Bandung, Indonesia.
"Pertama kali mendengar lirik lagu ini saya sudah tertarik dengan melodinya. Lirik pula saya meminta Panji untuk membuat sedikit rombakan agar lebih mudah difahami pendengar.
SELEPAS lebih sedekad tidak aktif menyanyi, Haida mengakui yang dia kini perlu bermula dari bawah semula.


"Lagu ini berkisarkan tentang seorang wanita yang jatuh cinta dengan lelaki yang lima tahun lebih muda manakala muziknya pula lebih kepada rentak rock moden," ujar penyanyi berusia 32 tahun itu.
Ketika ditanya sama ada lagu tersebut mempunyai kaitan dengan dirinya, memandangkan statusnya kini sebagai seorang ibu tunggal, Haida sekadar mengukir senyuman sehingga menimbulkan sedikit tanda tanya.
Penyanyi tersebut mendedahkan selama tiga tahun hidup secara solo, tidak dinafikan memang ada beberapa lelaki muda yang cuba mendekatinya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius.
"Memang ada lelaki muda yang cuba ingin rapat tetapi saya menolaknya dengan cara baik. Bukannya terlalu memilih tentang pasangan hidup, cuma saya memang tidak berminat untuk bercinta dengan lelaki yang lebih muda daripada saya," jelasnya.
Ujarnya lagi, memandangkan lagu berkenaan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan, sebuah klip video telah siap dihasilkan dan bakal ditayangkan kepada umum selepas Aidilfitri nanti.
Fokus kerjaya
Ketika ini ramai yang sudah mengetahui bahawa Haida pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas penerbit rancangan televi- syen, Aminudin Yahya pada tahun 2004 tetapi bercerai tujuh tahun kemudian.
Apabila ditanya sama ada dia bersedia untuk mencari pengganti setelah tiga tahun menjanda, penyanyi itu menyatakan pertemuan dan jodoh merupakan ketentuan Allah.
"Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran tertentu untuk berkahwin semula. Kalau ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai, mungkin saya tidak menolaknya.
"Namun begitu, buat masa ini saya lebih suka sekiranya dapat menumpukan kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu memandangkan saya baru sahaja membuat kemunculan semula," jelasnya.
Ujarnya, dia meletakkan harapan yang tinggi agar dengan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian ini akan terus diterima ramai serta mampu menarik minat pendengar dengan lagu-lagu yang dihasilkannya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: