Saturday, May 11, 2013

Tarikan Kampung Cherating Lama



MELARIKAN diri daripada kesibukan kota untuk menikmati percutian hujung minggu sambil melayan bayu pantai dan deruan ombak di Kampung Cherating Lama, Kuantan, Pahang, pastinya membantu menenangkan kelesuan minda dan tubuh.
Apatah lagi, keadaan pantai di kampung itu yang masih terpelihara dan bebas daripada pencemaran. Air lautnya yang membiru, dikelilingi pula dengan kewujudan serangga dan haiwan liar menambah rencah percutian.
Aktiviti riadah seperti menyusuri hutan paya bakau, berkayak di Sungai Cherating serta aktiviti snorkeling di Pulau Ular pasti meningkatkan tahap adrenalin anda.
Kedudukan Kampung Cherating Lama iaitu kira-kira 50 kilometer (km) utara bandar Kuantan atau sejauh 16 km dari bandar Chukai, Kemaman di Terengganu membuatkan lokasi tersebut sentiasa menjadi pilihan pelancong asing yang kebanyakannya dari Belanda, Denmark, New Zealand, Perancis dan Australia.
Di Cherating, pengunjung bebas untuk memilih sama ada menginap di inap desa, calet, resort atau hotel bertaraf tiga bintang yang kedudukan lokasinya berdekatan antara satu sama lain.
Menurut pemandu pelancong, Mohd. Hafiz Abdul Majid, 43, rata-rata pelancong asing menyukai Cherating kerana alam semula jadinya yang masih terpelihara, sunyi dan penduduk yang mesra. Dia yang memiliki pengalaman selama lapan tahun mengendalikan aktiviti menyusuri sungai mampu mengesan lokasi haiwan liar dari jarak yang jauh.
“Jika cuaca tidak terlalu panas, pengunjung berpeluang melihat lebih banyak haiwan liar yang keluar mencari makanan kerana haiwan tidak suka pada cuaca panas terik,” katanya yang memberitahu antara haiwan yang boleh dilihat ialah kera, lotong, ular sawa, biawak, burung raja udang dan memerang.

PELANCONG dari Belanda, Roni Kroonenburg (kanan) mengunjungi Kampung Cherating Lama tiga tahun berturut-turut kerana gemarkan suasana kampung yang damai.


Hidupan liar
Seorang pelancong dari Perancis, Condahines Cahola, 29, yang bercuti bersama tiga rakannya selama 15 hari di Malaysia turut terpesona dengan keindahan pantai Cherating. Mereka bertiga juga mengambil kesempatan melakukan aktiviti menyelusuri Sungai Cherating untuk melihat kehidupan liar dengan lebih dekat.
“Aktiviti ini sungguh menyeronokkan kerana kami berpeluang melihat burung-burung dan haiwan seperti monyet, ular dan biawak dengan lebih dekat. Kadangkala keletah dan ragam hidupan ini amat mencuit hati,” katanya yang menginap di Payung Guesthouse iaitu calet yang berkonsepkan ala perkampungan Melayu.
Kelip-kelip
Tidak lengkap kunjungan ke Kampung Cherating Lama sekiranya tidak melihat kelip-kelip pada sebelah malam.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan kebolehan Mohd. Hafiz berinteraksi dengan kelip-kelip supaya terbang ke arah cahaya malap yang dibuatnya.
Pengalaman itu umpama magis tatkala melihat cahaya kelip-kelip menghampiri dan hinggap di badan pengunjung tidak ubah seperti cahaya bintang melatari permukaan langit.
Bagaimanapun, semua pengunjung ditegah untuk menghidupkan sebarang sumber cahaya seperti lampu suluh, flash kamera, telefon bimbit dan alat perakam video kerana cahaya itu terlalu terang hingga boleh menjejaskan proses persenyawaan serangga berkenaan.
Penyu bertelur
Bagi mereka yang ingin menyaksikan penyu bertelur, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu yang jaraknya hanya 10 km dari Kampung Cherating Lama.
Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan antara bulan April hingga September setiap tahun ketika musim hidupan laut itu bertelur.
Dalam pada itu, pemandu pelancong, Ariffin Hassan, 54, memberitahu sejak tahun 2005 sebanyak 835 ekor penyu agar direkodkan mendarat di pantai tersebut dan sebanyak 75,000 ekor anak penyu berjaya dilepaskan kembali ke laut.
Purata masa yang diambil bagi seekor penyu betina untuk bertelur ialah sekitar tiga jam. Prosesnya bermula ketika ia mencari lokasi yang sesuai untuk bertelur hingga kembali semula ke laut.

PENGUNJUNG yang gemarkan percutian ala kampung jangan lepaskan peluang menginap di Chalet Tanjung Inn yang menawarkan harga bilik berpatutan.


Snorkeling
Bagi melengkapkan lawatan ke Kampung Cherating Lama, pengunjung perlu mencuba aktiviti snorkeling di Pulau Ular untuk melihat keindahan dasar lautnya.
Hidupan laut seperti obor-obor, landak laut, ikan dan keindahan terumbu karang pasti mengujakan. Aspek keselamatan dititikberatkan apabila pengunjung dibekalkan jaket keselamatan dan gogal.
Seorang pemandu bot, Mohd. Shukri Ghazali, 27 memberitahu, air laut kelihatan lebih jernih ketika air pasang dan pengunjung turut diberi peluang memberi makan pada ikan untuk menarik haiwan itu datang lebih dekat.
Pada masa sama, pengunjung dinasihatkan agar memakai pakaian yang menutup anggota badan kerana dikhuatiri terkena sengat obor-obor.
“Saya pernah terkena sengatan obor-obor di bahu sewaktu melakukan aktiviti snorkeling bersama pengunjung. Kemudian, saya segera menyiram cuka di bahagian yang disengat bagi mengurangkan rasa sakit.
“Mujurlah sengatan obor-obor yang diibaratkan seperti dicucuk jarum hilang kira-kira setengah jam kemudian. Ekoran daripada sengatan itu saya terpaksa berehat di rumah selama sehari kerana mengalami masalah sesak dada memandangkan sengatan di bahu itu hampir dengan paru-paru,” katanya yang turut merawat pengunjung yang terkena sengatan obor-obot menggunakan kaedah rawatan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: