Tuesday, July 16, 2013

Datuk Shake cari penajaan konsertnya

DATUK SHAKE memerlukan penaja untuk menjadikan konsert jelajahnya satu realiti.


SETIAP kali pulang ke Malaysia, penyanyi Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh atau lebih sinonim dengan panggilan Datuk Shake sering diajukan pertanyaan mengenai konsert yang akan dianjurkan.
Ini kerana Shake yang sudah berkelana di luar negara dan menggembangkan karier nyanyian di Perancis dan Amerika Syarikat selama 37 tahun jarang membuat persembahan di Malaysia.
Penyanyi tersebut yang ditemui semasa rakaman program nyanyian Pulanglah Hari Raya Bersama Dato Shake terbitan Astro baru-baru ini mengakui kali terakhir dia mengadakan konsert di negara ini sekitar tahun 1986.
“Kalau mengikut perancangan, saya memang bakal mengadakan siri jelajah konsert di seluruh Malaysia pada pertengahan tahun ini, tetapi saya terpaksa menangguhkannya dahulu.
“Puncanya disebabkan agak sukar untuk mendapatkan penaja memandangkan berlakunya Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) pada Mei lalu. Jadi, konsert saya itu tidak dapat direalisasikan,” jelasnya.
Meskipun perancangan untuk penganjuran konsertnya itu tertangguh, Shake menyatakan bahawa dia tetap mahu mengadakannya pada tahun ini dan mensasarkan pada bulan Disember sebagai permulaan siri jelajah konsertnya.
Jelasnya, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti dia akan mula sibuk merangka dan menghasilkan kertas kerja untuk konsertnya dalam usaha untuk mendapatkan penaja.
“Dalam siri jelajah konsert ini saya sasar untuk mengadakannya di tujuh buah lokasi, termasuk satu konsert di Sabah memandangkan permintaan yang ramai di negeri tersebut.
“Sudah tentu saya cukup teruja kerana sudah agak lama tidak menghiburkan para peminat di Malaysia. Saya harap konsert tersebut mampu mengubat rindu buat mereka,” jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Anugerah Dari Kegagalan itu.
Memandangkan penganjuran sesebuah konsert itu memerlukan kos yang agak besar, Shake menyatakan sudah tentu dia memerlukan sokongan pihak penaja untuk menjayakannya.
DATUK SHAKE bakal muncul dengan program Pulanglah Hari Raya Bersama Dato Shake yang akan disiarkandi saluran Astro Prima pada hari raya pertama.


Ujar Shake, dia seboleh-bolehnya tidak mahu meletakkan harga tiket yang terlalu mahal kerana mahu seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira status dan menyaksikannya.
“Tidak guna kalau saya letakkan harga tiket dengan harga yang mahal, tetapi hanya sedikit yang datang. Saya lebih suka membuat konsert dengan kehadiran penonton yang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi tersebut memberitahu para peminat boleh menyaksikan persembahannya yang terkini menerusi program nyanyian Pulanglah Hari Raya Bersama Dato Shake yang akan disiarkan di saluran Astro Prima pada hari raya pertama.
Menurut Shake, program nyanyian tersebut agak istemewa kerana persembahannya turut diiringi lapan orang pemuzik iaitu empat dari Perancis dan empat dari Malaysia.
“Program ini akan berlangsung kira-kira lebih sejam dan saya akan mempersembahkan sebanyak 14 buah lagu popular saya. Cuma ada sebuah lagu raya yang dinyanyikan iaitu Musafir Di Aidifitri dan sebuah lagu Perancis, Tu Sais Je T'aime (You Know I Love You),” jelasnya.
Disiplin
Apabila kali pertama berpeluang dapat bersua muka dengan penyanyi kelahiran Johor itu, tidak sangka usia Datuk Shake sekarang ini sudah menjangkau 63 tahun.
Ketika ditanya apakah tip atau rahsia dia masih lagi kekal cergas dan mempunyai stamina untuk beraksi di pentas, penyanyi itu memberitahu bahawa disiplin merupakan kriteria utama.
“Dengan usia yang semakin meningkat sudah tentu tenaga akan semakin berkurangan. Namun begitu, perkara tersebut dapat diatasi apabila saya melakukan senaman setiap hari.
“Selain itu, jangan selalu keluar malam dan mengambil minuman keras serta sembahyang lima waktu juga tidak boleh tinggal. Semua perkara yang saya sebutkan itu memang berkait rapat dengan disiplin,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Shake berpesan kepada mana-mana penyanyi yang mahu mencuba nasib di luar negara supaya lebih kuat mengharungi segala cabaran yang terpaksa dilalui sekiranya mahu berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: